Selasa, 22 Februari 2011

The Pocket Rocketman : 'Saya tidak akan patah semangat'!

"Tidak... tidak...tidak... saya tidak akan patah semangat." Demikian tegas pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang kini terlantar di Hospital Diraja Manchester di sini, selepas selamat menjalani pembedahan mengeluarkan serpihan kayu daripada kakinya.

Menurut pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, meskipun sedih dengan kemalangan tersebut ia tidak akan mematah semangatnya, apatah lagi mengalah dan berundur daripada sukan tersebut.

"Saya mahu cepat sembuh dan kembali berlatih," katanya dalam pertemuan dengan wartawan Malaysia di sini, semalam.

Menurut pelumba yang mendapat jolokan The Pocket Rocketman itu, kemalangan kelmarin merupakan yang terburuk dalam sejarah kariernya sebagai pelumba basikal negara.

"Semuanya berlaku dengan pantas tetapi apa yang berlaku adalah risiko yang perlu ditanggung pelumba. Saya bersyukur kecederaan tidak serius," ujarnya.

Menurut Azizulhasni, selepas menjalani pembedahan selama hampir satu jam bagi mengeluarkan kayu yang menembusi betisnya, doktor memaklumkan kayu tersebut tidak mengena bahagian utama badan seperti saraf tulang.

"Sebenarnya saya hendak cabut apabila melihat kayu di betis. Pada mulanya saya tidak terasa apa-apa tetapi selepas seketika saya terasa pitam sebelum rebah di trek selepas menamatkan perlumbaan tersebut," katanya.

Utusan Malaysia difahamkan ketika kemalangan berlaku Azizulhasni berada pada kedudukan baik untuk memotong pelumba Scotland, Chris Hoy yang memenangi perlumbaan akhir keirin Piala Dunia Klasik, kelmarin.

Azizulhasni menambah, beliau yakin kemalangan tersebut ada hikmahnya dan tidak akan menjejaskan peluang bertanding di Sukan Olimpik 2012.

"Sekarang kedudukan dalam ranking pun masih selamat dan saya harap dapat balik cepat untuk menjalani latihan," ujarnya.

Perbualan yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong serta Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad bertukar sebak apabila Azizulhasni seketika sempat berbicara buat pertama kali bersama ibu dan isteri selepas kemalangan tersebut.

Dalam pada itu, Shabery berkata, doktor memaklumkan kecederaan yang menimpa Azizulhasni merupakan kecederaan biasa.

"Mengikut perkiraan pakar dia mungkin boleh kembali berlatih dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi," katanya.

Beliau menambah, kerajaan sedia menghantar Azizulhasni menjalani lawatan ke luar negara jika perlu kerana dia merupakan prospek utama untuk meraih pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2012.

Dalam usia 23 tahun berbanding Hoy 33 tahun, Azizulhasni masih berada pada ranking pertama UCI.

Biarpun sekadar memenangi gangsa pada perlumbaan kelmarin, ia sudah memadai untuk membawa Azizulhasni mempertahankan kejuaraan keseluruhan Piala Dunia Klasik buat kali ketiga.

Sementara itu : Keluarga risau, kagum pengorbanan Azizul

Selamiah Yong tergamam melihat kecederaan Azizulhasni Awang yang dipaparkan di muka depan dan belakang akhbar Utusan Malaysia sewaktu beraksi dalam acara keirin akhir Siri Piala Dunia Klasik di Manchester ketika ditemui dirumahnya di Kampung Nibong Stesen, semalam.

Keluarga Azizulhasni Awang di Dungun terkejut apabila dimaklumkan mengenai kecederaan dialami jaguh lumba basikal negara sewaktu menyertai acara keirin akhir Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, England, kelmarin. Namun begitu, mereka tetap kagum dengan semangat serta pengorbanan tinggi Azizulhasni yang tidak mudah menyerah kalah demi maruah negara.

Menurut ibunya, Selamiah Yong, 47, walaupun bimbang dengan kecederaan yang dialami Azizulhasni tetapi kesungguhan serta komitmen tidak berbelah bahagi anaknya itu kepada negara menjadi kebanggaan mereka. Tambah beliau, Azizulhasni akan pulang ke tanah air seminggu sebelum majlis persandingannya di Perak yang dijadual pada 2 April ini.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Azizulhasni sejurus menerima panggilan telefon daripada seorang pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) pada hari kejadian.

"Masa terima panggilan itu, hanya Tuhan yang tahu betapa risau dan terkejutnya saya mengenai nasib yang menimpanya (Azizulhasni).

"Saya hanya mampu berdoa agar dia di sana tak serius dan selamat. Inilah pengorbanan besar dia kepada negara yang tiada tolok bandingnya," katanya ketika ditemui di rumahnya, Kampung Nibong Stesyen dekat sini, semalam.

Menurut Selamiah, Azizulhasni ada menghubunginya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semasa dirawat di hospital di Manchester malam semalam.

Katanya, Azizulhasni memintanya dan seluruh keluarga di sini agar jangan bimbang dengan kecederaannya di sana.

"Kira-kira pukul 11 malam tadi, dia SMS saya dan dia harap supaya kami di sini janganlah bimbang kerana kecederaan yang dialami tak begitu serius.

"Walaupun begitu, saya tetap risau keadaannya kerana tengok pada gambar dia dalam akhbar hari ini, keadaannya serius dan dia mengerang kesakitan, kasihan dia," ujarnya sedih.

Selamiah juga berkata, anaknya itu sudah keluar dari hospital di Manchester semalam sebelum menaiki penerbangan ke Melbourne, Australia malam tadi (malam ini). Beliau difahamkan, atas nasihat doktor yang merawat Azizulhasni di Manchester, anaknya itu perlu berehat selama dua minggu sehingga benar-benar pulih.

Jaguh trek negara itu selamat dibedah selepas mengalami kecederaan ngeri, tertusuk serpihan kayu di betis kirinya akibat kemalangan dalam laluan memenangi pingat gangsa Piala Dunia klasik.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor