Rabu, 5 November 2008

Perjuangan Buruh

Semangat penubuhan UMNO pada 1946, turut membawa kesedaran di kalangan masyarakat Melayu dalam bidang sosio-ekonomi khususnya yang berkaitan dengan pemburuhan. Berdasarkan Laporan Tahunan Jabatan Buruh tahun 1947, senario peralihan masyarakat Melayu melepasi ekonomi berbentuk tradisional dan menyertai aktiviti ekonomi berupah mula ketara.

Keadaan itu jelas, ekoran peningkatan mendadak dalam bilangan pekerja Melayu berupah pada tahun 1947 lebih 78,000 orang berbanding hanya 25,896 orang pada 1938. Selepas kemerdekaan, peranan UMNO terus terserlah membawa kemajuan dalam pelbagai segi pertambahan bilangan kakitangan Melayu dalam perkhidmatan awam, meningkatkan taraf hidup pekerja dan menjaga kepentingan menerusi lunas perundangan.

Pada tahun 1946 dan 1947, masing-masing bilangan pekerja Melayu dalam sektor kerajaan ialah 13,179 dan 17,247 orang. Jumlah itu dianggap rendah berbanding dengan kaum lain terutamanya kaum India yang bilangannya 26,038 dan 31,366 orang masing-masing pada tempoh yang sama.

Dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (CEB) pada tahun 1970 bilangan pekerja Bumiputera di bidang perniagaan borong dan runcit, kewangan dan perkhidmatan kerajaan meningkat daripada 312,400 orang pada tahun 1970 kepada 1,219,800 orang dua dekad kemudian walaupun sasaran awal hanya 1,046,800 orang.

Pada tahun 1970, kadar pengangguran adalah 8 peratus tetapi ia menurun sehingga 6.5 peratus pada 1980, 5.1 peratus (1990) dan sekitar 2.8 peratus pada tahun 1995 manakala dalam tempoh yang sama jumlah tenaga kerja bertambah secara berperingkat-peringkat dari 3.3 juta orang (1970), 5.1 juta (1980), 6.7 juta (1990) dan 7.1 juta orang (1995).

Dari satu situasi sukar untuk mendapatkan pekerjaan pada pertengahan 1980an yang membawa kerajaan mengamalkan skim pekerjaan sementara selama enam bulan kepada lepasan universiti dengan gaji RM 600.00 sebulan, kini negara mengalami kekurangan tenaga kerja dan membuka pintu kepada pekerja-pekerja asing.

Dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2), proses menyusun semula gunatenaga terus dipegiatkan dengan memberi keutamaan ke atas lima bidang. Dasar Buruh Negara diperkenalkan bagi mempercepatkan pertubuhan ekonomi dan mempertingkatkan mutu kehidupan pekerja negara ini.

Malaysia diterima sebagai anggota ke-79 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 1957, sebaik sahaja mencapai kemerdekaan. Selaras dengan kedudukan itu, Malaysia telah menerima pakai dan mengiktiraf konvensyen-konvensyen ILO dari masa ke semasa. Adakalanya Malaysia juga mempunyai pandangan berbeza dan tidak mempersetujui sesetengah keputusan badan itu, antaranya tindakan mengaitkan fasal sosial dengan perdagangan.Walaupun sehingga tahun lalu hanya 12 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja menganggotai kesatuan sekerja, kerajaan bertanggungjawab menjaga kepentingan semua pekerja negara ini menerusi penguatkuasaan sebanyak 20 undang-undang.

Menyentuh tentang pembangunan sumber manusia, sektor awam merupakan tunggak menentukan kemajuan negara dengan kini bilangannya dalam lingkungan 831,049 orang (tahun 1995).

Pembaharuan awal dalam perkhidmatan awam telah dilakukan pada tahun 1948 dengan penubuhan Bahagian Organisasi dan Kaedah (O&M) di Perbendaharaan yang bertujuan untuk mengkaji cara bekerja dan mengesyorkan perubahan-perubahan pentadbiran.
Perubahan ke atas perkhidmatan semakan drastik mulai tahun 1965. Selaras dengan matlamat DEB, program pembaharuan pentadbiran terus diberi perhatian dengan penubuhan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada 1977.

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor