Isnin, 31 Januari 2011

Pilihan raya kecil lawan pakat keluar ramai-ramai!

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang menutup tirainya. Dalam keadaan hujan dan banjir, pengundi-pengundi Tenang tetap tenang keluar mengundi. Mungkin hujan lebat dan banjir yang membasahi Tenang bagi 'membasuh' segala 'kekotoran' sepanjang kempen PRK itu. Pelbagai kaedah digunakan untuk memancing undi sama ada oleh calon-calon yang bertanding atau para penyokong. Banyak fitnah, tohmahan yang dibangkitkan termasuklah isu peribadi calon. Ada yang sanggup membuka pekung di dada . Ada isu yang boleh diterima akal dan ada pula sengaja dibangkitkan bagi menjatuhkan imej calon. Isu peribadi menjadi sasaran apabila parti politik ketandusan modal untuk berkempen. Isu peribadi itu bukanlah bertujuan mahu 'membina' atau 'menegur' tetapi lebih kepada menjatuhkan imej atau kredibiliti seseorang. Mereka lupa kepada kehidupan seseorang manusia biasa yang tidak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan.

Bagaimanapun isu yang menarik perhatian sudah tentulah mengenai pasangan sedondon iaitu calon Pas, Cikgu Mala (Normala Sudirman) dan suaminya, Cikgu Maarof Abd. Mutalib. Isu cuti cikgu di luar musim cuti sekolah menarik perhatian. Memang awal-awal lagi Cikgu Maarof sudah memberitahu bahawa beliau mengambil cuti untuk membantu isterinya berkempen. Cuma ketika itu, kebanyakan orang tidak tahu bahawa cuti yang dimaksudkan ialah cuti sakit (MC). Bukannya sehari dua tetapi 21 hari, yang boleh digambarkan bahawa beliau terlantar di hospital atau 'berehat' di rumah atau dikatakan di tahap kritikal. Namun hakikat sebenarnya beliau tetap gagah berkempen ke sana ke sini sehinggalah 'kisah benar' terbongkar.

Cikgu Maarof muncul semula semalam. Beliau memang berhak untuk bercuti tetapi cuti panjang ketika sesi persekolahan berlangsung menimbulkan sedikit persoalan.

Tetapi kalau tidak bercuti bagaimana hendak 'turun padang' membantu isteri? Takkan pula nak ponteng mengajar. Nanti orang kata guru kencing berdiri murid pula kencing berlari. Apa pun semuanya sudah berlalu. Diharapkan tidak ada pula pihak yang akan mengatakan tindakan Cikgu Maarof itu tidak salah, dibolehkan atas muslihat tertentu - 'melindungi' isteri semasa berkempen. Maklumlah sekarang ini, macam-macam petua dikeluarkan untuk 'menghalalkan' sesuatu. Kata orang mengikut peredaran semasa.

Kembali kepada PRK Tenang. Kali terakhir Johor yang dianggap tiang seri UMNO menghadapi PRK ialah pada 1989. Tetapi paling mencabar ialah pada 1988 selepas pendaftaran UMNO dibatalkan.

Mungkin kita boleh selak kembali beberapa PRK di Johor. Ujian pertama selepas UMNO dibatalkan, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengisytiharkan pilihan raya kawasan DUN Tanjong Puteri tidak sah. Maka PRK diadakan pada 5 Mac 1988 ketika UMNO 'tidak ada' ahli, cawangan atau bahagian. Bagaimanapun hasil kerjasama semua termasuk Menteri Besar Johor ketika itu, Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bilik Gerakan BN, Shahrir Samad (mengetuai UMNO Johor Bahru), BN menang dengan majoriti amat tipis iaitu 31 undi. Calon BN, Yunus Sulaiman mendapat 10,181 undi manakala Abdul Razak Ahmad (PSRM) memperoleh 10,150 undi. Enam bulan berikutnya, Shahrir pula mengosongkan kerusi Parlimen Johor Bahru yang dimenangi atas tiket BN pada PRU 1986. PRK diadakan pada 25 Ogos 1988. Beliau bertanding atas tiket Bebas menggunakan simbol kunci. Dalam kempen yang hebat dan sengit iaitu ketika ahli-ahli UMNO masih meratapi musibah yang menimpa UMNO, akhirnya Shahrir menang. Beliau memperoleh 23,581 undi mengalahkan calon BN, Mas'ud Abdul Rahman (10,968 undi) dan Abdul Razak Ahmad (PSRM) memperoleh 2,260 undi.

Satu lagi PRK berlangsung pada 20 Oktober 1988 iaitu di Parit Raja berikutan kematian penyandang. Tujuh calon bertanding iaitu BN dan Bebas. BN melalui calonnya Mohd Yasin Kamari menang dengan majoriti 413 undi apabila memperoleh 7,262 undi sementara calon Bebas, Hamdan Yahaya (6,849 undi) dan calon-calon lain (67, 42, 30, 13 dan 9 undi).

Tahun 1989, sekali lagi berlaku PRK - terakhir sebelum Tenang - iaitu di DUN Tambatan pada 5 Ogos 1989. PRK diadakan bagi mengisi kekosongan akibat kematian. Pada PRK itu, calon BN, Abdul Kadir Annuar menang dengan majoriti 1,075 undi mengalahkan calon Semangat 46, Lt. Jen. (B) Jaafar Onn serta dua calon Bebas lain. Begitulah beberapa siri PRK di Johor sebelum Tenang.

Selepas Tenang, siri PRK akan singgah pula di Merlimau, Melaka pada 6 Mac ini. Sekali lagi tumpuan kepada BN dan Pas. Mungkinkah PRK Merlimau yang terakhir. Adakah selepas Merlimau, pintu PRK akan diselak rapat-rapat sehinggalah pilihan raya umum mengambil tempatnya? Bagaimana pula dengan Pelabuhan Klang yang diisytihar kosong oleh Speaker DUN Selangor tetapi belum dibincangkan oleh SPR?

PRK kali ini selepas PRU merupakan satu rekod, terbanyak setakat ini. Bagaimanapun kerajaan masih bernasib baik. Sebabnya selain kematian dan peletakan jawatan yang menyebabkan PRK, dunia politik negara juga tidak habis-habis dengan siri keluar parti. Mujurlah mereka sekadar keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, bukannya meletak jawatan. Setakat ini 13 orang wakil rakyat meninggalkan parti politik iaitu hampir menyamai jumlah PRK.

Apakah akan ada lagi yang akan meninggalkan parti? Mungkin kita harus berterima kasih kepada 13 wakil rakyat ini yang tidak meletak jawatan. Jika tidak, lebih banyak wang terpaksa dibelanjakan untuk PRK. Pada masa yang sama, terlalu banyak PRK akan mewujudkan suasana yang tidak tenang dalam masyarakat. Ini disebabkan corak kempen yang semakin agresif sehingga boleh menjejaskan hubungan sesama masyarakat. Kekerapan PRK menyebabkan ramai yang asyik berpolitik.

Kepada Azahar Ibrahim, tahniah! Begitu juga kepada Menteri Besar, Abdul Ghani Othman yang memimpin jentera BN pada PRK Tenang. Semoga Tenang akan kembali tenang selepas ini.-UM.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 25 Januari 2011

MB Khalid terkedu : Sidang DUN gagal!

Sebahagian daripada lebih 1,000 anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NG0) berarak secara aman dari Dataran Shah Alam ke Bangunan SUK Selangor untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap usaha pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, semalam. Antara NGO yang terlibat termasuklah Perkasa dan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor.

Seperti dijangka, pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 yang dicadang oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor gagal diluluskan setelah tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dalam sesi pengundian secara belah bahagian kira-kira pukul 6.15 petang ini, pindaan tersebut hanya disokong oleh 34 penyokong kerajaan manakala 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sepakat menolak pindaan tersebut.

Sementara itu, Badrul Hisham Abdullah yang mewakili Bebas dihalang menghadiri sidang itu setelah kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandangnya diisytiharkan kosong, Isnin lalu.

Kerajaan negeri gagal mendapat empat undi bagi mendapat majoriti dua pertiga kerana mereka sekurang-kurangnya perlu memperoleh sokongan 38 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN.

Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim ketika mengumumkan keputusan undian tersebut berkata, meskipun pindaan tersebut lebih suara yang bersetuju, ia tidak dapat diluluskan bagi bacaan kedua dan seterusnya.

Katanya, perkara itu diputuskan berdasarkan Perkara 98, Fasal 5 (Bahagian 2) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui usul pindaan perlembagaan negeri untuk membolehkan beliau memperolehi ‘kuasa menasihati’ Sultan Selangor tidak dapat dilaksanakan dari awal lagi.

Ini kerana katanya, kerajaan negeri menyedari pihaknya tidak mempunyai majoriti dua pertiga kerusi DUN untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau berharap cadangan pindaan untuk memberi kuasa kepada Menteri Besar melantik tiga pegawai eksekutif negeri itu dapat dibangkitkan semula selepas pilihan raya umum akan datang.

‘‘Walaupun kita tidak berjaya hari ini, ia tidak akan mematahkan semangat pakatan pembangkang.

‘‘Kami berpendirian bahawa Sultan Selangor dan kerajaan negeri berhak memainkan peranan dalam pemilihan tiga pegawai eksekutif bagi memastikan dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Pindaan yang dibentangkan di bawah Peraturan 10 (3) Peraturan-Peraturan Tetap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Penasihat Undang-Undang Negeri kepada negeri dengan sultan perlu mendapatkan nasihatkan Menteri Besar.

Dalam pada itu, ketika ditanya bilakah kerajaan negeri akan membenarkan Datuk Mohammed Khusrin Munawi mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar, Abdul Khalid berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Exco kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau tidak memutuskan bilakah tempoh sebenar perbincangan itu akan diadakan sebaliknya ia bergantung kepada keadaan semasa.

Pada sidang akhbar yang sama, Abdul Khalid yang tidak dapat menerima hakikat kegagalannya untuk meluluskan pindaan tersebut meletakkan kesalahan ke atas BN kerana tidak menyokong usaha kerajaan negeri itu.

‘‘Lebih kesal lagi, BN gagal memberikan hujah-hujah yang konkrit dan berkualiti untuk menolak cadangan pindaan itu.

‘‘Jelas penolakan itu dibuat di atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya.

‘‘Sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlu berdasarkan kepentingan rakyat,” katanya.

Malah seperti dijangka sebelum ini, Abdul Khalid menuduh bahawa penolakan BN terhadap pindaan itu membuktikan UMNO sebenarnya tidak menghormati Raja-Raja Melayu dan menghalang peranan mereka dalam institusi Raja Berperlembagaan.

‘‘Walaupun kita mungkin tidak berjaya membuat pindaan, ia tidak akan mematahkan semangat pakatan pembangkang.

‘‘Malah, isu ini telah menguatkan lagi tekad untuk membuktikan kewibawaan kami dan memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya kelak supaya pindaan ini dapat dibangkitkan semula,” katanya.

Abdul Khalid berkata, pihaknya masih mempunyai pendirian bahawa Sultan Selangor dan kerajaan negeri berhak untuk memainkan peranan dalam pemilihan tiga pegawai ex-officio demi memastikan dasar-dasar negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna.

‘‘Walaupun pihak Persekutuan nampaknya terus mengetepikan suara rakyat Selangor dan enggan menghormati semangat federalisme, kerajaan negeri akan berusaha memastikan pentadbiran negeri akan terus berjalan dengan baik dan selancar mungkin demi kebajikan rakyat negeri ini,” katanya.

Terdahulu perbahasan pindaan tersebut disertai oleh empat wakil BN dengan dimulai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman dan enam wakil pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Turut serta berbahas ialah Sulaiman Abd. Razak (BN-Permatang); Datuk Mohd. Samssudin Lias (BN- Sungai Burung) dan Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang).

Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) pula tampil sebagai wakil penyokong yang pertama bangkit berbahas menyokong pindaan rang undang-undang itu.

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 23 Januari 2011

Kerajaan Negeri Selangor Tidak Hormat Sultan , Keluar Notis Sidang Sebelum Terima Perkenan - Noh Omar!

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata kerajaan negeri itu tidak menghormati Sultan Selangor kerana mengeluarkan notis sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) empat hari sebelum mendapat perkenan baginda.

Beliau berkata tindakan itu juga membayangkan tujuan sebenar kerajaan negeri mahu meminda Undang-undang Tubuh Selangor, iaitu untuk memberi kuasa kepada Menteri Besar dan bukan kepada sultan seperti yang digembar-gemburkan.

Notis persidangan itu dikeluarkan Speaker DUN Datuk Teng Chang Khim pada 10 Januari lepas iaitu empat hari lebih awal sebelum menerima perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bersama Rakyat di Felda Tenang, di sini malam Sabtu. "Sepatutnya kalau betul-betul menjunjung kasih Sultan, kerajaan negeri patut mendapat perkenan Tuanku dulu sebelum menetapkan tarikh persidangan.

Jelas mereka membelakangkan Sultan," katanya. Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata sikap biadap kerajaan negeri yang dipimpin pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS itu turut menunjukkan cadangan pindaan tersebut sebagai gimik politik.

Noh juga mengulangi bahawa semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Selangor akan hadir pada sidang itu bagi menafikan hasrat kerajaan negeri daripada meminda undang-undang tubuh tersebut.

Cadangan pindaan itu dikemukakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang baru yang didakwanya dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tanpa merujukkepada beliau selaku Menteri Besar.

Pelantikan Mohd Khusrin yang berkuatkuasa 1 Januari lepas bagaimanapun mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan beliau telah mengangkat sumpah jawatan serta sumpah taat setia di hadapan baginda pada 6 Januari lepas. Mengulas mengenai kedudukan Badrul Hisham Abdullah sebagai Adun Pelabuhan Klang, Noh berkata BN akan menyediakan bantuan perundangan bagi memastikan Badrul Hisham mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau berkata walaupun Teng mempunyai hak untuk mengisytiharkan status kerusi tersebut, Badrul Hisham juga mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya jika perkara tersebut di bawa ke mahkamah.

Teng telah mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong berkuatkuasa 16 Januari lepas berikutan kegagalan Badrul Hisham menghadiri persidangan selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Badrul Hisham telah memenangi kerusi itu sebagai calon PKR pada pilihan raya umum 2008, namun keluar daripada parti itu pada 29 Oktober 2009 untuk menjadi wakil Bebas mesra BN sebelum menyertai Umno pada Mei lepas.

Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 22 Januari 2011

Sidang DUN: Taktik kotor pembangkang mahu kekal berkuasa!

Tindakan kerajaan negeri Selangor mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Isnin ini dilihat sebagai mahu mengekalkan kuasa dan menarik sokongan Melayu, kata beberapa penganalisis politik.

Tindakan itu, kata mereka, turut mencerminkan keadaan terdesak kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR)-DAP-Pas untuk mengekalkan survival parti masing-masing supaya kekal relevan di negeri tersebut.

Ada di antara mereka pula mempersoalkan keperluan mengadakan persidangan itu memandangkan kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai kekuatan untuk mendapatkan undi dua pertiga daripada jumlah anggota DUN bagi meluluskan pindaan tersebut.

Mereka berkata PKR-DAP-Pas hanya memiliki 35 daripada 56 kerusi dalam DUN, dan BN 20 kerusi dan satu kerusi milik anggota Bebas, dan untuk mendapat sokongan dua pertiga bagi meluluskan pindaan itu, kerajaan negeri Selangor memerlukan 37 undi.

Mereka mempersoalkan mengenai kemampuan kerajaan negeri itu mendapatkan dua lagi undi bagi melengkapkan keperluan 37 undi bagi meluluskan pindaan tersebut.

Bagi penganalisis-penganalisis politik yang ditemui Bernama, mereka bersependapat kerajaan negeri Selangor sengaja mempolitikkan isu itu kerana tidak mahu mengiktiraf pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi, 54, oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor yang baru sehingga membawa kepada isu pindaan undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Yang pasti..MB Khalid gila kuasa?

Warna-warni politik
Torashah

Dr. Mahathir jadi bahan polemik Melayu Singapura!

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi topik hangat di sini apabila ulasannya mengenai nasib Melayu Singapura menjadi polemik dan mendapat kritikan pedas beberapa orang Melayu setempat.

Akhbar Berita Harian Singapura telah menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr. Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang terpinggir dan ketinggalan.

Dalam ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca, Sallim Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr. Mahathir yang membuat kenyataan yang tidak berasas bahawa Melayu republik itu terpinggir dan tertinggal.

"Inilah hujah kegemarannya yang pedas dan luncas setiap kali mempersoalkan masalah yang menghambat Melayu Malaysia yang belum lagi terpinggir pada logika Dr. Mahathir.

"Kekerapan ungkapan yang menjadi sandarannya ialah menegaskan bahawa Melayu Singapura terpinggir sehingga akhir dunia," katanya.

Beliau berkata, Dr. Mahathir yang terbuai dengan populariti di alam siber dan blog suka menggunakan Melayu Singapura sebagai contoh.

Penulis itu juga mempertahankan kedudukan Melayu Singapura dengan menyatakan kaum itu maju tanpa menagih subsidi dan kedudukan agama Islam di sini terpelihara dan berkembang walaupun ia bukan agama rasmi.

"Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah. Rasuah di sini wujud tetapi tahapnya tidak mengejut. Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi. Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan," katanya.

Seorang lagi pembaca, Kamariah Lim Li Hwa menegur Dr. Mahathir bahawa sebelum membuat apa-apa kenyataan tentang orang Melayu Singapura, diharap beliau menyelidik dulu keadaan orang Melayu di sini.

"Kami orang Melayu Singapura berasa senang hati dan bersyukur kerana pemerintah Singapura menjalankan amanah dengan telus," katanya.

Menurutnya, walaupun Singapura bukan negara Islam, kebanyakan undang-undang di sini tidak ada bercanggah, malah sejajar dengan ajaran Islam.

Kamariah berkata, kemungkinan Dr. Mahathir (bersikap demikian kerana) berurusan dengan seseorang individu (rakyat Singapura) yang tidak berpuas hati atas beberapa dasar pemerintah Singapura kerana tidak dapat memenuhi kepentingan diri sendiri.

Seorang lagi pembaca, Eusope Musawa menulis, Melayu Singapura hidup dengan selesa dan 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dan mereka ada kebebasan dalam hal agama serta pelajaran mereka juga setaraf dengan penduduk masyarakat lain.

"Tun Dr. Mahathir sepatutnya menasihatkan orang Melayu Malaysia agar belajar daripada orang Melayu Singapura, bagaimana boleh maju. Saya berharap kenyataan beliau akan membakar semangat orang Melayu setempat untuk terus maju," tulis Eusope.

Bagaimanapun, seorang pembaca yang menamakan diri beliau, Walid Jumblatt Abdullah menulis dalam forum akhbar itu semalam bahawa beliau amat gembira sekali apabila melihat kaum Melayu Singapura bergegas menyangkal kritikan Dr. Mahathir.

Katanya, alangkah baiknya kalau masyarakat Melayu begitu cepat sekali bertindak ketika masalah seperti keluarga pincang, keruntuhan akhlak, keputusan pelajar kurang memuaskan berbanding kaum lain dan sebagainya timbul untuk menangani masalah tersebut.

Menurutnya, memang tidak dinafikan, Dr. Mahathir sering mengeluarkan kenyataan kontroversial dan tidak semestinya semua dinyatakan beliau adalah benar.

Namun, katanya, setiap manusia ada kelemahannya dan beliau amat terkejut apabila melihat surat mengutuk Dr. Mahathir, malah ada yang menggunakan kata-kata agak keras sehingga mengecapnya sebagai 'seorang tua yang nyanyuk'.

Walid berkata, walaupun jika seseorang yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan orang lain, tidak perlulah digunakan bahasa sedemikian kerana sikap serupa itu memang bukan daripada budaya Melayu itu sendiri. - BERNAMA

Katanya. Dr. Mahathir adalah satu-satunya pemimpin Melayu yang dikenali di seluruh dunia, bahkan beliau disanjung dalam Dunia Islam.

"Walaupun beliau mempunyai kekurangan sendiri, beliau terlalu banyak berjasa kepada dunia Islam. Sering sekali beliau memperjuangkan isu-isu yang tidak sama sekali diperjuangkan oleh pemimpin Islam di mana-mana sahaja seperti isu Bosnia (Herzegovina), Kosovo, Somalia, Sudan, Palestin dan lain-lain lagi," katanya.

Menurutnya, Dr. Mahathir dicalonkan oleh empat kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dari Bosnia-Herzegovina, dua daripada empat kumpulan ini adalah kumpulan Kristian untuk memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 2007.

"Setahu saya, beliau pemimpin Melayu pertama dicalonkan bagi anugerah penghargaan tersebut," kata Walid.

Mengulas komen seorang pembaca yang mengatakan tidak ada pembangunan bagi orang Melayu di bawah kepimpinan Dr. Mahathir, Walid bertanya, tahukah anda bahawa kadar kemiskinan di Malaysia telah dikurangkan sebanyak 80 peratus sewaktu Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri? Bahkan, katanya, kemajuan Malaysia diiktiraf seluruh dunia sehinggakan negara itu digelar sebagai 'Harimau Asia' oleh IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) kerana kemajuan ekonominya.

Walid berkata, Dr. Mahathir telah menaikkan martabat bangsa Melayu di mata dunia.

"Janganlah kita dibutakan kebencian kita terhadapnya sehingga kita tidak mengiktiraf jasa beliau kepada dunia Melayu dan dunia Islam. "Juga, janganlah dengan kita mengambil sikap defensif terhadap kritikan orang luar. Kita tidak melihat masalah dan kekurangan masyarakat kita sendiri," katanya.

Sementara itu : Kritikan Dr. M benar

Kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung nasib orang Melayu di Singapura yang dikatakan terpinggir dan ketinggalan adalah benar.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, komen oleh beberapa orang Melayu yang merupakan rakyat Singapura berhubung kritikan Dr. Mahathir itu sebenarnya adalah propaganda yang dirancang bagi menutup cerita tentang Melayu Singapura yang tertindas.

"Kita tidak hairan langsung dengan berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian Singapura baru-baru ini mengenai kritikan terhadap Dr. Mahathir.

"Kita percaya ia adalah propaganda dan psikologi terbalik. Siapa dan orang Melayu mana yang benar-benar bersuara di Singapura? Kita semua tahu kebebasan di sana. Silap sikit pasti kena," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan akhbar Berita Harian Singapura yang menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr. Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang terpinggir dan ketinggalan.

Melalui ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca, Sallim Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr. Mahathir yang dikatakan membuat kenyataan yang tidak berasas itu.

Ibrahim bagaimanapun berkata, semua orang tahu bahawa hakikat sebenarnya adalah orang Melayu di Singapura ditindas.

"Kita semua tahu tidak perlu banyak cerita. Mana ada pegawai tinggi Melayu dalam perkhidmatan awam di negara itu atau dalam tentera," katanya.

Beliau berkata, kritikan Dr. Mahathir terpaksa ditutup dengan melancarkan propaganda menggunakan dua tiga kerat orang Melayu yang tidak sedar diri di negara itu.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 20 Januari 2011

ADUN Pelabuhan Klang nafi gagal hadir ke sidang DUN!

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah menafikan dakwaan beliau gagal hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri selama enam bulan tanpa alasan munasabah sebaliknya menegaskan telah memberikan surat cuti sakit.

Badrul Hisham yang dihubungi berkata, bel...iau hanya tidak menghadirkan diri ketika sidang DUN bulan November lepas ekoran masalah kesihatan yang dihadapinya.

"Macam mana kata saya tidak hadir selama enam bulan, saya sendiri tidak faham... apa yang pasti saya tidak hadir kerana tidak sihat itupun pada bulan November sahaja,” katanya di sini hari ini.

Beliau mendakwa telah memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim termasuk memberikan surat pengesahan doktor.

Badrul Hisham yang enggan mengulas lanjut berkata, beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan sama ada untuk menerima alasan Chang Khim atau sebaliknya.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 17 Januari 2011

Pas-DAP terus tidak sepakat dalam episod arak kedua!

Apakah kerajaan campuran negeri Selangor dapat lakukan apabila hasrat Jabatan Agama Islam (JAIS) hendak melaksanakan undang- undang melarang umat Islam daripada bekerja di premis menjual arak nampaknya menerima tentangan daripada Exco kerajaan negeri itu.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali sendiri mahu undang-undang itu dilaksanakan seperti termaktub di dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri.

Hassan ada sebab bertegas mahu melaksanakan tanggungjawabnya bagi mencegah umat Islam daripada terlibat dengan urusan penjualan arak.

Sementara pendirian dua Exco daripada DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu baru-baru ini membantah peraturan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melarang umat Islam bekerja di premis menjual arak.

Ronnie menggunakan kuasanya sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan mengeluarkan satu pekeliling mengarahkan Yang Dipertua MPSJ supaya menarik balik larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.

Ronnie memberi alasan yang beliau bimbang kemungkinan akan ada umat Islam hilang pekerjaan dan sumber pendapatan selain mendakwa undang-undang syariah itu tidak lagi praktikal untuk dilaksanakan.

Mana air muka Pas apabila usaha pemimpin mereka ditolak mentah-mentah oleh DAP. Ini satu penghinaan kepada parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu. Ia juga satu bukti jelas bahawa Pas dan DAP tidak boleh bekerjasama.

Kenyataan pemimpin tertinggi Pas kononnya Pas boleh bekerjasama dengan penentang nombor satu penubuhan negara Islam itu hanya retorik. Lebih mudah Pas hanya bertepuk sebelah tangan.

Dalam isu larangan orang Islam bekerja di premis menjual arak di Subang Jaya pun kedua-duanya tidak sependapat. Kasihan Pas Selangor, sudah beberapa kali arahan mereka diketepikan oleh pemimpin DAP. Jika isu larangan menjual arak ini Pas dan DAP tidak sepakat, bagaimana urusan pentadbiran negeri Selangor yang lain?

Apa kata Menteri Besar Selangor daripada PKR?

Kita terkejut apabila Ronnie Liu mengatakan udang-undang syariah yang melarang umat Islam bekerja di premis arak sebagai tidak praktikal. Baru dapat kuasa, sudah menunjukkan lagak sombong dan bongkak. Kenyataannya itu boleh membakar lagi bara kemarahan yang sedia ada dalam diri umat Islam negara ini.

Apakah orang yang berkuasa di Selangor, Menteri Besar sudah 'hilang suara' untuk menegur anggota Exconya khususnya bukan Islam supaya tidak menyentuh hal-hal yang sudah termaktub dalam undang-undang seperti Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Jelas Ronnie Liu sudah dua kali mengganggu tugas pihak berkuasa tempatan yang sebelum ini terlibat dalam satu kes rampasan arak di Shah Alam beberapa tahun lalu.

Nampaknya hasrat umat Melayu di Selangor untuk melihat tiada premis menjual minuman keras di kawasan majoriti Islam di negeri itu tidak kesampaian. Episod arak kali kedua ini mendedahkan pandangan Pas Selangor tidak ke mana pun. Apakah Pas akan tetap bersama-sama DAP dan PKR di bawah satu pakatan?

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor