Isnin, 9 Disember 2013

Gelombang transformasi UMNO!

Perwakilan yang hadir mendengar amanat Presiden umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika berucap pada majlis penggulungan perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2013 Sabtu lepas.

Selesai ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan UMNO 2013 dengan serta-merta dua pemimpin lawan kepada UMNO memberi reaksi. Terhadap reaksi Guan Eng dan Anwar itu, sesiapa yang sedikit berpengetahuan mengenai perang psikologi akan tersenyum. Senyum bermaksud mereka dapat mengenal yang dua pemimpin lawan itu memberi reaksi mengikut buku teks perang psikologi.

Buku teks perang psikologi mencadangkan serangan lawan mesti dipintas dengan cepat. Jika tidak begitu, moral pasukan lawan akan membara dan moral pasukan sendiri akan merosot. Dari segi metodologi pula, Anwar menggunakan teknik melembut atau pacify sementara Guan Eng pula menggunakan teknik memberi definisi selari atau definisi garisan tak bertemu.

Terhadap serangan Najib bahawa UMNO sentiasa menghulur tangan perpaduan, Anwar pantas menjawab bahawa dia mengulangi tawarannya untuk berdialog dengan UMNO demi kepentingan negara dan bangsa. Tujuannya, meletakkan Najib dan UMNO semula pada kedudukan mesti menjawab.

Guan Eng pula mencabar kesahihan analogi badminton bagi mewakili sistem 'sesiapa pertama melepasi palang' bagi pilihan raya Malaysia. Demikianlah apabila serangan dilawan dengan serangan, peluru dibalas peluru dalam sesuatu pertempuran. Pertempuran (battle) adalah pertembungan-pertembungan kecil dalam suatu peperangan politik.

Najib telah melontarkan buah fikirannya dalam bentuk ucapan dan direkod oleh pelbagai media. Penganalisis dan pengkaji kemudian akan membuat taksiran sama ada ucapan itu akan memberi impak kepada kekuatan UMNO berbanding lawannya? Najib yang telah beberapa kali menyebut tentang strategi lautan biru, akan dinilai sama ada beliau adalah penganut setia kepada pendekatan itu atau sebaliknya beliau masih ragu dengan kejituan pendekatan itu untuk dirinya dan UMNO. Atau beliau lebih yakin kepada pendekatan gabungan lautan biru dan lautan merah atau pengaruh kepada pendekatan eklektik?

Kemungkinan yang lain ialah, dia yakin dan meyakini strategi lautan biru tetapi arah angin masih belum dapat membawa kapal UMNO keluar daripada lautan merah berdarah. Jika Najib benar-benar meyakini strategi lautan biru berbanding lautan merah berdarah dia akan mengelak daripada menyerang musuh. Sebaliknya dia akan menggunakan tenaga dan mata fikirnya mencari, membina dan mengumpul gelombang besar untuknya membawa bahtera UMNO keluar daripada lautan merah itu.

Gelombang besar inilah yang akan menjadikan Guan Eng dan Anwar serta kapal mereka kehilangan upaya untuk membuat pintasan lalu perlahan-lahan menjadi marginal dan tidak lagi relevan. Saya merasakan gelombang besar itu sudah dicipta, namun serangan-serangan kecil pihak lawan masih berupaya menggoda bahtera UMNO dan askar-askarnya untuk membalas dan dengan itu kelajuan pelayaran UMNO dapat dilambatkan. Kepada pihak lawan UMNO pula, ini wajib dilakukan kerana UMNO mempunyai kelebihan-kelebihan yang tidak ada tandingnya untuk mencipta gelombang besar itu. Kepada saya pula, gelombang besar itu ialah gelombang transformasi.

Berbeza dengan 'reformasi' yang hanya meluruskan kaki bengkok menjadi yang sepatutnya lurus atau membuat pembedahan plastik kepada wajah herot yang sepatutnya bundar, transformasi merubah habitat atau tempat tinggal dan sama sekali merubah tingkahlaku dan keupayaan benda atau perkara yang berubah itu. Seekor ulat yang hidupnya di ranting-ranting pohon dengan tingkahlakunya bergerak perlahan, sebaik melalui suatu tempoh transisi atau morfosis, bertukar menjadi rama-rama yang tidak lagi tinggal di dahan-dahan dengan tingkahlaku baharu yang boleh terapung dan bergerak pantas secara terbang.

Rama-rama itu tidak lagi perlu bersaing dengan ulat-ulat lain untuk merebut makanan pucuk daun muda kerana tabiat makanannya telah berubah kepada manisan debunga serta habit-habit yang baru. Adakah dengan itu Najib dan UMNO sudah benar-benar menjadi rama-rama yang terbang meninggalkan kelompok ulat-ulat pesaingnya, setelah merasa benar-benar bosan dengan golongan itu yang rakus memusnah dedaunan sehingga tidak lagi peduli bahawa tingkahlaku mereka mematikan pohon tempat mereka mendapat rezeki.

Dunia baru

Adakah Najib dan pengikutnya akan berubah kepada hidup estetik dan bebas menjadi pemuja bunga sambil mengambil madunya dengan tertib, elegan dan tidak sekali-kali merosak walau satu kelopak jua bunga yang membekalkannya madu itu? UMNO yang baru dengan kuasa terbangnya membawa bersama mereka setiap warga Malaysia terutamanya Melayu berpindah kepada kehidupan baru yang benci kepada perebutan dan kerakusan, sebaliknya cinta kepada kasih sayang dan dapat pula membantu penghasilan-penghasilan baru di dunia baru yang bebas pertempuran itu?

Perpindahan dan kuasa baru ini akan menjadikan mereka yang tidak bersamanya menjadi tidak relevan. Wajarkah ini dilakukan? Hujah kewajarannya adalah seperti dikatakan oleh Najib bahawa UMNO, orang Melayu dan negara Malaysia 'hendaklah melihat transformasi sebagai sesuatu yang hidup dan bukannya berkala, tidak sahaja berlegar dalam dunia maya dan idea'. Katanya lagi 'hasilnya hendaklah dapat dilihat', sambil dia memetik contoh Great Britain, Korea dan Republik Rakyat Cina yang masing-masing telah mengalami proses transformasi yang disengajakan.

Pemerhati yang juga pengundi, segolongan besarnya Cina dan diikuti India, sedang berkira-kira sama ada mereka perlu terbang bersama UMNO? Mereka mengira adakah jika mereka tidak menyertai, maka pohon yang selama ini mereka turut rebuti akan mati, lalu mereka juga mati bersamanya, sedangkan UMNO dilihat berupaya mencipta dunia baru yang lebih menjanjikan ruang kehidupan yang lebih luas dan akses kepada potensi rezeki yang lebih pelbagai?

Anwar Ibrahim sejak sekian lama, dari usia remaja hingga kini, telah melatih diri dan pengikutnya pantas menggunakan taktik mencipta autoriti selari (parallel authority), mencipta pengikut yang dengan yakin mencabar setiap kebijaksanaan aliran utama (establishment). Semasa Melayu dan Islam ditafsir oleh aliran utama sebagai sesuatu yang tidak terpisah dia menawarkan definisi yang memisahkan dengan membawa slogan bahawa mempromosi patriotisme Melayu itu sebagai 'assabiyah bukan daripada golongan pengikut nabi SAW'. Asas ini kemudian mengalami mutasi kepada gagasan-gagasan lain seperti 'hak asasi manusia', kebijaksanaan sejagat dan banyak lagi.

Tidak sedikit bilangan anak muda Melayu yang takut tidak tergolong dalam golongan pengikut Nabi SAW meninggalkan pasukan patriotik Melayu, lalu menyertai golongan pemisah itu, sebagai permulaan kepada lunturnya laungan patriotik Melayu di kalangan anak muda Melayu atau setidak-tidaknya meletakkan mereka dalam keadaan keliru lalu menjadi pasif. Dalam dunia psikologi ini dikatakan sebagai meaning system. Dalam hal ini, Najib dan UMNO mesti berupaya memindahkan anak muda daripada perangkap kekeliruan dan keadaan pasif kepada suatu sistem makna yang baru.

Sistem makna baru yang ditawarkan nanti hendaklah dilihat dapat membawa keluar pengikut-pengikut, termasuk pengikut lawan, daripada pertempuran panjang 'Melayu melawan assabiyah' yang telah meletih dan memualkan tentera masing-masing. Untuk tujuan itu sistem makna baru hendaklah mengemukakan gagasan 'kepedulian penyudah' (ultimate concern) yang sangat suci (sacred) lagi agung berbanding kepedulian-kepedulian sebelumnya. Semua orang nanti akan sanggup bersusah payah bahkan berkorban untuk kepedulian penyudah yang baru itu.

Dia dilihat sebagai suci dari sebarang bentuk cemar, baik yang hadir mahupun cemar spiritual. Ia hendaklah kepedulian benar yang mudah difahami tanpa diskriminasi keupayaan inteligen, bukan juga kepedulian yang sarat dengan kata-kata retorik lagi bombastik seperti yang dikatakan Najib sebagai tinggal dalam dunia 'idea atau maya sahaja'. Kepedulian baru itu akan mendefinisikan diri, identiti, kehidupan dan matlamat hidup setiap pendokongnya.

Saya dapat menangkap, bahawa bahan-bahan mentah kepada transformasi sistem makna dan kepedulian penyudah yang baru itu telah dibentangkan oleh Najib dengan begitu bijaksana sekali dengan menyebutkan perbandingan perkembangan penduduk Bumiputera Malaysia pada tahun 1970 (permulaan DEB tajaan bapanya) dengan jumlah 6.1 juta atau 56 peratus berbanding sekarang sebanyak 18.6 juta atau 67.9 peratus yang di dalam peratusan itu 59.7 peratus ialah orang Melayu dan Bumiputera Islam. Peratusan Melayu dan Bumiputera Islam (59.7 peratus) melebihi keseluruhan peratusan Bumiputera pada tahun 1970, sementara Bumiputera Bukan Islam pula ialah 7.6 peratus.

Lebih lanjut lagi Najib menyebutkan unjuran penduduk pada tahun 2020 ialah 29.9 juta dengan Melayu dan Bumiputera akan mewakili 69.2 peratus daripada jumlah itu berbanding 22.8 peratus Cina dan tujuh peratus India. Mengapa Najib menyebut data itu? Apa relevannya? Hanya yang bijaksana dapat melihat relevansi data itu dengan gelombang transformasi UMNO yang dinakhodakan oleh Najib dan nakhoda kedua Muhyiddin serta memahami pula apakah mesej yang hendak dihantar kepada UMNO dan rakan-rakannya serta memberi isyarat tertentu kepada pihak lawan, baik yang ekstrem mahupun yang bersederhana.

Marilah kita berdoa semoga nakhoda itu membawa bahtera transformasi menuju laut luas dengan janji wasatiyahnya dan tidak kehilangan kesabaran melayani pintasan-pintasan nakal pihak lawan dengan melanggar setiap kapal kecil lawan atau hidupan laut yang merintangi pelayaran itu.-UMO

Warna-warni Politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor