Rabu, 26 November 2014

Laporan Sidang Dun : Pembangkang tolak peruntukan ‘gula-gula’?


Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN menolak cadangan peruntukan RM200 ribu kepada mereka seperti cadangan Menteri Besar Selangor, Tuan Mohamed Azmin Ali, dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2015 kelmarin.

Menyifatkan pemberian tersebut sebagai ‘tidak ikhlas’, Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Shamsuddin Lias mempertikaikan jumlah ditawar kepada Adun-Adun pembangkang dengan Adun-Adun pakatan berbeza setengah juta.

“Apa bezanya dengan mereka yang juga wakil rakyat tetapi dapat dalam RM700 ribu. Kalau fikir dasar keadilan, kena bagi (jumlah) sama. Kalau nak bagi, bagi (jumlah) sama. Itu baru namanya adil.

“Kita tolak atas dasar prinsip. Prinsipnya, keadilan” katanya apabila ditanya di ruang lobi Dewan Annex, sebentar tadi.

Terdahulu, pertikaman lidah berlaku di dalam dewan apabila Adun Dap Sungai Pinang Teng Chang Kim mempertikaikan penolakan cadangan peruntukan RM200 ribu kepada Adun-Adun BN Selangor oleh Shamsuddin selaku ketua pembangkang.

“Saya nak tanya ketua pembangkang, kalau peruntukan untuk rakyat dalam kawasan Dun pembangkang ditolak, kenapa kereta rasmi pula diterima?” persoal Teng.


Shamsuddin yang tersinggung dengan soalan Teng membalas dengan nada keras.

“Saya tak minta (kereta) itu. Ia diputuskan pada masa lepas. Jangan diungkit-ungkitlah. Saya nak jelaskan pasal kereta rasmi. Kereta ini diluluskan zaman mantan menteri besar yang lalu (Tan Sri Khalid Ibrahim). Saya rasa macam tak ikhlas saja. Kalau nak diungkit perkara ini, ambil balik. Saya pun tak perlu itu,” balas Shamsuddin di dalam dewan.

Shamsuddin menyifatkan laporan meluas media berkenaan serahan kunci kereta baru kelmarin sebagai satu langkah populariti yang cuba diraih Azmin setelah menjadi menteri besar baru.

“Lembu punya susu, sapi dapat nama,” kata Shamsuddin di luar dewan apabila diminta ulas oleh wartawan.

“Ini tak sepatutnya berbangkit. Ia berbangkit pun kerana semalam menteri besar yang bagi. Inilah yang dikata lembu punya susu, sapi dapat nama.

“Peruntukan pada ketua pembangkang (termasuk kereta rasmi) telah diberi masa mantan menteri besar lagi. Dia (Khalid Ibrahim) beri kereta lama, sebab kereta baru tak sampai lagi.

“Selama ini saya dah bawa ke hulu ke hilir kereta lama. Bila kereta baru sampai, dia (Azmin) serah pada saya. Dia ambil publisiti.

“Tak sepatutnya perkara ini timbul. Dalam dewan tadi diungkit. Ungkit sebab kami (Adun-Adun BN) tolak peruntukan RM200 ribu. Kalau nak ungkit sangat, ambillah (kereta rasmi)”, kata Shamsuddin.


Kelmarin, Selangor Press dimaklumkan oleh Adun BN Sungai Panjang Budiman Zohdi bahawa mereka belum lagi membincangkan sama ada mahu terima atau tidak cadangan peruntukan RM200 ribu kepada Adun-Adun BN Selangor.

Budiman menempelak bajet negeri dengan menganggap ia sebagai ‘bajet gula-gula’.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 15 November 2014

Isu Hutang Bank Islam : Peguam Sahkan Dakwaan PKR Terhadap Khalid Ibrahim Tidak Benar?


Kenyataan media oleh pihak peguam Mathew Thomas Philip semalam mengesahkan dakwaan PKR terhadap MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim adalah tidak benar.

Khalid Ibrahim merupakan pihak yang menyaman Bank Islam atas isu salah jual saham Kumpulan Guthrie Berhad pada tahun 2007 dan bukan sebaliknya. Ianya berlaku sebelum beliau menjadi Menteri Besar Selangor pada tahun 2008. Sehubungan dengan itu, tidak timbul isu bahawa beliau telah dikompromi integritinya untuk menyelesaikan di luar mahkamah seperti yang didakwa oleh PKR.

Antara alasan yang digunakan PKR untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor adalah masalah integriti beliau yang kononnya telah dikompromi dalam kes penyelesaian luar mahkamah dengan Bank Islam.

Kes yang membabitkan hutang Khalid sebanyak AS$18 juta (RM66.67 juta) dengan Bank Islam Malaysia untuk membeli saham syarikat ketika beliau menerajui Kumpulan Guthrie Berhad.

Berikut adalah kenyataan media oleh pihak peguam yang mewakilinya.



Selanjutnya sila baca di sini.

Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 6 November 2014

AZMIN BEKU PERUNTUKAN KAWASAN PARLIMEN DAN DUN KHALID?


Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali didakwa membekukan saluran peruntukan kawasan Parlimen Bandar Tun Razak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang disandang bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata Faekah Husin.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) itu mendakwa, Bendahari Selangor mengeluarkan arahan pada 25 September lalu supaya membekukan akaun bank Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di dua kawasan terbabit.

“Saya percaya ia dibuat atas arahan Azmin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyelaras DUN Pelabuhan Klang itu berkata, ternyata segala jasa Khalid selama lebih 6 tahun menerajui Selangor dilupakan begitu sahaja kerana politik dendam yang disemai oleh Azmin.

“Azmin memulakan karier dengan langkah sumbang dan akan menghancurkan sifat hormat rakyat dan pegawai kerajaan kepada pemimpin negeri.

“Budaya ini amat berbeza di bawah pentadbiran Khalid yang menyemai budaya bekerja secara profesional tanpa dipengaruhi agenda politik dan peribadi,” katanya.


Faekah mendesak Azmin memberi penjelasan munasabah arahan ini bukan kerana politik balas dendam atau mahu menghukum Khalid.

“Saya percaya barisan pimpinan negeri yang lain tidak bersetuju dengan tindakan ini kerana ia boleh membangkitkan kebencian yang berterusan terhadap Pakatan Rakyat (PR) yang lama berputik dan semakin merebak semenjak bermulanya ‘Langkah Kajang’,” katanya.

Faekah juga mendakwa tindakan itu seolah-olah jawapan atau reaksi kepada titah Sultan Selangor yang menasihatkan agar kepimpinan negeri yang baru mengenepikan sengketa dan membuka lembaran baru demi rakyat.

“Nampaknya menteri besar baharu mahu menghukum bukan sahaja Khalid tetapi seluruh rakyat di Pelabuhan Klang dan Bandar Tun Razak.

“Tindakan keras sebegini tidak pula dilakukan kepada Umno tetapi kepada rakan sekutu yang sama berjuang untuk rakyat dan amat menyedihkan tindakan ini dilakukan terhadap bekas menteri besar yang selama ini bertungkus-lumus memperkasa program kebajikan rakyat di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 4 November 2014

Atlet ke Oslo untuk tengok prosedur?

Jaguh badminton negara, Lee Chong Wei yang akan ke Oslo, Norway sedang menunggu untuk masuk ke balai berlepasdi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam.

Walaupun dibenar menyaksikan sendiri proses ujian doping sampel B dilakukan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di Oslo, Norway, pemain berstatus elit yang dikatakan gagal melepasi pemeriksaan doping masih tidak akan mengetahui keputusan tersebut esok.

Ketua Unit Agensi Anti-Doping Malaysia, Nishel Kumar berkata kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz dan atlet badminton negara tersebut sekadar untuk melihat sampel B dilakukan dengan betul dan bukannya untuk pulang dengan jawapan daripada keputusan berkenaan.

“Tujuan utama atlet terlibat perlu ada semasa proses dilakukan adalah untuk melihat tiada sebarang keraguan pada botol sampel B.

“Malah, jawapan berhubung keputusan ujian sampel B juga tidak akan diketahui pada hari yang sama, sebaliknya pihak makmal hanya akan memaklumkan kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia) manakala atlet hanya akan dimaklumkan kemudian oleh badan induk itu nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Keputusan sampel B pemain badminton tersebut dijangka akan diketahui pada lusa pukul 6 petang waktu tempatan Oslo bersamaan 1 pagi waktu Malaysia (Jumaat).

Malah, BWF yang beribu pejabat di Malaysia hanya akan mengetahui keputusan berhubung sampel B pada Jumaat ini iaitu ketika atlet terlibat dan Dr. Ramlan dalam perjalanan pulang dari Oslo.

Sementara itu, teka-teki atlet badminton terlibat itu hampir terjawab apabila tinjauan di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam mendapati pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei hadir untuk mendaftar bagi penerbangan MH002 ke London bagi transit ke Norway.

Malah setengah jam selepas Chong Wei mendaftar turut kelihatan Dr. Ramlan mendaftar di kaunter yang sama begitu juga Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh.

“Saya ikut bagi memastikan proses sampel B dibuka dan dilakukan dengan betul,” kata Kenny yang ditemui di KLIA.

Mengikut peraturan baharu BWF sekiranya sampel tersebut positif, satu panel khas akan menentukan sama ada atlet tersebut bersalah atau tidak dan hukuman yang akan dikenakan juga bakal diputuskan kemudian.

Atlet terlibat juga dibenarkan BWF untuk membuat rayuan berhubung keputusan yang diperoleh sebelum hukuman dijatuhkan.

Sebelum ini, sukan negara digemparkan dengan berita seorang atlet elit gagal ujian doping dan rentetan daripada isu itu, BAM akhirnya membuat pengakuan pemain elit mereka disahkan positif dadah melalui ujian air ken­cing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos lalu.

Malah sumber memberitahu, pemain itu adalah lelaki, selain turut meraih pingat pada Sukan Asia di Incheon.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 2 November 2014

UMNO Selangor perlu berubah?


Badan Perhubungan UMNO Selangor perlu meneliti tiga semakan realiti politik semasa dengan jiwa yang besar dan minda terbuka, sebelum menyusun langkah serta strategi tepat untuk menawan kembali negeri terkaya itu pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertamanya, UMNO Selangor perlu sedar bahawa parti itu kini cuma tinggal 12 kerusi daripada keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun asalnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 54 kerusi pada pilihan raya umum 2004.

Keduanya jelas beliau, badan perhubungan negeri perlu ingat bahawa Selangor sebuah negeri yang amat strategik, bukan sahaja kepada UMNO dan BN tetapi kerajaan Pusat, kerana di situlah terletak segala-gala yang berkait dengan nilai ekonomi sama ada pelaburan mahu pun peluang perniagaan.

Menurut Perdana Menteri, realiti politik ketiga yang perlu difahami oleh UMNO Selangor ialah badan perhubungan negeri itu berdepan dengan cabaran demografi politik, khususnya dalam kalangan pengundi di kawasan semi bandar dan bandar, yang mana isu politik pembangunan bukan lagi menjadi tarikan.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor agar mengubah strategi, hala tuju, pendekatan serta corak pemikiran mereka untuk mendapatkan keberhasilan lebih baik kerana terbukti strategi sebelum ini bukan sahaja gagal tetapi lebih buruk.

“Kalau kita kumpulkan sebahagian besar daripada 56 kerusi adalah di kawasan semi bandar dan bandar. Politik pembangunan tidak mungkin terlalu ampuh keberkesanannya berbanding kawasan luar bandar. Tak (strategi itu) mungkin memberi kesan kepada peningkatan sokong-an kepada UMNO dan BN.


“Saya lontarkan perkara ini untuk kita sama-sama fikir, apakah kita memerlukan pemikiran luar biasa? Apakah kita perlu strategi luar kelaziman? Apakah kita perlu pemikiran luar kotak untuk capai kejayaan diidamkan,” katanya semasa merasmikan Konvensyen UMNO Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan seluruh barisan kepimpinan UMNO negeri.

Mengulas lanjut Najib berkata, ketiga-tiga semakan realiti politik itu penting kerana jika UMNO Se-langor masih melakukan pendekatan serupa tanpa pembaharuan dan transformasi serta tidak berani untuk berhijrah ke arah lebih baik, beliau khuatir hasrat merampas Selangor tak tercapai.

Ujarnya, jika badan perhubungan negeri masih lagi mengamalkan sikap lama, tidak mungkin ha-sil diharapkan menjadi lebih baik, walaupun rakyat Selangor ketika ini sudah bosan dan muak dengan perkembangan politik yang dicetuskan pakatan pembangkang khususnya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ramai rakyat Selangor bosan tetapi kalau mereka tak yakin lagi kepada pembangkang, boleh atau tidak mereka memberi sokongan kepada kita? Ini persoalannya. Benar kita nampak rakyat bosan dan tak suka, tapi inilah masa dan ketikanya bagi kita memindahkan sokongan kepada UMNO dan BN,” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor