Selasa, 19 Mei 2009

11 bulan berkuasa...Apa kata Ngeh, Nizar ikut aje!

SIRI SATU

Ahli Dewan Undangan Negeri Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, adalah antara tiga ADUN Perak yang membuat keputusan meninggalkan parti masing-masing dan mengisytiharkan diri mereka menjadi ADUN Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Ekoran daripada tindakan mereka yakni Jamaluddin dan Osman Jailu ( Changkat Jering) dari PKR dan Hee Yit Foong DAP Jelapang, kerajaan negeri Perak bertukar tangan selepas baru 11 bulan berkuasa. Ini apabila BN yang semasa pilihan raya Mac 2008 memperolehi 28 kerusi kini mendapat sokongan tiga ADUN menjadikan majoriti menyokong BN sebanyak 31 kerusi. Sebaliknya pakatan pembangkang daripada 31 kerusi turun menjadi 28.

Namun, selama ini beliau hanya mengambil sikap mendiamkan diri dan tidak tampil memberikan penjelasan apa sebenarnya sebab beliau meninggalkan pakatan pembangkang. Dalam satu temuramah hampir tiga jam dengan Agendadaily di Kuala Lumpur Sabtu lalu Jamaluddin memberi sedikit sebanyak gambaran lebih jelas kenapa beliau mengambil tindakan tersebut.

Bagi siri kali ini, fokus diberikan kepada sebab-sebab beliau meninggalkan pakatan pembangkang yang berkaitan dengan sikap Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan perjalanan mesyuarat Exco yang secara jelas menggadai kepentingan orang Melayu. Ini katanya, kerana penguasaan dua orang kuat DAP, Ngeh Koh Ham dan Nga Kor Meng yang terlalu besar dalam Exco membuat keputusan.

Soalnya bilakah beliau mula rasa lain macam dengan Exco dan rasa-rasa tak boleh duduk dalam Exco lagi ?

Jamaluddin menjelaskan mengikut isu. Dalam soal penukaran kereta rasmi Exco daripada Proton Perdana kepada Toyota Camry beliau berkata: “Saya sebut kita kena angkat kereta nasional. Kita kena ada semangat kenegaraan. Kalau kerajaan Terengganu masa itu nak tukar Mercedec, itu kerajaan BN, ini kerajaan pakatan.

Kita tunjuk kita sayang kepada kereta nasional. Semangat patriotik kena ada. Nizar minta saya sediakan kertas untuk hujahkan perkara itu. Mulanya dalam Dewan (Dewan Undangan Negeri) dia sebut 10 biji Camry yang bernilai RM920,000 tapi bila mesyuarat Exco dia kata 15 buah termasuk ex-officio. Tapi kita tak dapat pengeculian cukai, harganya menjangkau RM2.5 juta.

Kalau Perdana baru RM1.76 juta jadi kita boleh jimat RM740,000. Ada lagi perkara lain yang saya hujahkan dalam kertas itu hinggakan saya sebut kalau Anwar jadi PM adakah kita nak tutup kilang Proton. Nizar setuju dengan hujah yang saya kemukakan dan kekal untuk gunakan Perdana.

Tapi bila masuk mesyuarat Exco , sebut sahaja soal kereta, Ngeh Koo Ham kata Camry baik, itu baik ini baik dan macam-macam lagi hujahnya, daripada 10 buah, keputusanya tempahan dibuat 15 buah. Walhal sebelum itu beliau setuju dengan saya. Nizar dengan Ngeh... dia terlalu tunduk. Apa kata Ngeh dia akan ikut. Dia bukan pemimpin Melayu.

Dalam isu hak milik tanah Kampung Baru 999 tahun dan penukaran syarat tanah rumah kos rendah ?

Semua ini berlaku dalam mesyuarat Exco. Soal rumah murah, kerajaan BN banyak luluskan tapi belum dilaksanakan lagi. Tapi bila kerajaan pakatan ambil alih ramai pemaju buat permohonan tukar syarat daripada rumah kos rendah kepada rumah kos sederhana dan rumah banglo. Saya sebut dalam mesyuarat Exco, kerajaan dulu (BN) rancang benda ini baik.

Usaha untuk menempatkan orang-orang susah, berpendapatan rendah untuk memiliki rumah di bandar. Saya sebutkan kepada Nizar usaha tukar syarat tanah akan menyebabkan orang Melayu tidak ramai yang berkemampuan untuk miliki hartanah di bandar dan terus pastikan orang Melayu hanya tinggal di pinggir dan di kampung-kampung sahaja.

Waktu pertama beliau membuat undian dalam mesyuarat Exco siapa yang menyokong siapa yang tidak bersetuju ?.

Yang menyokong Tai (PKR), Nga Kor Meng dan Ngeh. Yang menolak saya dan Kapten Osman Jailu. Nizar pada hari itu ambil keputusan menolak walaupun tiga menyokong dan dua tidak setuju manakala lain-lain Exco berkecuali. Saya tulis nota kepada Nizar, jangan amalkan undi angkat tangan.

Jika angkat tangan, Melayu ada tiga orang sahaja dalam Exco termasuk Nizar sebagai MB ada empat. Lepas daripada itu tiap-tiap minggu ada sahaja permohonan, saya bantah... hendak tukar syarat tanah daripada bina kos rendah kepada sederhana dan bunglo. Pada hal syarat yang telah diluluskan oleh kerajaan dahulu untuk rumah kos rendah. Semua cadangan tu datang daripada syarikat-syarikat bukan Bumiputera.

Namun jika ada permohonan daripada syarikat Bumiputera, ada sahaja yang dipertikai oleh Ngeh dan Nizar setuju walaupun Pengarah Tanah dan Galian beri syor untuk diluluskan. Bagi permohonan bukan Bumputera, walaupun cadangan dibuat untuk ditolak, tapi Ngeh kata ia perlu diluluskan dan Nizar setuju.

Sampai saya buat catatan M (Melayu) dapat berapa dan C (Cina) dapat berapa. M lulus tiga C lulus sembilan. Hinggakan pada mesyuarat berikutnya saya ambil pendirian berdiam diri...cuma bila permohonan datang daripada C, saya terus jerit LULUSKAN sahajalah, bila permohonan Melayu saya jerit TOLAK aje.

Tujuan saya nak memperli Nizar supaya dia sedar... tapi dia tak peduli pun. Nampak sangat dia takut dengan Ngeh.” katanya.

Dalam isu tanah 999 tahun, siapa yang bawa cadangan itu kepada Exco?

Jamaluddin berkata: “Yang bawa cadangan itu Ngeh sendiri. saya bantah kerana perkara itu kerana ia tidak ada ada dalam manifesto PKR pun. Saya sebut kepada Nizar jangankan 999... 99 tahun pun kita akan dikritik hebat... tapi kerana terlalu nak jaga kehendak DAP, Nizar ikut sahaja. Sampaikan saya kata UMNO dah lebih 50 tahun memerintah, baru rakyat tolak mereka.

Tapi pakatan baru 11 bulan. Saya dengar di kantin pegawai-pegawai dah mula bersungut pasal pemberian tanah 999 tahun yang mereka rasakan melampau. Ekoran itu, saya bertemu Nizar. Saya bangkit soal tanah...balak semua ditender. Jadi saya tanya dia bolehkah ada pertimbangan atau diasingkan dalam soal pemberian tender kepada Bumiputera dan bukan Bumiputera. Dia kata tak boleh.

Saya beritahu dia kalau macam itu, peluang Bumiputera khususnya Melayu sampai bila nak dapat. Bila kita hujah lebih sikit, dia diamkan dirinya. Tapi dalam ceramah dia mula cakap kita tak boleh perjuangan satu kaum sahaja. Kenapa masa kita jumpa dia bincang dia diamkan diri sahaja. Begitu juga dalam soal pemberian tanah kepada sembilan sekolah Cina Saya sebut dengan Nizar, tiap-tiap tahun kita beri bantuan kepada sekolah terbabit sebanyak RM30,000 setahun kenapa nak beri tanah pula.

Akhirnya Nizar setuju dengan pandangan Ngeh, daripada nak beri tanah 1,000 ekar kepada sekolah-sekolah itu, Ngeh tukar kepada 1,000 hektar, Nizar pun setuju juga. Daripada ekar kepada hektar, Nizar ikut sahaja. Berdasarkan pengalaman selama 11 bulan bersama mereka, Exco memang dikuasai oleh Ngeh dan Nga. Nizar patung sahaja. Segala-galanya dikawal oleh Ngeh dan Nga.

Dayuslah kita, hanya kerana nak duduk jawatan Exco, apa sahaja Ngeh dan Nga buat kita akur sahaja. Saya tak boleh. Kita dari dulu kaki lawan. Selama 10 tahun berjuang apa kita dapat. Habis wang ringgit sendiri untuk parti. hari ini dapat RM14,000 sebulan besar sangat ke,” ujar beliau mengenai senario sebenar yang berlaku dalam Exco Perak di bawah pimpinan Nizar semasa pakatan pembangkang membentuk kerajaan.

Siri berikutnya, kita ikuti, kenapa beliau tinggalkan PKR, apa konspirasi PKR terhadapnya dan bersih sangatkah kerajaan pakatan pembangkang ?

Agenda Daily
Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 11 Mei 2009

Kembalikan Kekuatan Orang Melayu 63 Tahun Yang Lalu!

Orang Melayu hari ini berada di persimpangan dan di dalam satu dilemma yang amat menakutkan. Pastikah ramalan dan andaian bahawa kekuasaan dan ketuanan Melayu semakin terhakis. Atau benarkah ada ramalan yang mengatakan dominan Melayu akan hancur dek gara-gara orang Melayu itu sendiri akibat krisis dan perbalahan yang sedang melanda pada hari ini. Mungkinkah Melayu akan hilang di dunia?

Kalau tidakpun, jenis Melayu yang bagaimana yang akan jadi penghuni bumi tercinta ini apabila dominan kekuasaan Melayu sudah hancur dan apabila orang Melayu sudah hilang kuasa? Akan berakhirkah perbalahan sesama Melayu ini? Mungkinkah pada akhirnya orang Melayu akan mengigit jari apabila Melayu lenyap ditelan kebangkitan suatu kuasa bukan Melayu yang tidak perduli terhadap Melayu lagi?

Pada 11 Mei, 63 tahun lalu, UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan atas kesedaran memastikan nasionalisme atau ketuanan Melayu dan Islam terus dipertahankan di negara ini. Pada ketika itu ancaman penubuhan Malayan Union oleh British yang bakal menyaksikan orang Melayu kehilangan hak dan kuasa di tanah air sendiri telah mengumpulkan kekuatan yang membawa kepada pembentukan parti yang menjadi pembela nasib Melayu.

Ketika itu juga Inggeris terus mengasak dengan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946 yang memberi hak sama rata kepada semua kaum dengan ketua negeri ditukar daripada sultan kepada presiden. Namun hasil tentangan orang Melayu melalui UMNO, Malayan Union dibubarkan pada Julai 1946 dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi apa yang penting ialah perjuangan UMNO berjaya mengembalikan hak-hak orang Melayu di tanah air mereka dan mengembalikan semula kuasa sultan dan raja-raja.

Perlu diingatkan bahawa perpaduan Melayulah yang selama ini menjadi senjata paling ampuh menghancur leburkan rancangan Malayan Union. Perpaduan Melayulah juga yang telah mencetuskan kemerdekaan negara. Perpaduan Melayulah yang memungkinkan termaktubnya keluhuran dan kemuliaan agama Islam, serta kedaulatan Raja-Raja dan bangsa Melayu serta budaya Melayu dalam Perlembagaan negara.

Yang menyedihkan apabila selepas 63 tahun ia ditubuhkan dan setelah 52 tahun negara merdeka, segala susah payah dan pahit getir perjuangan menegakkan hak bangsa oleh UMNO seolah-olah dipandang sepi terutamanya oleh golongan muda Melayu. Perjuangan UMNO yang menjadi tonggak kepada penubuhan Perikatan hasil gabungan MCA dan MIC dan Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang memberi kemakmuran kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum kian dilupakan.

Ianya dapat dilihat dengan jelas didalam keputusan PRU ke – 12 yang lepas di mana memperlihatkan senario berbeza terhadap sokongan kepada UMNO dan BN. Adakah selepas lebih enam dekad berbakti, UMNO kini tidak lagi relevan dalam perjuangan menegakkan hak-hak orang Melayu?

Namun sejak akhir-akhir ini apabila terdapat bibit-bibit perpecahan di antara orang Melayu, sudah ada yang berani mengambil kesempatan. Ini dapat dilihat apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh mengambil tindakan mempersoalkan siapa penulis titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Sultan Perak ada kaitan dengan kelemahan pada parti Melayu itu. Ia seolah-olah mengulangi senario pada 1946 apabila Inggeris merampas kuasa raja-raja dan hak Melayu dengan membentuk Malayan Union. Orang Melayu dan UMNO sepatutnya bangkit membantah dan mendesak supaya Karpal Singh menarik balik kata-katanya dan memohon maaf kapada Sultan dan Raja-raja Melayu.

Yang menjadi persoalan sekarang mengapa para pemimpin Pas dan PKR diam membisu. Sikap berdiam diri para pemimpin Pas berhubung isu Karpal mengkritik sultan juga menunjukkan pendirian mereka yang tidak konsisten dalam memperjuangkan isu berkaitan Melayu. Setelah sekian lama didesak barulah Tok Guru Nik Aziz mengeluarkan kenyataan yang Karpal Singh adalah menderhaka kepada Raja-raja Melayu. Presiden Pas sendiri masih membisu. Mungkin sedang mencari fatwa yang sesuai untuk digunakan?

Malah terbaru dan lebih memeranjatkan apabila penasihat PKR, Anwar Ibrahim dengan egonya mempertahankan tindakan Karpal Singh. Sekarang mungkin rakyat sudah nampak “ warna sebenar “ Anwar Ibrahim.

Walaupun Pas mengatakan mereka juga memperjuangkan Melayu dan Islam namun setakat ini parti itu masih belum menunjukkan kemampuan sebenar dalam memastikan hak Melayu tidak terus tercabar. Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR)? Adakah nasib Melayu boleh diletakkan di bahu mereka yang mana kalau dilihat daripada peratus pemimpin Melayu mereka tak sampai separuh?

Berapa ramai anggota IFC (Interfaith Commission) terdiri daripada pemimpin PKR? IFC ditubuhkan dengan matlamat meminda beberapa ajaran asas Islam yang akan merosakkan akidah orang Islam dan berpihak kepada kepentingan orang bukan Islam. Adakah orang-orang Melayu Islam di dalam PKR tahu dan sedar akan perkara ini wujud di dalam PKR. Apabila berjaya memerintah Selangor dan bersekongkol dengan DAP, sudah mengeluarkan kenyataan untuk menghapuskan DEB. Bolehkan PKR mengambil alih peranan UMNO untuk membela nasib orang Melayu?

Adakah disebabkan DAP adalah ahli keluarga Pakatan Rakyat, mereka mengambil sikap tunggu dan lihat sehingga sanggup melihat Raja-Raja Melayu diperlekehkan dengan hanya berpeluk tubuh dan hanya menunggu saat yang memberi keuntungan politik kepada mereka barulah mereka bertindak sesuatu. Untuk menjaga hati DAP mereka sanggup menjadi pengkhianat bangsa mereka sendiri. Sepertimana yang kita tahu Pas dan PKR sanggup perjudikan matlamat perjuangan masing-masing semata-mata mahu bergabung dengan DAP.

Yang paling ketara adalah Pas apabila sanggup membuang slogan untuk menegakkan negara Islam semasa pilihanraya yang lepas semata-mata hendak bermadu kasih dengan DAP walaupun pemimpin DAP dengan berani dan terus terang menyanggah cita-cita Pas itu. DAP semata-mata ingin menangguk peluang keemasan di atas kebebalan segelintir orang Melayu, sanggup terima Pas dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk menghancur dan memecahbelahkan undi orang Melayu pada PRU-12 yang lepas.

Dan apabila melihat Islam ditindas oleh barat di seluruh dunia termasuklah di Malaysia dan melihat orang Melayu Islam sedang berpecah dan kerajaan semakin lemah, ada pula dari pihak Gereja mengambil kesempatan dengan membuat tuntutan untuk menggunakan perkataan Allah di dalam bulletin mereka. Jelas dapat dilihat musuh-musuh Islam mengambil kesempatan apabila Islam berjaya dilemahkan.

Terbaru apabila pihak Gereja Katolik Malaysia berjaya di dalam tuntutan mereka apabila mahkamah membenarkan mereka untuk membuat semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly. Hakim juga membenarkan gereja tersebut untuk membuat semakan untuk perisytiharan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan tuntutan bahawa kalimah Allah tidak eksklusif kapada agama Islam.

Dalam budaya amalan dan adat resam Melayu, “Allah” itu ialah nama eksklusif bagi Tuhan Yang Maha Esa dan Satu; Maha Pemurah, Bijaksana dan Pengampun. Orang Melayu dalam amalan mereka tidak mengunakan gantinama “Tuhan” pun untuk memberikan maksud yang sama, tetapi “Allah”. Bayangkan sejak kita lahir kita diajar menyebut dan mengenali Allah Taala dengan lebih dekat, tiba-tiba ada pula agama lain mahu menggunakan nama yang sama dengan Agama Islam.

Walaupun mereka mengatakan pihak Kristian di arab menggunakan nama Allah, tetapi itu di Arab dan bukannya di Malaysia. Tidak kah janggal namanya. Tidak kah pihak gereja katolik tahu yang Agama Islam adalah agama rasmi Malaysia sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan. Tidak ke tuntutan mereka mengguris perasaan umat Islam di Malaysia. Mengapa sekarang mereka membuat tuntutan itu? Mengapa umat Islam Malaysia berdiam diri apabila Islam dihina sedemikian rupa dengan mempermain-mainkan nama Allah yang maha esa.
Tidak kira apapun jua tuntutan mereka sama ada IFC ataupun pihak gereja katolik demi memastikan kedaulatan Islam itu tetap utuh ditanah air kita, sama-samalah kita bersatu menentang apa jua bentuk penindasan terhadap Agama Islam yang maha mulia ini. Oleh itu, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab suci setiap umat Melayu yang beragama Islam untuk terus berjuang mengekal, dan lebih dari itu bagi meningkatkan perpaduan bangsa Melayu pada setiap masa.

Perpaduan ini wajar terus dipupuk, dipelihara, dibajai dan dijagai dengan rasa penuh bertanggungjawab bagi memastikan simpulan perpaduan ini tidak mudah terlerai atau mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja. Kita juga harus insaf, dalam kita membawa pelbagai pembaharuan, perlulah kita mempastikan bahawa kita tidak kehilangan arah, tidak juga kehilangan punca.

Untuk tidak kehilangan arah, dan supaya tidak kehilangan punca, maka dengan itu perlulah kita sedar dan perlulah kita menghayati asas-asas falsafah bangsa Melayu yang dirumuskan oleh ajaran agama. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah".

SELAMAT MENYAMBUT HARI ULANG TAHUN KE - 63 UMNO.

Semuga UMNO kembali menjadi lebih kukuh dan mantap dari sebelumnya. Para pemimpinnya lebih insaf, ahli-ahlinya lebih berusaha dan bersatu hati bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada UMNO. Rakyat perlu diutamakan serta di bela sepenuhnya.
insyaAllah.

Terima kasih UMNO kerana menjadikan Malaysia lebih dari apa yang dijangkakan.

HIDUP UMNO DULU,KINI DAN SELAMANYA..

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 10 Mei 2009

‘Saya tidak akan berterima kasih’

‘‘Minta maaf, saya tidak akan berterima kasih kepada kerajaan,’’ kata pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar sebaik dibebaskan dari Kem Tahanan Kamunting di sini, hari ini.

Beliau yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Disember 2007 mendakwa, penahanannya di bawah akta itu dibuat tidak mengikut undang-undang.

Sehubungan itu, dakwa penasihat undang-undang pertubuhan haram itu, tiada sebab dia perlu berterima kasih kerana tidak melakukan kesalahan.

“Saya berterima kasih kepada penyokong-penyokong dan isteri saya tapi minta maaf, saya tidak akan berterima kasih kepada kerajaan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita yang telah menunggunya sejak pukul 11 pagi di Kem Tahanan Kamunting dekat sini hari ini.
Berbeza dengan dua lagi pemimpin Hindraf yang turut dibebaskan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Shah Alam, M. Manoharan, 48 dan K. Vasantha Kumar, 36, keadaan Uthayakumar kelihatan tidak terurus.

Ditanya keadaannya itu, Uthayakumar berkata, beliau sengaja tidak menyikat rambut dan janggut serta dibiarkan panjang sebagai tanda protes terhadap ISA. Sementara itu, Uthayakumar mendakwa, pihak polis bertindak kasar terhadapnya apabila beliau menolak untuk menandatangani surat yang mengandungi syarat-syarat pembebasan.

Komen : Biasalah, sudah hidup senang lenang di sini masih menuduh kerajaan BN masih menindas kaum India. Cuba kalau Mamat ni hidup kat India sekarang, entah apakah pekerjaannya sekarang. Sememangnya mereka sudah menjadi manusia tidak tahu diuntung. Bagi peha nakkan betis pula, tapi tak sedar nenek moyang mereka datang merempat disini. Masih tidak cukup dengan kehidupan mewah yang mereka kecapi . Kalau dibandar-bandar besar lihatlah dikawasan mana mereka tinggal, kereta apa yang mereka pakai dan juga tengok gaya pemakaian dan kehidupan mereka. Adakah itu semua yang dikatakan kaum tertindas? Nasihat kepada Hindraf...Tepuk dada tanya selera.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 5 Mei 2009

Sikap pemimpin Pas dikesali!

Sikap pemimpin Pas yang cuba mengelirukan konsep 'kepimpinan ulama' yang menggabungkan ulama dan profesional amat dikesali kerana ia menimbulkan keresahan kalangan ahli parti itu di seluruh negara.

Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang terlibat secara langsung dengan pindaan konsep itu pada akhir 80-an hingga membawa kepada pembentukan Majlis Syura Ulama berkata, konsep dan cogan kata yang dilaungkan semasa itu ialah gabungan antara ulama dan profesional.

Menurut beliau, kebimbangan Pas akan tersasar daripada dasar perjuangan sekiranya memilih golongan profesional tidak sepatutnya timbul kerana kepimpinan ulama telah pun diinstitusikan melalui penubuhan Majlis Syura Ulama.

"Sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Pusat yang memperjuangkan konsep 'Qiadatul Ulama' (kepimpinan ulama) pada masa itu dan meluluskan pindaan perlembagaan berhubung penubuhan Majlis Syura Ulama, saya kecewa dengan kurangnya pemahaman ahli dan juga pimpinan berhubung persoalan ini.

"Dengan terbentuknya Majlis Syura Ulama, maka kedua-dua jawatan tersebut (Presiden dan Timbalan Presiden) terbuka kepada mana-mana pimpinan Pas, sama ada ulama atau profesional, untuk menyandang tanpa kekhuatiran tersebut (tersasar daripada perjuangan)," katanya yang dipetik daripada laman blognya, www.khalidsamad. com.

Semalam, golongan pro-Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas dibidas kerana menyalahkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, cadangan pembentukan kerajaan perpaduan itu telah diputuskan secara bersama oleh pimpinan parti-parti dalam pakatan pembangkang dan bukannya datang dari Pas sahaja.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan turut menyelar golongan tersebut kerana hanya berani mengeluarkan kenyataan di luar dan tidak bersuara ketika mesyuarat rasmi diadakan.

Pas Shah Alam antara kawasan Pas yang mencalonkan Naib Presidennya, Datuk Husam Musa bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan Jun ini.
Selain Shah Alam, Rantau Panjang, Tumpat dan Kuala Krai turut mencalonkan Husam yang dikatakan sebagai kumpulan pro-Anwar.

Sementara itu, Khalid berkata, berdasarkan kepada senario semasa, konsep kepimpinan ulama hasil gabungan antara ulama dan profesional seperti tidak dihayati sepenuhnya.
"Sekiranya konsep ini bererti hanya ulama sahaja yang perlu diberikan jawatan dan tugas kepimpinan, maka apa maknanya cogan kata ini?

"Begitu juga, mengapa syarat bahawa kedua-dua jawatan ini mesti diisi oleh ulama tidak turut dimasukkan semasa perlembagaan dipinda pada masa tersebut? Ini merupakan bukti nyata bahawa konsep kepimpinan ulama tidak dimaksudkan begitu," jelasnya dalam blog itu lagi.
Malah, katanya lagi, seingat beliau istilah ulama juga turut dibincangkan pada masa itu dengan beberapa pandangan supaya golongan profesional yang memahami dan menghayati Islam diiktiraf sebagai ilmuwan Islam atau ulama. - UM

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor