Sabtu, 23 November 2013

Lagi bantah Tony Pua gelar ROS anjing UMNO?

SAFUAN Hamzah (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada 40 belia membuat bantahan secara aman terhadap tindakan Tony Pua di hadapan Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI - Kira-kira 40 belia di kawasan ini hari ini mengadakan demonstrasi aman di hadapan Masjid Sultan Muzaffar di sini bagi membantah tindakan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai 'anjing UMNO'.

Mereka berkumpul selepas solat Jumaat sambil melaungkan pelbagai kecaman serta mengangkat 23 sepanduk bagi menyatakan kemarahan terhadap tindakan pemimpin pembangkang itu.

Tony dikecam kerana hingga kini masih membisu seribu bahasa tanpa memohon maaf terhadap orang Melayu yang merupakan 95 peratus kakitangan ROS.

Justeru, pertubuhan Anak Muda Melayu Negeri Kedah menuntut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Penasihat parti itu, Lim Kit Siang dan Tony memohon maaf kepada orang Melayu dan Islam, Utusan Malaysia dan kakitangan ROS dengan segera.

Bantahan sekitar 15 minit berhampiran jalan raya menuju ke Kem Lapangan Terbang itu menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dan ada di antara mereka turun dari kenderaan kemudian dan sama-sama menyertai bantahan itu.

Yang turut hadir pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim dan bekas Ketua Pemuda Pas Cawangan Kampung Baru Bakar Arang, Saiful Zaman Ahmad.

Wakil Anak Muda Melayu Negeri Kedah, Safuan Hamzah, 30, berkata, Tony bertindak ego dengan menyatakan kakitangan ROS sebagai anjing UMNO.

"Kami daripada pelbagai fahaman politik hadir berkumpul di sini kerana rasa marah dengan tindakan Tony itu. Kami minta dia segera mohon maaf kepada umat Melayu beragama Islam di negara ini," katanya.

Menurutnya, bantahan seumpama ini bakal berlarutan di mana-mana sahaja jika beliau masih ingkar memohon maaf.

"Susah sangatkah nak mohon maaf pada orang Melayu beragama Islam?," tanya beliau.

Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan pemimpin Pas kerana masih membisu dalam perkara itu.

Seorang peserta perhimpunan itu, Ismail Khamis, 25, dari Sungai Layar pula berkata, sepatutnya Tony menghormati orang lain, terutamanya orang Melayu tanpa bertindak untuk kepentingan diri sendiri.

"Adalah amat malang, seorang pemimpin bila menang dalam pilihan raya tidak dapat menghormati orang lain, dalam hal ini Tony perlu belajar untuk hormati orang lain," katanya.

Menurut Ismail, Tony tidak akan berani membuat kenyataan seumpama itu tanpa mendapat restu daripada Kit Siang atau Guan Eng.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor