Ahad, 12 Januari 2014

Khalid khianati aku janji?


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan supaya berpegang kepada aku janjinya untuk memelihara dan melindungi kesucian Islam ketika mengangkat sumpah di hadapan sultan sebelum ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan Abdul Khalid yang mengeluarkan dua arahan baharu kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIS) jelas bertentangan dengan aku janji beliau iaitu mahu memelihara kesucian dan keagungan Islam sebagai agama rasmi negeri dan kepercayaan umatnya daripada diganggu gugat mana-mana pihak.

Dalam hubungan ini katanya, Menteri Besar sepatutnya membela JAIS yang merupakan sebuah agensi menjaga kesucian agama Islam di negeri ini dan bukannya melakukan sebaliknya.

"Serbuan itu dibuat untuk melindungi kesucian kalimah Allah yang mahu digunakan oleh agama lain di negeri ini dan dibuat berlandaskan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.

"Sebaliknya, Abdul Khalid mengeluarkan arahan terbaharu kepada JAIS mengarahkan pemulangan Bible yang dirampas dalam serbuan di Petaling Jaya pada Khamis lalu dan mewajibkan agensi itu memaklumkan kepada mereka sebelum membuat apa-apa serbuan," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perjumpaan Pemaju Masyarakat Tabika dan Taska Permata Kemas di Politeknik Shah Alam di sini hari ini.

Noh turut menyifatkan pengeluaran arahan tersebut sebagai satu tindakan yang tidak menghormati undang-undang.

"Arahan itu menunjukkan bahawa kerajaan negeri pakatan pembangkang cuba masuk campur urusan penguatkuasaan undang-undang negeri.

"Sebagai Menteri Besar, beliau tidak boleh mengarah sesuatu tindakan penguatkuasaan yang akan dibuat oleh JAIS untuk dirujuk kepadanya terlebih dahulu," jelasnya.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Noh melahirkan rasa kesal dengan sikap Abdul Khalid yang seolah-olah tidak memahami Penyelesaian 10 Perkara diluluskan Kabinet bahawa peraturan itu tidak boleh mengatasi undang-undang diwartakan oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, Penyelesaian 10 Perkara itu hanya satu polisi dan bukannya undang-undang yang boleh dikuatkuasakan, selain hanya berkaitan dengan soal kemasukan dan pengimportan Bible bahasa Melayu ke negara ini yang langsung tidak ada kena mengena dengan isu kalimah Allah.

"UMNO Selangor juga melihat kerajaan negeri tidak memahami konteks kebebasan beragama yang disebut di dalam Perlembagaan di dalam Artikel 11 dan tertakluk kepada Artikel 11 (4) dan kenyataan beliau untuk mengheret Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam isu ini adalah satu usaha untuk menyalahkan kerajaan Persekutuan.

"Cap KDN hanya terpakai di negeri-negeri yang tidak mempunyai Enakmen 1988 seperti di negeri Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan tersebut.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor