Jumaat, 11 Mei 2012

NGO sokong pandangan ADUN DAP!


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menyokong pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama, Dr. Cheah Wing Yin yang menyifatkan tempoh empat tahun pentadbiran pakatan pembangkang di Selangor sebagai dipenuhi pelbagai 'jenaka kesilapan yang melucukan.'

Presiden Persatuan Kebajikan India Malaysia (PKIM), A. Prakash berkata, apa yang dinyatakan oleh ADUN daripada DAP tersebut sememangnya berlaku di daerah Klang yang mana ada ahli majlis didakwa tidak tahu berbahasa Melayu.

Selain itu dakwanya, ada sesetengah ahli majlis tidak menjalankan tanggungjawab mereka menyelesaikan masalah rakyat, selain tidak menyalurkan bantuan meskipun menerima peruntukan tahunan daripada kerajaan negeri sebanyak RM50,000.

"Kita tidak nafikan apa yang dinyatakan oleh wakil rakyat itu (Wing Yin). Di Klang sendiri, rakyat merasai pentadbiran negeri pada hari ini termasuk ahli majlis tidak mengutamakan rakyat dan mengamalkan sikap 'pilih bulu' dalam pembahagian gerai Deepavali," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, paling meragukan ada ahli majlis di daerah itu tidak membuka pejabat mereka untuk memudahkan rakyat mengemukakan permasalahan walaupun difahamkan menerima peruntukan RM2,500 sebulan daripada kerajaan negeri untuk tujuan itu.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin ketika dihubungi berkata, apa yang dinyatakan oleh Wing Yin itu sebenarnya telah dibangkitkan oleh GAPS sejak pertubuhan berkenaan ditubuhkan tiga tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh empat tahun pentadbiran, kerajaan negeri dilihat terpalit dengan pelbagai isu serta dakwaan penyelewengan. Ini termasuk salah guna kuasa melibatkan perlombongan pasir, Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

"Kalau nak menyentuh mengenai ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti, kerajaan negeri sepatutnya faham tiga perkara itu terlebih dahulu, bukannya hanya tahu bercakap sahaja," ujarnya yang turut mahu satu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi menyiasat pentadbiran PKR, DAP dan Pas di negeri ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan hari ini melaporkan Wing Yin telah menulis surat kepada pemimpin partinya bagi menyatakan pandangan bahawa tempoh empat tahun kepimpinan pakatan pembangkang di Selangor dilihat dipenuhi pelbagai 'jenaka kesilapan yang melucukan.'

Beliau mendakwa, terdapat ahli majlis tempatan yang dilantik oleh parti itu tidak boleh mengangkat sumpah jawatan kerana gagal membaca atau bercakap menggunakan bahasa Melayu. Selain itu, Wing Yin turut menyatakan bahawa prinsip cekap, akauntabiliti dan telus yang tidak sepatutnya digunakan sebagai slogan memancing pengundi pada pilihan raya harus dipraktik dan diamalkan parti itu sendiri.

Malah, ADUN itu turut menegur Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan 'Ahli Parlimen berkuasa' yang dilihatnya mempunyai 'keputusan muktamad'.

Pada masa sama, terdapat ahli majlis daripada DAP yang gagal bertindak balas terhadap rungutan yang disuarakan rakyat dan tidak menghadiri mesyuarat bagi menangani pelbagai masalah.









Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor