Sabtu, 6 September 2014

Penarik kereta dihukum gantung?

DARI KIRI: Cheong Mei Kuen, Koong Swee Kwan

"Keadilan telah ditegakkan. Akhirnya saya dapat melihat cahaya di hujung terowong dan Hussain akan melihat keadilan itu terlaksana melalui mata saya."

Demikian kenyataan isteri kepada pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas penarik kereta, Koong Swee Kwan.

Cheong Mei Kuen, 49, yang turut terkena tembakan dan hampir menemui ajal memberikan kenyataan bertulis tersebut selepas ditanya oleh pihak media melalui peguam­nya, Leng Wie Mun.

Wanita itu turut mengucapkan terima kasih kepada mahkamah, pihak pendakwaan, pihak polis yang menyiasat kes tersebut, peguam-peguam pemerhati keluarganya dan orang awam yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Terdahulu, Hakim Datuk Mohd. Azman Husin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Swee Kwan, 45, yang didapati bersalah membunuh Hussain setelah beliau memutuskan pembelaan tertuduh merupakan penafian semata-mata dan gagal menimbulkan sebarang keraguan terhadap kes pendakwaan.


Hakim tersebut turut menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas tertuduh bagi kesalahan cuba membunuh Mei Kuen di tempat yang sama.

Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan kedua-dua kesalahan tersebut di tempat letak kereta di Tokong Cina Kuan Yin, No. 4, Lorong Ceylon, Dang Wangi di sini di antara pukul 1.30 dan 2 petang, 29 Julai 2013.

Pertuduhan bagi kesalahan membunuh Hussain, 75, dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala dakwaan bagi cubaan membunuh Mei Kuen dibuat mengikut Seksyen 307(1) akta sama.

Seramai 17 saksi dipanggil memberi keterangan di peringkat pendakwaan sementara Swee Kwan memberikan keterangan dari kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah merupakan saksi tunggal di peringkat pembelaan.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, suasana di mahkamah menjadi agak sayu apabila Mei Kuen mula menangis ketika membacakan kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) yang ditulisnya dalam bahasa Inggeris.

Sambil menggambarkan Allahyarham suaminya merupakan seorang lelaki yang lembut, baik hati dan merendah diri serta sedang merancang untuk menubuhkan Yayasan Hussain Najadi bagi membantu pendidikan anak-anak yatim dan kurang berkemampuan, Mei Kuen menyatakan, Hussain sedang menjalankan aktiviti seharian ketika nyawanya diragut dengan kejam oleh tertuduh.

"Suami saya telah dibunuh, di negara yang sangat beliau cintai meninggalkan isteri yang mencintainya yang turut ditembak dan hampir mati. Motif dan alasan ia berlaku, masih tidak diketahui. Akan sentiasa terpahat di ingatan dan hati saya saat-saat terakhir kejadian itu. Saya diselubungi kedukaan, kesengsaraan dan kesakitan yang tiada siapa boleh bayangkan," katanya sambil teresak-esak.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Yusaini Amer Abd. Karim manakala tertuduh diwakili peguam-peguam, Naizatul Zamrina Kalizaman serta Nor Hashimah Abd. Rahman.

Ketika mengemukakan rayuan bagi kesalahan cubaan membunuh, Naizatul memohon mahkamah mengambil kira bahawa anak guam­nya merupakan pesalah pertama dan berpendidikan rendah.

Beliau memohon agar hukuman penjara minimum dikenakan ke atas Swee Kwan.

Wan Shaharuddin pula menyatakan, kes ini boleh menjadi pembunuhan berganda sekiranya Mei Kuen tidak mendapat rawatan doktor secepat mungkin.

Oleh itu, beliau memohon hukuman penjara maksimum 20 tahun dikenakan ke atas tertuduh.

Selepas mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak, Hakim Mohd. Azman menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 23 September 2013.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor