Isnin, 31 Ogos 2009

Merdeka! Di mana Jalur Gemilang?

HARI ini 31 Ogos 2009, bermakna genap 52 tahun kita mengecapi kemerdekaan. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-52. Hari ini juga genap 10 Ramadan, bermakna, hari kesepuluh umat Islam menjalani ibadah puasa. Semoga kemerdekaan kita dan ibadat kita pada bulan yang mulia ini diberkati.

Disebabkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini jatuh pada bulan puasa dan ketika negara malahan dunia sedang bergelut melawan wabak selesema babi influenza A (H1N1), maka sambutan kali ini terpaksa berlangsung dalam suasana sederhana.

Lebih banyak acara keagamaan diadakan. Bermula dengan cadangan sambutan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia terpaksa dipindahkan ke pekarangan Parlimen. Masa sambutan pada hari ini juga cuma 40 minit. Tetapi semangat sambutan tetap sama. Cuma yang agak mengecewakan ialah keghairahan masyarakat kita mengibarkan Jalur Gemilang. Mungkin sedikit keghairahan boleh dilihat di ibu negara. Itu pun disebabkan program kerajaan MenjalurGemilangkan Kuala Lumpur.

Kerajaan juga dengan sokongan pihak swasta mengagihkan bendera secara percuma. Tetapi bagaimana pula di negeri-negeri lain. Entah kenapa pada tahun ini, tidak nampak keghairahan mengibarkan Jalur Gemilang seperti yang pernah dialami dalam sambutan yang sama beberapa tahun lampau. Dulu, disebabkan ada satu peraduan yang menawarkan hadiah, maka berlumba-lumba pemilik kenderaan mengibarkan Jalur Gemilang. Tetapi kali ini jumlah kenderaan yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dihitung dengan jari.

Tidak percaya? Cuba anda duduk di mana-mana plaza tol dan bilang berapa banyak kenderaan yang melintasi plaza tol itu yang mengibarkan Jalur Gemilang. Kemeriahan di bangunan juga agak kurang. Kibaran Jalur Gemilang di rumah kediaman - banglo, teres, apartmen dan sebagainya juga tidak menggalakkan.

Adakah kerana pemilik kenderaan tidak mendapat bekalan percuma? Adakah pemilik bangunan dan kediaman tidak mempunyai bajet untuk menghiasi bangunan mereka dengan Jalur Gemilang? Tidak dinafikan ramai juga yang menantikan Jalur Gemilang percuma. Kalau dapat... pasang, tak dapat... tidak apa. Itulah sikap orang kita. Samalah seperti nasihat supaya memakai penutup hidung dan mulut dalam usaha mencegah selesema babi. Dah terbalik... mengubat lebih baik daripada mencegah.

Harga RM0.80 bagi setiap helai penutup hidung dan mulut itu dianggap mahal (jika dibandingkan harga sebelum wabak) bagi menjaga kesihatan. Membeli dua helai penutup hidung dan mulut, seseorang itu mampu membeli satu kilogram gula pasir yang lebih memudaratkan.
Bagaimanapun tidak dinafikan, penutup hidung dan mulut yang perlu 'pakai buang' dalam sehari itu mahal sedangkan harga asalnya tidaklah sehingga mencecah RM0.80 sen.

Di Jalan Tuanku Abdul Rahman, sebelum harga kawalan dikenakan, untuk dua helai penutup hidung dan mulut boleh diperoleh dengan harga RM1.50 sen. Maknanya boleh dapat harga lebih murah. Begitu juga dengan perokok yang sanggup membeli sekotak rokok pada harga RM6.80 tetapi tidak mampu mendapatkan sehelai bendera kecil yang harganya tidak lebih daripada RM3 sedangkan pada harga sekotak rokok, seseorang itu mampu mendapat sehelai bendera besar.

Itulah bezanya, antara Jalur Gemilang, penutup hidung dan mulut. Satu untuk menunjukkan rasa bangga terhadap kemerdekaan sementara yang satu lagi berkait rapat dengan penjagaan kesihatan. Kedua-duanya mahu mengharapkan yang percuma sedangkan tidak harus ada tolak ansur dalam penjagaan kesihatan.

Bagi kebanyakan orang, dua perkara ini - pasang bendera dan memakai penutup hidung dan mulut bukanlah satu kemestian. Namun bak kata Nabil Raja Lawak: "Lu pikir la sendiri".
Lagi pun ramai yang akan berkata, setakat memasang atau mengibarkan bendera bukan melambangkan kecintaan sebenar seseorang terhadap erti kemerdekaan. Apa yang penting, niat kita. Tetapi dengan kibaran Jalur Gemilang, sekurang-kurangnya kita dapat mengingati akan kemerdekaan serta menunjukkan semangat patriotik.

Sampai bila kita akan bergantung kepada kerajaan untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan? Kerajaan boleh beri bendera percuma malahan tahun ini, pihak swasta menyediakan 3.1 juta helai bendera. Tetapi sekali sekala bolehlah, takkan saban tahun. Ada juga manusia yang selepas mendapat bendera, dia pasang dan kemudian biar reput di tengah panas dan hujan. Ada pula yang simpan bendera tetapi apabila tiba 31 Ogos, malas nak pasang. Maka reputlah bendera itu dalam simpanan.

Apa pun, sempena ulang tahun kemerdekaan ini, sama-samalah kita mengingati semula liku-liku perjuangan pemimpin yang berjuang menuntut kemerdekaan negara. Fahamilah erti kemerdekaan yang sebenarnya. Seperti perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi, apa yang penting, rakyat perlu terus mengurus kejayaan dan membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang terpupuk selama ini.

"Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malahan akan musnah jika rakyat tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan," kata Najib.
Memang benar untuk membina sebuah bangunan pencakar langit akan mengambil masa yang terlalu lama, memerlukan ribuan pekerja. Begitu juga untuk membina suasana kerukunan yang ada pada hari ini bukanlah satu kerja mudah.

Banyak yang terpaksa dikorbankan untuk mencapai sebuah negara yang bermula dengan Malaya, kemudiannya Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia. Tetapi untuk memusnahkan sesuatu cukup mudah. Sebuah bangunan boleh runtuh dan ranap hanya sekelip mata sama ada dengan kuasa Tuhan melalui gempa bumi atau ciptaan manusia seperti letupan bom atau dilanggar menggunakan pesawat.

Begitu juga bagi memusnahkan suasana kerukunan hari ini terlalu mudah. Hanya sekadar meniup api perkauman, sentimen kaum, maka akan tercetuslah mala petaka yang ditakuti. Justeru, jagalah kerukunan yang ada supaya ia tidak hancur lebur kerana perkara titik bangkit.
Salam 1Malaysia. Selamat Hari Kebangsaan Malaysia!

Warna-warni Politik
Torashah

Khamis, 27 Ogos 2009

Nik Abdul Aziz Nik Mat antara tiga terbunuh dalam nahas jalan raya!

KUANTAN 26 Ogos — Seorang pekerja kilang bernama Nik Abdul Aziz Nik Mat serta kakak dan anak saudaranya terbunuh selepas kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori penghantaran cepat di Kilometer 15, Jalan Bentong-Raub, dekat Lurah Bilut, hari ini.

Nik Abdul Aziz, 27, dari Bandar Baru Bangi, Selangor; kakaknya, Nik Hasmah, 29, dan anak Nik Hasmah, Mohd. Adib Daniel Amizan, lima tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas pada 2.20 pagi tadi.

Yang cedera parah ialah seorang lagi kakak Nik Abdul Aziz, Nik Nab Nik Mat, 45, dan anaknya, Adibah Mohd. Fikri, 12, murid Sekolah Rendah Jalan Cochrane, Kuala Lumpur yang dikejarkan ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Rosli Abdul Rahman berkata, kesemua mereka sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas pulang bercuti di Kampung Tempinis, Besut, Terengganu sempena cuti persekolahan sekarang.

“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah lori penghantaran ekspres yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu terbabas ke laluan bertentangan dipercayai akibat permukaan jalan licin kerana hujan lebat sebelum bertembung dengan kereta mangsa,” katanya.

Ketiga-tiga mangsa yang terbunuh itu mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Kelindan lori terbabit berumur 60 tahun turut mengalami kecederaan parah manakala pemandunya hanya mengalami cedera ringan, kata Rosli.

Katanya, pemandu lori terbabit kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong untuk siasatan lanjut. Saksi kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Cif Insp Nor Bulian Zakaria di talian 09-2222222, bagi membantu siasatan. - Bernama

Rabu, 19 Ogos 2009

Tapak Kuil Pernah Di Pohon Oleh Skuad Penyelamat Malaysia!

Sebenarnya tapak kuil itu pernah di pohon oleh Skuad Penyelamat Malaysia untuk dijadikan sebagai pusat latihan dan bilik gerakan mereka, memang pada asalnya tapak yang sebesar itu telah diperuntukan oleh kerajaan negeri sebelum ini untuk Skuad Penyelamat Malaysia, tapi selepas kemenangan Pakatan Haram, tapak itu telah di berikan kepada orang India yang tak sampai pun 100 orang untuk di bina kuil mereka.

Bekas Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Salamon Selamat berkata, kuil tidak boleh dibina di tapak di Seksyen 23 dekat sini seperti yang diputuskan oleh kerajaan negeri kerana pelan pembangunan tidak memasukkan pembinaan rumah ibadat di kawasan tersebut.

Menurutnya, pembangunan di sesuatu kawasan mesti mengikut perancangan yang telah dipersetujui setelah melalui proses hebahan dan diwartakan oleh pihak berkuasa.

Ekoran itu jelasnya, tindakan kerajaan negeri mahu meneruskan pembinaan kuil itu adalah tidak betul dan menyalahi proses undang-undang.''Mengikut peraturan, jika mahu membuat projek yang tidak dinyatakan dalam pelan pembangunan, maka pendengaran awam perlu dilakukan terlebih dahulu.''Dari situ baru diputuskan sama ada projek itu boleh diteruskan atau sebaliknya.

Tetapi kerajaan negeri telah membuat keputusan membina kuil itu tanpa membuat pendengaran awam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Salamon pernah menjadi Datuk Bandar Shah Alam dari tahun 2002 hingga 2004.

Beliau mengulas tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tetap dengan keputusan untuk membina kuil itu di situ bagi memindahkan kuil dari Seksyen 19.Salamon berkata, seingat beliau, sebenarnya satu tapak baru bagi memindahkan kuil di Seksyen 19 itu telah diluluskan di Seksyen 26.

Malah, tambahnya, tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu telah diratakan dan hanya menunggu proses pemindahan kuil tersebut sahaja.''Namun apabila bertukar kerajaan negeri, perancangan itu dibatalkan dan digantikan dengan tapak baru di Seksyen 23," ujar beliau.

Katanya, ekoran itu, tindakan kerajaan negeri tetap mahu membina kuil di Seksyen 23 adalah tidak adil kerana tidak mengambil kira perasaan penduduk Islam selain melanggar proses undang-undang.

Warna-warni Politik
Torashah

Selasa, 18 Ogos 2009

Amaran penduduk Seksyen 23, Shah Alam!

Penduduk Islam Seksyen 23 di sini memberi amaran akan melancarkan bantahan besar-besaran sekiranya kerajaan negeri tetap meneruskan keputusan untuk membina kuil berhampiran kawasan kediaman mereka. Menurut mereka, cadangan kerajaan negeri itu sepatutnya tidak perlu dibuat langsung kerana komposisi penduduk di kawasan tersebut majoritinya beragama Islam.

Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Persatuan Penduduk Seksyen 23, Ibrahim Sabri berkata, pihaknya kesal dengan keputusan itu yang jelas menunjukkan sikap kerajaan negeri tidak menghormati pandangan penduduk Islam di situ. Malah, katanya, sebelum membuat keputusan pembinaan kuil kira-kira dua bulan lalu, tiada sebarang perbincangan dibuat dengan para penduduk.

"Ini yang kita (penduduk) kesalkan, sepatutnya kerajaan negeri berbincang dengan kita dahulu sebelum membuat apa juga keputusan. "Pada masa yang sama juga, kerajaan negeri patut memikirkan sensitiviti umat Islam di kawasan ini. Jika keputusan pembinaan kuil ini diteruskan, kita jamin akan berlaku bantahan daripada penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum bantahan terhadap pembinaan kuil itu kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta dua lagi Exco Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini. Exco berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hassan Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar.

Semalam, kira-kira 200 penduduk Islam di Seksyen 23 itu berkumpul secara aman membantah cadangan pembinaan kuil di atas tapak tanah seluas 02 hektar yang terletak kira-kira 100 meter dari kawasan perumahan. Dalam perhimpunan pukul 10 pagi itu, penduduk mempersoalkan kewajaran pembinaan kuil tersebut kerana bilangan mereka beragama Hindu di kawasan itu hanya sekitar 40 orang sahaja daripada jumlah keseluruhan penduduk seramai 400 orang.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Xavier, Abdul Razak Ismail yang menerima memorandum tersebut memberitahu, pihaknya tidak dapat memberikan sebarang keputusan sama ada untuk meneruskan atau menarik balik cadangan pembinaan itu. Sebaliknya, beliau memberi jaminan bahawa bantahan yang dikemukakan penduduk itu akan dibincangkan pada mesyuarat Exco dalam tempoh terdekat.

Manakala JAIS persoal Exco lulus bina kuil....

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjelaskan keputusan pembinaan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu termasuk di Seksyen 23 di sini yang mendapat bantahan penduduk Islam ditentukan oleh jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Exco berkaitan portfolio berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, amalan itu adalah berbeza dengan dahulu iaitu sebarang pembinaan rumah ibadat bukan Islam sama ada kuil, tokong dan sebagainya diputuskan oleh jawatankuasa negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sendiri.

Ekoran itu jelasnya, selepas Selangor diperintah kerajaan campuran urusan berkaitan pembinaan rumah ibadat bukan Islam diputuskan oleh Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam yang dipengerusikan oleh Dr. Xavier Jayakumar.

Xavier adalah juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor. ‘‘Maka itu dalam soal cadangan pembinaan kuil di kawasan majoriti Islam di Seksyen 23, kita mahu supaya kerajaan negeri menimbang semula pembinaan kuil di kawasan berkenaan.

‘‘Pertimbangan sedemikian perlu dibuat kerana isu pembinaan rumah ibadat itu dikhuatiri akan menimbulkan ketegangan di kalangan rakyat di Selangor terutamanya melibatkan soal agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhammed Khusrin menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri mahu membina sebuah kuil di seksyen tersebut. Tindakan itu menimbulkan kemarahan penduduk dan menuntut kerajaan negeri memberi kewajarannya kerana hanya terdapat 40 penghuni India di situ berbanding kira-kira 400 orang Islam tinggal di kawasan tersebut.

Beliau menambah, walaupun terdapat perubahan dari segi amalan pentadbiran tetapi pembinaan rumah ibadat bukan Islam di kawasan majoriti umat Islam perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan rasa tidak puas hati sehingga mengundang perkara-perkara yang tidak diingini.

Namun beliau berharap penduduk Islam di kawasan terlibat khususnya tidak bertindak di luar batasan agama dan undang-undang ekoran bantahan itu sebaliknya menghormati antara satu sama lain tidak mengira apa kaum dan agama yang dianuti.

Warna-warni politik

Torashah

Ahad, 9 Ogos 2009

Selangor nadi negara - Najib

KUALA SELANGOR 9 0gos - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau mahu Selangor dikembalikan semula ke tangan Barisan Nasional (BN) kerana negeri ini penting sebagai nadi negara.

"Peluang untuk BN berkuasa semula di Selangor tetap ada tetapi dengan syarat parti-parti komponen yang diterajui UMNO sudah insaf dan menyedari kekurangan diri dan sanggup berubah," kata beliau yang juga Presiden UMNO semasa berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor di sini hari ini.

Selain daripada itu, beliau berkata, UMNO tidak boleh mempunyai perasaan benci kepada orang lain dalam keluarga BN dan perlu berjuang bersama-sama dalam satu keluarga besar berganding bahu berjuang secara seia sekata dan sehaluan.

“Ini harapan saya ... pesanan saya kalau hendak menang buat cara nak menang, jangan kita kata nak menang tapi perbuatan kita menempah kekalahan,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Najib berkata, perancangan itu yang dipanggil sebagai “Formula Pekan” telah membawa beliau ke persada yang lebih tinggi di dalam politik negara sehingga menjadi Perdana Menteri dan presiden parti.

Warna-warni Politik
Torashah

Suasana semasa persidangan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor yang dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak bertempat di Dewan Dr. Haji Abu Hassan Omar, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor.
Gambar Atas : Penerima Amanah Saham 1 Malaysia.


Gambar Bawah : YB Datuk Haji Amiruddin Setro, wakil rakyat DUN Jeram bergambar bersama-sama wartawan-wartawan dari akhbar SINAR selepas persidangan.

Khamis, 6 Ogos 2009

MB Selangor tolak desakan Ronnie diganti, selesai isu arak Jumaat!!!

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan menyelesaikan isu penjualan minuman keras - sehingga menyebabkan PAS mendesak Exco Kerajaan Tempatan Ronnie Liu digugurkan, Jumaat ini.

Dalam tempoh tersebut semua exco kerajaan negeri tidak dibenarkan bercakap atau membuat komen tentang perkara tersebut. Malah, Khalid juga menolak desakan agar Ronnie Liu digantikan dengan orang lain bagi memegang portfolio tersebut.

Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Exco hari ini. "Langkah ini penting bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh menyebabkan ketegangan di kalangan masyarakat di Selangor," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan petang ini.

Menurut Khalid, kerajaan negeri telah mengadakan dialog umum dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan sektor perniagaan berhubung dengan isu ini. "Dengan ini kami yakin akan dapat mencapai satu penyelesaian yang munasabah bagi semua kaum di Selangor," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai desakan PAS Selangor supaya exco kerajaan negeri, Ronnie Liu meletakkan jawatannya, Khaled bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
"Dia (Ronnie) bukan isu dalam menyelesaikan masalah ini (masalah penjualan arak di Selangor)," katanya.

Khaled yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menolak tindakan PAS Selangor itu.
"Oleh sebab itu, mulai hari ini tiada komen yang boleh dibuat supaya memberi masa kepada usaha untuk menyelesaikan isu penjualan minuman keras. "Saya sendiri akan menyelesaikan masalah ini (masalah penjualan arak di Selangor).

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut Khaled berkata: "Saya akan mencari mekanisma terbaik dan adil untuk kepuasan semua pihak dan keputusan ini telah dipersetujui oleh semua parti".
Semalam, PAS Selangor mendesak kerajaan negeri menukar Exco Kerajaan Tempatan sekarang iaitu Ronnie Liu ekoran campur tangan ahli-ahli politik dalam isu jual arak di negeri itu.
Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu Menteri Besar Selangor sendiri memegang jawatan itu ataupun diberikan kepada mana-mana pemimpin lain.

"PAS Selangor menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula atau ditukar berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.
"PAS rasakan bahawa pemegang yang sekarang ini ada sedikit masalah, insiden terdahulu timbul sedikit permasalahan," kata Hasan lagi.

Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor berkata, beliau belum memaklumkan pendirian PAS itu kepada Menteri Besar dan Ronnie Liu sendiri. Dalam pada itu, kerajaan negeri Selangor mencadangkan proses penyiasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) terhadap mana-mana Excö atau kakitangannya perlu diiringi oleh seorang penasihat undang-undang.

Khalid berkata, langkah itu bagi memastikan proses siasatan SPRM adalah telus.
"Kita (kerajaan negeri) akan menyediakan bilik untuk mereka (SPRM) adakan proses soal siasat. Kita tidak akan menghalang mereka (SPRM) datang tetapi mereka mesti menghormati syarat yang ditetapkan," katanya. - *online

Warna-warni politik
Torashah

Rabu, 5 Ogos 2009

Pas desak tarik portfolio Ronnie!

Pas Selangor hari ini mendesak kerajaan negeri menarik balik portfolio kerajaan tempatan yang dipegang Ronnie Liu berikutan beberapa masalah yang ditimbulkan wakil rakyat DAP itu. Portfolio itu diminta diserahkan kepada Exco lain atau dipegang oleh Menteri Besar sendiri.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, antara masalah yang ditimbulkan Ronnie yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri itu ialah sering campur tangan dalam tugas pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga menyukarkan penguatkuasaan dijalankan.

Hassan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor berkata, campur tangan itu telah mengganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan terlibat.
"Beberapa aduan mengenai tindakan Ronnie termasuk campur tangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai lalu dengan mempertikaikan keputusan PBT dan para pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan tugas ternyata mengingkari saluran pentadbiran yang sepatutnya.

"Juga dalam operasi arak dan maksiat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Bandar Sunway dekat sini beberapa hari lalu," katanya di sini hari ini. Kata Hassan, Ronnie telah mempersoalkan operasi itu dengan menghubungi Yang Dipertua MPSJ.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas untuk menyatakan pendirian Pas berhubung tindakan Ronnie mencampuri tugas PBT termasuk mengarahkan MBSA memulangkan minuman keras yang dirampas dari sebuah kedai serbaneka di Jalan Liku, Seksyen 8 di sini Khamis lalu.

Bagi Pas Selangor, kata Hassan, apa yang dilakukan Ronnie adalah sesuatu yang tidak sihat kerana seseorang Exco boleh campur tangan jika hanya membabitkan polisi bukannya hal-hal seperti itu. Menurut beliau, desakan Pas itu akan disampaikan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan semua pemimpin pakatan pembangkang dalam mesyuarat yang diadakan petang ini selain membawanya ke mesyuarat Exco esok.

Lanjutan itu katanya, Pas Selangor juga mendesak kerajaan negeri agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 untuk diguna pakai di seluruh negeri bagi menyekat kontroversi seumpama itu berulang.

Katanya, arahan turut akan dikeluarkan kepada seluruh ahli Pas negeri untuk mengambil langkah-langkah wajar agar usaha membebaskan umat Islam daripada arak dilakukan secara lebih serius dan berterusan mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada. Tambahnya, Pas Selangor juga akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak di kalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasakan di peringkat PBT bagi membolehkan undang-undang sedia ada dapat digunakan dengan lebih berhemah.

''Kita juga akan mencadangkan agar minuman keras tidak boleh dijual di kawasan majoriti penduduk Islam seperti di beberapa kawasan di Shah Alam dan Bangi dan bagi kedai yang menjual minuman keras pekerjanya haruslah bukan beragama Islam.

''Bagaimanapun Pas Selangor tidak pernah menuntut arak ini diharamkan daripada dijual atau diminum di kalangan masyarakat bukan Islam," tegas beliau. Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohamad Shahir yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, Pemuda Pas Selangor akan menghantar memorandum kepada Ronnie pada hari ini atau esok bagi membantah tindakannya campur tangan dalam tugas penguatkuasaan PBT.

Selain itu, Pemuda Pas juga melakukan demonstrasi aman di kawasan masjid pada Jumaat ini bagi mendesak kerajaan negeri mengambil tindakan ke atas Ronnie dengan menukar portfolionya.- UM

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor