Selasa, 4 November 2014

Atlet ke Oslo untuk tengok prosedur?

Jaguh badminton negara, Lee Chong Wei yang akan ke Oslo, Norway sedang menunggu untuk masuk ke balai berlepasdi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam.

Walaupun dibenar menyaksikan sendiri proses ujian doping sampel B dilakukan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) di Oslo, Norway, pemain berstatus elit yang dikatakan gagal melepasi pemeriksaan doping masih tidak akan mengetahui keputusan tersebut esok.

Ketua Unit Agensi Anti-Doping Malaysia, Nishel Kumar berkata kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz dan atlet badminton negara tersebut sekadar untuk melihat sampel B dilakukan dengan betul dan bukannya untuk pulang dengan jawapan daripada keputusan berkenaan.

“Tujuan utama atlet terlibat perlu ada semasa proses dilakukan adalah untuk melihat tiada sebarang keraguan pada botol sampel B.

“Malah, jawapan berhubung keputusan ujian sampel B juga tidak akan diketahui pada hari yang sama, sebaliknya pihak makmal hanya akan memaklumkan kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia) manakala atlet hanya akan dimaklumkan kemudian oleh badan induk itu nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Keputusan sampel B pemain badminton tersebut dijangka akan diketahui pada lusa pukul 6 petang waktu tempatan Oslo bersamaan 1 pagi waktu Malaysia (Jumaat).

Malah, BWF yang beribu pejabat di Malaysia hanya akan mengetahui keputusan berhubung sampel B pada Jumaat ini iaitu ketika atlet terlibat dan Dr. Ramlan dalam perjalanan pulang dari Oslo.

Sementara itu, teka-teki atlet badminton terlibat itu hampir terjawab apabila tinjauan di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam mendapati pemain badminton No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei hadir untuk mendaftar bagi penerbangan MH002 ke London bagi transit ke Norway.

Malah setengah jam selepas Chong Wei mendaftar turut kelihatan Dr. Ramlan mendaftar di kaunter yang sama begitu juga Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh.

“Saya ikut bagi memastikan proses sampel B dibuka dan dilakukan dengan betul,” kata Kenny yang ditemui di KLIA.

Mengikut peraturan baharu BWF sekiranya sampel tersebut positif, satu panel khas akan menentukan sama ada atlet tersebut bersalah atau tidak dan hukuman yang akan dikenakan juga bakal diputuskan kemudian.

Atlet terlibat juga dibenarkan BWF untuk membuat rayuan berhubung keputusan yang diperoleh sebelum hukuman dijatuhkan.

Sebelum ini, sukan negara digemparkan dengan berita seorang atlet elit gagal ujian doping dan rentetan daripada isu itu, BAM akhirnya membuat pengakuan pemain elit mereka disahkan positif dadah melalui ujian air ken­cing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos lalu.

Malah sumber memberitahu, pemain itu adalah lelaki, selain turut meraih pingat pada Sukan Asia di Incheon.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 2 November 2014

UMNO Selangor perlu berubah?


Badan Perhubungan UMNO Selangor perlu meneliti tiga semakan realiti politik semasa dengan jiwa yang besar dan minda terbuka, sebelum menyusun langkah serta strategi tepat untuk menawan kembali negeri terkaya itu pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertamanya, UMNO Selangor perlu sedar bahawa parti itu kini cuma tinggal 12 kerusi daripada keseluruhan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN), walaupun asalnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi 54 kerusi pada pilihan raya umum 2004.

Keduanya jelas beliau, badan perhubungan negeri perlu ingat bahawa Selangor sebuah negeri yang amat strategik, bukan sahaja kepada UMNO dan BN tetapi kerajaan Pusat, kerana di situlah terletak segala-gala yang berkait dengan nilai ekonomi sama ada pelaburan mahu pun peluang perniagaan.

Menurut Perdana Menteri, realiti politik ketiga yang perlu difahami oleh UMNO Selangor ialah badan perhubungan negeri itu berdepan dengan cabaran demografi politik, khususnya dalam kalangan pengundi di kawasan semi bandar dan bandar, yang mana isu politik pembangunan bukan lagi menjadi tarikan.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor agar mengubah strategi, hala tuju, pendekatan serta corak pemikiran mereka untuk mendapatkan keberhasilan lebih baik kerana terbukti strategi sebelum ini bukan sahaja gagal tetapi lebih buruk.

“Kalau kita kumpulkan sebahagian besar daripada 56 kerusi adalah di kawasan semi bandar dan bandar. Politik pembangunan tidak mungkin terlalu ampuh keberkesanannya berbanding kawasan luar bandar. Tak (strategi itu) mungkin memberi kesan kepada peningkatan sokong-an kepada UMNO dan BN.


“Saya lontarkan perkara ini untuk kita sama-sama fikir, apakah kita memerlukan pemikiran luar biasa? Apakah kita perlu strategi luar kelaziman? Apakah kita perlu pemikiran luar kotak untuk capai kejayaan diidamkan,” katanya semasa merasmikan Konvensyen UMNO Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan seluruh barisan kepimpinan UMNO negeri.

Mengulas lanjut Najib berkata, ketiga-tiga semakan realiti politik itu penting kerana jika UMNO Se-langor masih melakukan pendekatan serupa tanpa pembaharuan dan transformasi serta tidak berani untuk berhijrah ke arah lebih baik, beliau khuatir hasrat merampas Selangor tak tercapai.

Ujarnya, jika badan perhubungan negeri masih lagi mengamalkan sikap lama, tidak mungkin ha-sil diharapkan menjadi lebih baik, walaupun rakyat Selangor ketika ini sudah bosan dan muak dengan perkembangan politik yang dicetuskan pakatan pembangkang khususnya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ramai rakyat Selangor bosan tetapi kalau mereka tak yakin lagi kepada pembangkang, boleh atau tidak mereka memberi sokongan kepada kita? Ini persoalannya. Benar kita nampak rakyat bosan dan tak suka, tapi inilah masa dan ketikanya bagi kita memindahkan sokongan kepada UMNO dan BN,” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 25 September 2014

Istiadat angkat sumpah Azmin di Istana Alam Shah 'suram'?


Berbeza seperti sebelum ini, istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali di Istana Alam Shah di sini hari ini kelihatan agak 'suram'.

Tidak ramai tetamu dijemput termasuk wartawan yang dihadkan untuk media arus perdana sahaja menyebabkan kira-kira separuh daripada jumlah kerusi yang disediakan dalam balairung seri dipenuhi.

Kelibat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang sebelum ini dicalonkan sebagai Menteri Besar oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak kelihatan.

Antara yang hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Hannah Yeoh dan empat Exco kerajaan negeri daripada Pas iaitu Iskandar Abdul Samad, Dr. Halimah Ali, Dr. Ahmad Yunus Hairi serta Sallehen Mukhyi

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pihak istana tidak menjemput ramai tetamu bagi istiadat kali ini.


"Kita tidak jemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti lazimnya.

"Kita jemput tetamu tertentu seperti Exco kerajaan negeri, Speaker DUN dan pegawai-pegawai kerajaan," katanya ketika ditemui dalam majlis istiadat angkat sumpah Menteri Besar yang baharu.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR secara rasminya hari ini menjadi Menteri Besar ke-15 selepas mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Azmin tiba di balairung seri, Istana Alam Shah kira-kira pukul 10.20 pagi, lengkap dengan persalinan baju Melayu tradisional, bersamping, memakai tengkolok dan keris bersama isteri, Shamsidar Taharin dan enam anaknya.

Dalam istiadat itu yang bermula pukul 10.30 pagi, Azmin mengangkat sumpah sambil memegang Lembing Sembuana diikuti lafaz 10 Aku Janji jawatan Menteri Besar Selangor yang perlu dilaksanakannya sepanjang menjawat kedudukan tersebut.

ADUN Bukit Antarabangsa itu kemudiannya menandatangani Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor sambil disaksikan oleh Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Dalam majlis sama, Azmin turut dilantik sebagai Ahli Dewan Diraja Negeri Selangor seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Majlis berkenaan berakhir kira-kira pukul 11 pagi.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 6 September 2014

Penarik kereta dihukum gantung?

DARI KIRI: Cheong Mei Kuen, Koong Swee Kwan

"Keadilan telah ditegakkan. Akhirnya saya dapat melihat cahaya di hujung terowong dan Hussain akan melihat keadilan itu terlaksana melalui mata saya."

Demikian kenyataan isteri kepada pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas penarik kereta, Koong Swee Kwan.

Cheong Mei Kuen, 49, yang turut terkena tembakan dan hampir menemui ajal memberikan kenyataan bertulis tersebut selepas ditanya oleh pihak media melalui peguam­nya, Leng Wie Mun.

Wanita itu turut mengucapkan terima kasih kepada mahkamah, pihak pendakwaan, pihak polis yang menyiasat kes tersebut, peguam-peguam pemerhati keluarganya dan orang awam yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Terdahulu, Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Swee Kwan, 45, yang didapati bersalah membunuh Hussain setelah beliau memutuskan pembelaan tertuduh merupakan penafian semata-mata dan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan.


Hakim tersebut turut menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas tertuduh bagi kesalahan cuba membunuh Mei Kuen di tempat yang sama.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di tempat letak kereta di Tokong Cina Kuan Yin, No. 4, Lorong Ceylon, Dang Wangi di sini di antara pukul 1.30 dan 2 petang, 29 Julai 2013.

Pertuduhan bagi kesalahan membunuh Hussain, 75, dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala dakwaan bagi cubaan membunuh Mei Kuen dibuat mengikut Seksyen 307(1) akta sama.

Seramai 17 saksi dipanggil memberi keterangan di peringkat pendakwaan sementara Swee Kwan memberikan keterangan dari kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah merupakan saksi tunggal di peringkat pembelaan.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, suasana di mahkamah menjadi agak sayu apabila Mei Kuen mula menangis ketika membacakan kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) yang ditulisnya dalam bahasa Inggeris.

Sambil menggambarkan Allahyarham suaminya merupakan seorang lelaki yang lembut, baik hati dan merendah diri serta sedang merancang untuk menubuhkan Yayasan Hussain Najadi bagi membantu pendidikan anak-anak yatim dan kurang berkemampuan, Mei Kuen menyatakan, Hussain sedang menjalankan aktiviti seharian ketika nyawanya diragut dengan kejam oleh tertuduh.

"Suami saya telah dibunuh, di negara yang sangat beliau cintai meninggalkan isteri yang mencintainya yang turut ditembak dan hampir mati. Motif dan alasan ia berlaku, masih tidak diketahui. Akan sentiasa terpahat di ingatan dan hati saya saat-saat terakhir kejadian itu. Saya diselubungi kedukaan, kesengsaraan dan kesakitan yang tiada siapa boleh bayangkan," katanya sambil teresak-esak.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Yusaini Amer Abd. Karim manakala tertuduh diwakili peguam-peguam, Naizatul Zamrina Kalizaman serta Nor Hashimah Abd. Rahman.

Ketika mengemukakan rayuan bagi kesalahan cubaan membunuh, Naizatul memohon mahkamah mengambil kira bahawa anak guam­nya merupakan pesalah pertama dan berpendidikan rendah.

Beliau memohon agar hukuman penjara minimum dikenakan ke atas Swee Kwan.

Wan Shaharuddin pula menyatakan, kes ini boleh menjadi pembunuhan berganda sekiranya Mei Kuen tidak mendapat rawatan doktor secepat mungkin.

Oleh itu, beliau memohon hukuman penjara maksimum 20 tahun dikenakan ke atas tertuduh.

Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohd. Azman menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 23 September 2013.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 19 Ogos 2014

Azmin tolak jawatan MB, akur keputusan PKR?


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali akur dengan keputusan parti itu untuk hanya mencalonkan Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau yang menyambut baik cadangan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mencalonkannya untuk jawatan itu berkata, keputusan yang dibuat oleh parti perlu diutamakan.

"Pertama, saya cukup menghargai pimpinan Pas yang telah calonkan saya untuk jawatan Menteri Besar Selangor dan Wan Azizah mewakili PKR, saya juga menyambut baik penegasan Pas untuk terus kekal bersama pakatan.

"Namun sebagai Timbalan Presiden, saya patuh dengan keputusan parti melalui perbincangan dengan rakan-rakan pimpinan PKR untuk mencalonkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu dan telah dipersetujui melalui akuan bersumpah yang telah pun dikemukakan kepada istana," katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat majlis pimpinan pakatan pembangkang, di sini hari ini.

Menurut Azmin, keputusan tersebut bukan bermaksud beliau telah mengorbankan peluang untuk menjadi Menteri Besar Selangor sebaliknya pendiriannya bergantung penuh kepada kehendak parti.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 16 Ogos 2014

Lebih baik masuk PKR atau DAP - Khalil?



Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah secara terbuka menyindir dua wakil rakyat parti itu di Selangor yang membelakangkan ketetapan Majlis Syura Ulama dalam kemelut jawatan Menteri Besar Selangor supaya menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP.

Katanya, dengan cara itu, barulah berbaloi untuk mereka berdua menentang ketetapan parti sendiri.

"Saya rasa lebih baik dua ADUN Pas yang hadir beri sokongan kepada Azizah sebagai Menteri Besar hantar sekali borang untuk masuk PKR atau DAP... baru berbaloi untuk tidak hormat kepada parti sendiri.

"Kalau 13 orang lagi boleh bersabar dan ikut arahan parti, kenapa kamu berdua sudah membelakangi parti sendiri. " soalnya dalam status Facebook peribadinya.

Dua ADUN Pas Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnol Baharuddin (Morib) semalam menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar.


Menurut Saari, beliau bersedia untuk menjadi wakil rakyat Bebas jika Pas Pusat enggan menyokong Wan Azizah.

Sementara itu, dalam status Facebook berasingan, Khalil Idham yang juga bekas Ketua Penerangan Pas Perak turut memberi bayangan supaya wakil rakyat berkenaan dibuang daripada parti.

"Buang dua ranting yang bermasalah tidak akan mematikan pokok Pas yang hidup subur sekian lama...noktah," katanya.

Salah seorang rakan Facebook Khalil Idham, Lah Pt memberi ulasan dengan mempertikaikan ‘kiblat’ politik Saari.

"Ana (saya) hairan macam mana Pas boleh terima YB Hulu Kelang sebagai ahli kerana dari awal lagi dah nampak siapa idola beliau," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 14 Ogos 2014

Kemelut MB Selangor : Tidak perlu import Adun Umno jadi Exco?


Belum ada keperluan untuk mengisi kekosongan lima kerusi Exco di Selangor dengan Adun Umno berikutan sebelum ini BN memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun ujar Abdul Khalid, beliau menyambut baik BN itu yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yang akan memberi sokongan terhadap kepimpinannya jika usul tidak percaya diadakan.

"Buat masa ini belum buat apa-apa keputusan dibuat, perkara ini tidak berbangkit.

"Pada masa ini pentadbiran kerajaan negeri Selangor dilakukan oleh saya bersama dengan empat Exco dari Pas dan bekerjasama dengan penjawat untuk menentukan pentadbiran negeri berjalan dengan mantap dan cekap," katanya kepada pemberita di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno itu pada Isnin lalu bahawa sokongan itu tanpa syarat bagi menjayakan perjanjian air yang sudah ditandatangani.

Abdul Khalid menambah, jika wujud keperluan, beliau sedia berbincang dengan Exco sedia ada dan menghadap Sultan Selangor untuk kelulusan.

"Sebenarnya apa-apa keputusan untuk menambah penyertaan ahli Exco perlu mendapat perhatian dan juga kelulusan DYMM Sultan Selangor," katanya.

Ditanya tentang status kerajaan negeri Selangor sekarang akan bertukar kepada kerajaan perpaduan, beliau bagaimanapun menafikannya dan tidak berminat untuk membincangkannya.

"Saya tidak akan pergi ke peringkat itu, tetapi kita lebih berminat untuk menjalankan kerajaan negeri dengan lebih harmoni dan cara praktikal.

"Dengan itu Selangor masih mengekalkan sebagai negeri yang terkaya dan produktif di Malaysia," katanya lagi.

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor