Khamis, 6 November 2008

Warkah Untuk Bakal Presiden UMNO

Assalamualaikum w.b.t.


Didoakan agar YAB Dato' Seri berada dalam keimanan dan ketaqwaan serta diberikan kesihatan yang baik untuk menjalankan tugas-tugas seharian.Pada kesempatan ini, izinkan saya mengucapkan tahniah kepada YAB Dato' Seri kerana diberikan mandat untuk menjadi Presiden UMNO yang akan datang.

Bagaimanapun, saya tidak mahu keterlaluan dalam ucapan dan pujian sehingga YAB Dato' Seri lupa amanah kepimpinan yang diletakkan di atas bahu YAB Dato' Seri.Firman Allah s.w.t.: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya) - Surah al-Anfal, ayat 27.

Biarlah saya juga mengambil kesempatan ini untuk menggariskan beberapa perkara yang penting untuk dijadikan landasan YAB Dato' Seri memimpin parti dan negara nanti.

1. Terimalah kepimpinan sebagai beban, bukannya habuan. Jawatan presiden parti bukanlah
satu rezeki, sebaliknya ia adalah tanggungjawab yang akan dipersoalkan Allah s.w.t. kelak. Beradalah di landasan perjuangan yang betul iaitu memartabatkan agama, bangsa dan negara. Insya-Allah ahli-ahli parti akan bersama-sama YAB Dato' Seri.

2. Rakyat meletakkan harapan yang cukup besar kepada YAB Dato' Seri. Usah hampakan mereka dengan mengutamakan kaum-kerabat dan orang-orang di sekeliling YAB Dato' Seri sahaja. Sebelum membuat sesuatu keputusan, fikirkanlah kesannya kepada rakyat.

3. Bersikal adillah dengan semua orang, sama ada mereka ahli parti atau tidak. Malah, Islam juga menuntut seorang pemimpin untuk adil dengan semua orang, termasuklah mereka yang berlainan bangsa dan agama. Berhati-hatilah dengan orang yang mengadu-domba.

4. Mendengarlah, terutama sekali kritikan kerana itu dapat memandu YAB Dato' Seri ke jalan yang lurus. Apabila YAB Dato' Seri menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri nanti, tentulah banyak pujian datang. Terimalah pujian sebagai rangsangan untuk bekerja dengan lebih gigih, namun pada masa yang sama usah ketepikan muhasabah yang diberikan.

5. Berikan perhatian kepada rakyat kebanyakan -- orang kampung, petani, nelayan, penjaja dan mereka yang setaraf dengannya. Mereka mungkin tidak mempunyai pas VIP dan tidak dapat menghampiri dan bersalaman dengan YAB Dato' Seri; namun mereka juga memerlukan perhatian YAB Dato' Seri.

6. Satukanlah parti UMNO. Bawalah semua kelompok untuk bersama-sama YAB Dato' Seri mengemudi perjuangan ini. Usah pupuk semangat berpuak-puak. Usah wujudkan team itu dan team ini. Sekiranya ada, runtuhkan tembok songsang itu.

7. Lakukanlah reformasi dalam parti. Banyak cadangan telah diberikan. Bacalah blog dan media massa. Dengarlah keluhan ahli akar umbi. Mereka mungkin tidak menjadi G7 dan tidak masuk ke Dewan Merdeka PWTC, namun idea mereka bernas. Laksanakanlah, sekiranya cadangan tersebut baik.

8. Sentiasalah berkomunikasi dengan ahli-ahli parti. Website YAB Dato' Seri menarik, cuma tidak cukup interaktif. Cuba contohi blog Che Det; saya percaya dengan cara itu YAB Dato' Seri dapat mendengar pandangan mereka secara langsung. Berikan peluang untuk mereka memberikan pendapat. Sekiranya baik, terimalah, walaupun yang memberikan pendapat itu hanya seseorang yang baru beberapa hari saya menyertai UMNO.

9. Hormatilah veteran parti. Mereka telah banyak berkorban. Usah tunjukkan sikap permusuhan. Sekiranya mereka menegur, dengarlah. Ucapkan terima kasih kerana mereka masih sudi memberikan nasihat kepada YAB Dato' Seri. Ajaklah mereka berbincang. Tentunya mereka ada kebijaksanaan yang boleh diraih oleh YAB Dato' Seri.

10. Dalam pemilihan yang sedang berlangsung sekarang, tentunya ada yang menang dan yang kalah. YAB Dato' Seri doronglah yang menang untuk gigih bekerja. Sementara itu, YAB Dato' Seri juga hendaklah mencari jalan bagi memberikan ruang kepada yang kalah untuk terus menyumbang kepada parti. Wujudkan suasana menang-menang dalam parti.

YAB Dato' Seri,

Cukuplah setakat ini warkah saya kepada YAB Dato' Seri. Semoga Allah s.w.t. memberikan kebaikan kepada YAB Dato' Seri sekeluarga di dunia dan akhirat. Mantapkan saf perjuangan seperti yang difirmankan Allah s.w.t.:

"Sesungguhnya Allah s.w.t. mengasihi orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka adalah sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah as-Saff, ayat 4).

Nobisha
http://nobisha.blogspot.com/


Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor