Ahad, 29 Januari 2012

Tindakan terdesak PAS - 'Pilihanraya olok-olok' akan diadakan di Bandar Puncak Alam esok!



Mungkin sudah terdesak agaknya...!!!

Gempar..!!! Adakah ini tanda-tanda awal MB Khalid G hendak membubarkan DUN Selangor dalam masa terdekat iaitu lebih awal dari PRU ke-13? Khalid ada berani ke nak bubarkan DUN setelah mengetahui dirinya sendiri sudah di TOLAK di DUN Ijok?

Atau adakah MP Kuala Selangor yang juga mantan Pengarah Stategi PAS , DR.Zulkifli Ahmad setelah mengetahui diri beliau semakin ditolak di Kuala Selangor cuba untuk membuat satu 'Pilihanraya Percubaan' bagi menguji samada beliau masih lagi diterima di Kuala Selangor ataupun tidak..!!!

Selama 3 tahun lebih manjadi MP di Kuala Selangor, langsung tiada apa-apa perubahan yang dilakukan di kawasan Parlimennya? Rakyat Kuala Selangor masih perlukah Ahli Parlimen yang sebegini yang hanya menerima alaun bulanan atau lebih tepat lagi dipanggil 'makan gaji buta'. Fikir-fikirkanlah...!!!

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 27 Januari 2012

Sampah Sarap Hadiah Istimewa Buat Rakyat Dari Negeri Kebajikan Selangor!


“Negeri paling busuk. Inilah yang mungkin dimaksudkan pakatan pembangkang sebagai negeri kebajikan di mana sampah sarap hadiah paling istimewa buat rakyat di Selangor”, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.

Jelas beliau lagi keluhan rakyat di banyak kawasan di negeri ini termasuk di Semenyih tentang longgokan sampah adalah bukti ketidakcekapan pentadbiran kerajaan Selangor di bawah pakatan pembangkang.

“Tak payah cakap lagi pasal kebajikan rakyat kalau masalah sampah pun tak mampu diselesaikan.

“Masalah ini nampaknya semakin serius setelah kerajaan Selangor berjaya merampas kerja-kerja pembersihan dan sisa pepejal dari Alam Flora. Nampaknya negeri Selangor tidak ubah seperti tempat pembuangan sampah terbesar di Malaysia”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Jelas beliau lagi di mana-mana sahaja, masalah sampah menjadi buah mulut malah jauh lebih popular berbanding Kelantan yang memang terkenal dengan sampah dan kekotorannya.

Justeru beliau berkata rakyat khususnya masyarakat di Semenyih akan mengadakan satu demonstrasi pada 9 Januari ini sebagai tanda kecewa dan tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan Selangor yang nyata gagal menguruskan soal sampah.

“Kalau Kerajaan Selangor nak rampas kerja-kerja pembersihan dan sisa pepejal dari Alam Flora untuk beri syarikat-syarikat sampah kroni mereka itu dia punya pasal tapi ternyata syarikat yang dilantik itu gagal dan menyusahkan rakyat.

“Inilah akibatnya kalau kerajaan negeri dipimpin oleh gerombolan manusia busuk sampai negeri pun dah jadi negeri busuk sekarang”, ujarnya. -MediaUMNO

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 19 Januari 2012

Tugasan pertama Exco baru Hal Ehwal Ugama Selangor bermula...!!!

Nampak gayanya untuk tugasan pertama MB Khalid sebagai Exco Hal Ehwal Ugama Selangor yang baru, terpaksalah beliau 'turun ke padang' untuk menyelesaikan kemelut 'baru' yang menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dinegara ini.

Jangan pula selepas ini MB Khalid kata ini masalah Kementerian Pendidikan ke, MAIS ke atau JAIS dan bukan masalah Exco Hal Enwal Ugama!

Larang sut renang muslimah!

Seorang pengendali sebuah sekolah tahfiz kesal dengan tindakan Persatuan Renang Amatur Selangor yang didakwa tidak membenarkan 10 peserta termasuk empat pelajarnya menyertai hari terakhir pertandingan renang sempena Sukan Selangor (Sukses) atas alasan pakaian mereka tidak mematuhi syarat ditetapkan.

Pengendali Sekolah Anak-Anak Yatim dan Tahfiz Al-Ijabah, Muhamad Abdullah mendakwa ketika pertandingan itu berlangsung di Pusat Akuatik bermula Sabtu lalu, kesemua peserta terlibat memakai pakaian renang muslim dan muslimah.

“Pada hari Sabtu, para peserta termasuk empat pelajar saya yang menyertai pertandingan yang dianjurkan bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) atas nama Kelab Anak Air dan Kelab Ombak, dibenarkan berenang.

“Tetapi pada hari Ahad, mereka yang berjaya mara ke peringkat seterusnya tidak dibenarkan meneruskan pertandingan atas alasan pakaian renang tidak mematuhi syarat.

“Saya kesal dengan pihak penganjur kerana bersikap berat sebelah sedangkan peserta terlibat termasuk pelajar saya bukan tidak memakai pakaian renang, tetapi pakaian mereka menutup aurat,” kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.


( Sekadar gambar hiasan )

Muhamad memberitahu, insiden tersebut dimaklumkan oleh guru renang sekolahnya, Mohd. Bukhari Ibrahima yang berada bersama pelajar di Pusat Akuatik.

“Saya juga kesal kerana ada ibu bapa peserta renang bawah 12 tahun terpaksa membelikan anak masing-masing pakaian renang biasa yang tidak menutup aurat kerana kasihan mendengar tangisan mereka yang telah bersungguh-sungguh berlatih untuk pertandingan itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak penganjur dan kerajaan negeri termasuk pemimpin beragama Islam bersikap sensitif dan terbuka berhubung tatacara berpakaian untuk pertandingan renang lebih-lebih lagi melibatkan peserta beragama Islam.

Katanya, sebagai negara Islam, umat Islam sewajarnya diberi kebebasan untuk berpakaian menutup aurat tetapi sesuai dalam menyertai pertandingan dan acara sukan.

“Saya berharap agar peserta yang berpakaian renang muslim dan muslimah tidak dianaktirikan selepas ini kerana sebagai negara Islam, umat Islam perlu diberikan kebebasan untuk mengekalkan dan mempertahankan lunas-lunas agama dalam cara berpakaian,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MSNS, Rohaya Yahya ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan Muhamad dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas memperolehi maklumat mengenai kejadian itu.

Umat Islam dinegeri Selangor menanti dengan harapan agar MB Khalid dapat masuk campur untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera...!!!

Warna-warni politik
Torashah..

Isnin, 16 Januari 2012

Cadangan pakatan pembangkang bawa kehancuran!



Pakatan pembangkang boleh dianggap sebagai satu pakatan yang hanya membawa kepada kehancuran negara kerana ia kini dilihat memberikan cadangan bersifat kontroversi, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kini pihak pembangkang membawa syor-syor yang lebih bersifat ke arah kemusnahan masyarakat, sosial dan ekonomi daripada membawa kebaikan.

Terbaru, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat keperluan untuk menyemak semula undang-undang lapuk Malaysia supaya tidak dilihat sebagai menyusahkan dan dianggap sebagai tidak relevan.

Menjawab soalan berkaitan hak-hak golongan gay dan sama ada beliau bersedia menerima "idea anti-diskriminasi yang melibatkan hak-hak golongan gay", Anwar berkata dalam satu wawancara dengan BBC pada Khamis lalu bahawa "kami perlu menyemak semula sebahagian daripada undang-undang lapuk kami."

"Kalau di negara ini majoritinya bukan Islam perkara itu mungkin boleh dilakukan tetapi jika di negara yang majoritinya penduduk Islam sudah pasti rakyat akan berusaha untuk memastikan niat itu tidak akan berlaku malahan akan ditentang habis-habisan," kata Ahmad sebagai mengulas kenyataan Anwar.

Ahmad berkata, selain itu cadangan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan hari ini untuk mengampunkan pesalah kecil juga menjurus untuk membawa negara ke arah kehancuran akibat rasuah.

Ambiga dalam ucapan pada Konvensyen Pakatan Pembangkang di Alor Setar, Kedah semalam berkata, pakatan pembangkang merancang untuk memaafkan perasuah kecil tetapi menghukum perasuah besar untuk memudahkan mereka menawan Putrajaya kelak.

Warna-warni politik
Torashah..

Khamis, 12 Januari 2012

Peniaga Kompleks PKNS Fail Injunksi Halang PKNS Naikkan Kadar Sewa!


Cukai Pintu Tak Turun, Sewa PKNS Naik, PR terus bebankan rakyat Selangor!

Persatuan Peniaga-peniaga Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah memfailkan injunksi bagi menghalang perbadanan itu menaikkan kadar sewa premis perniagaan di kompleks itu yang berkuatkuasa pada 1 Januari baru-baru ini.

Yang Dipertua persatuan berkenaan, Amran Yahya selaku plaintif memfailkan tuntutan bagi pihak penyewa Kompleks PKNS di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Kamarudin & Partners dan menamakan PKNS sebagai defendan.

Kira-kira 100 peniaga dan penyewa premis perniagaan di Kompleks PKNS Shah Alam hadir mengiringi Amran dan peguam Kamarudin Ahmad.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa pada 9 Nov lepas, PKNS tanpa sebarang perbincangan telah memberi notis dalam tempoh dua hingga tujuh hari kepada penyewa untuk menaikkan kadar sewa sebanyak 70 hingga 100 peratus.

Plaintif mendakwa PKNS tidak menjalankan sebarang kerja menambah baik kemudahan di kompleks itu sebagai prasyarat untuk mewajarkan kenaikkan kadar sewa premis perniagaan.

Berikutan tindakan defendan itu, plaintif mendakwa mengemukakan rayuan kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mepertimbangkan semula keputusan PKNS menaikkan sewa.

Persatuan itu mendakwa secara dasar penyewa serta peniaga bersetuju dengan kenaikan munasabah iaitu pada kadar lima ke 10 peratus setiap tiga tahun dan kenaikan itu hanya dikuatkuasakan setelah Kompleks PKNS dinaik taraf secara berperingkat.

Seterusnya, plaintif mendakwa pada September lepas, PKNS telah mengumumkan bahawa Kompleks PKNS akan dipindah milik kepada Amanah Raya Real Estate Investment Trust (ARREIT) di mana sebagai balasannya defendan akan mendapat RM160 juta dan unit saham RM110 juta selain Kompleks PKNS akan disewa balik melalui suatu pajakan selama 12 tahun.


Bagaimanapun, plaintif difahamkan cadangan pindah milik itu dibatalkan.

Persatuan berkenaan mendakwa rayuan terhadap kadar kenaikan sehingga 100 peratus itu tidak mendapat jawapan yang memuaskan dan tindakan defendan amat memprejudis peniaga kompleks PKNS kerana notis bantahan kadar sewa baru diberikan dalam tempoh yang singkat tanpa mengambil kira persediaan yang perlu dibuat oleh penyewa bagi membayar perbezaan cagaran sewa.

Sehubungan itu, plaintif memohon deklarasi bahawa kenaikan kadar sewa daripada 70 hingga 100 peratus oleh PKNS terhadap penyewa atau perniaga Kompleks PKNS Shah Alam melanggar amalan komersil penyewaan premis perniagaan serta tidak sah dan terbatal.

Persatuan itu seterusnya memohon deklarasi bahawa cadangan PKNS untuk memindahkan Kompleks PKNS kepada badan ABREIT melanggar tujuan PKNS ditubuhkan iaitu membangunkan peniaga-peniaga kecil.

Plaintif turut memohon injunksi menghalang PKNS daripada mengganggu atau menghalang peniaga atau penyewa di kompleks itu meneruskan perniagaan mereka atas kadar sewa yang sama, selain ganti rugi, kos dan lain-lain perintah serta relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 7 Januari 2012

Rani jawab kritikan Hasan Ali - Menyokong Anwar adalah JIHAD!


Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Abdul Rani Osman mempertahankan pendirian pihaknya untuk menyertai Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini dan menyifatkan kritikan Datuk Dr. Hasan Ali terhadap beliau sebagai bersifat peribadi.

Katanya, Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas negeri tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian kerana pendirian Pas Selangor itu mendapat persetujuan dan arahan daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, arahan itu jelas diberikan oleh Presiden Pas itu Selasa lalu yang menyatakan akan turut sama menyertai perhimpunan berkenaan yang dirancang diadakan di tempat letak kenderaan Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

‘‘Apa yang dinyatakan oleh Hasan itu, saya anggap bersifat peribadi. Kenyataan beliau tidak melambangkan pendirian Pas secara keseluruhannya.

‘‘Malah, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini juga pernah menyatakan Kempen Bebaskan Anwar 901 adalah perhimpunan halal,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hasan semalam yang membidasnya kerana menggesa ahli parti itu menyertai perhimpunan tersebut sedangkan tiada arahan khusus dibuat oleh pimpinan di peringkat pusat.

Menurut Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Pas Selangor dilihat begitu proaktif atas sebab yang salah sehingga mendahului pimpinan tertinggi parti itu.

Satu persoalan kepada Dr.Rani. Jika ditakdirkan Anwar didapati bersalah oleh mahkamah, adakah anda semua akan melanggar undang-undang untuk membebaskan Anwar! Fikir-fikirkanlah..!!!

Warna-warni politik
Torashah..

Jumaat, 6 Januari 2012

Jangan heret rakyat berdemonstrasi - Hasan Ali!

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali menegaskan adalah tidak wajar rakyat diheret menyertai perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang tidak rela anak-anak muda diheret sama, turut membidas Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Abdul Rani Osman yang menggesa ahli parti itu untuk menyertai perhimpunan tersebut sedangkan tiada arahan khusus dibuat oleh pimpinan di peringkat pusat.

‘‘Pas Selangor nampaknya begitu proaktif atas sebab yang salah, kalau sebab yang betul tidak mengapa. Kalau saudara melihat Ketua Penerangannya terlalu proaktif sehingga mendahului pimpinan di peringkat atasan, Pesuruhjaya negeri pun saya rasa dia membelakangi pandangan pimpinan pusat.

‘‘Saya rasa jemputan Dr. Abdul Rani supaya ahli dan pendokong Pas hadir bersama-sama dalam perhimpunan tersebut, saya katakan itu pendapat peribadi. Itu bukan pendapat daripada Pas negeri, maklumat yang saya terima bahawa pimpinan di peringkat Pas negeri, sama ada Dewan Harian ataupun Perhubungan Negeri seluruhnya tidak tahu pun kenyataan Dr. Abdul Rani.

‘‘Saya rasakan perkara besar seperti ini, perhimpunan itu bukan saja matlamat, tujuan dan hakikatnya besar, maka sebab itu satu orang sahaja tidak boleh membuat keputusan untuk melaungkan kepada orang lain,” katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Dr. Abdul Rani yang meminta anggota Pas di negeri ini turut sama menyertai perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901, Isnin ini.

Terdahulu Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri memberikan sidang media mengenai operasi khas JAIS di seluruh sembilan daerah yang diketuainya pada malam 31 Disember dan malam tahun baru minggu lalu bagi membanteras kegiatan meminum arak, khalwat dan zina di kalangan masyarakat Islam.

Hasan bimbang perhimpunan 901 memberi implikasi kepada anak-anak muda dan remaja yang tidak tahu mengenai persoalan sebenar dan arah tuju parti untuk membawa golongan tersebut.

‘‘Kalau hendak menjadi orang Pas, dia cukup dengan menjadi warganegara, Islam, akil baligh. Maknanya daripada remaja sangat muda, awal-awal remaja, kalau kita minta remaja tingkatan satu tingkatan dua, kalau kita seru pergi ke tempat itu, tanpa mengetahui tentang apa yang sebenarnya, saya bimbang ke arah mana kita hendak membawa mereka ?

‘‘Kita hendak menjadikan mereka sebagai warganegara yang betul-betul dapat mencerminkan mereka membawa bendera kecemerlangan yang selalu saya sebutkan sejak lebih 35 tahun lalu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sikap Dr. Abdul Rani melarang ahli Pas menyertai Himpun sedangkan ia membincangkan tentang akidah Islamiah yang merupakan asas perjuangan Pas sebaliknya menggesa anggota parti menyertai perhimpunan haram 901 yang tidak membabitkan dasar perjuangan parti Islam itu.

‘‘Kalau boleh, saya lebih tua daripada pesuruhjaya yang ada sekarang, saya hendak nasihatkan supaya kena amati betul-betul jejak minda dan pemerhatian perlu dilakukan kerana implikasinya besar,” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 3 Januari 2012

Anwar, Saiful dicabar hadir solat hajat!

Ezam Md. Noor (duduk kiri sekali) , bersama Ibrahim Ali (duduk tiga dari kanan) dan Zulkifli Noordin (duduk dua dari kanan) ketika menghadiri 'Program Perhimpunan Penerangan Perdana 2012: Hapuskan Pengkhianat Negara' di Seksyen 24, Shah Alam, kelmarin.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan menghadiri solat hajat yang akan diadakan pada Khamis dan Jumaat ini di dua buah masjid di Kuala Lumpur.

Beliau yang juga Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkata, solat hajat yang dirancang diadakan pada sebelah malam itu bertujuan memohon kepada Allah untuk menunjukkan kebenaran sekiranya salah seorang daripada mereka berbohong.

Menurut beliau, solat hajat yang akan diadakan pada 5 Januari itu dicadang diadakan di Masjid Negara manakala pada 6 Januari di Masjid Kampung Baru, Masjid Wilayah Persekutuan atau Masjid Jamek Kuala Lumpur.

"Saya cabar Anwar dan Mohd. Saiful Bukhari supaya turun pada hari tersebut bagi memohon petunjuk dan hidayah Allah bagi membuktikan siapa yang benar dan siapa yang berbohong. Kita juga minta dalam solat hajat tersebut supaya yang mana berbohong agar dilaknat Allah.

"Alhamdulilah, baru sebentar tadi saya dapat respons daripada Mohd. Saiful Bukhari yang bersedia untuk hadir... Sekarang saya hanya tunggu jawapan Anwar... Kalau beliau di pihak yang benar, jangan berdalih dan bersembunyi di sebalik kononnya mahkamah rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas 'Program Perhimpunan Penerangan Perdana 2012: Hapuskan Pengkhianat Negara' di Dewan Warisan Kompleks Warga Emas Seksyen 24 di sini semalam.

Hadir sama Senator Mohamad Ezam Mohd. Nor, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta lebih 3,000 warga Shah Alam dan Klang.

Sementara itu, Ibrahim berkata, Perkasa juga telah mengarahkan ahlinya di seluruh negara untuk mengadakan solat hajat sebelum 9 Januari ini.

Menurut beliau, ia bagi memohon supaya ibu kota dan rakyat di negara ini selamat dari segala ancaman yang boleh menghuru-harakan keadaan.

"Solat hajat di masjid dan surau itu telah bermula pada hari ini, saya juga berharap rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, mendokong keluhuran dan undang-undang agar turut sama mengadakan solat hajat.

"Tidak patut dan tidak wajar ada mana-mana pihak hendak mengganggu gugat keamanan pada 9 Januari ini. Biarlah mahkamah yang menentukan keputusannya," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor