Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Ahad, 12 Januari 2014
Khalid khianati aku janji?
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diingatkan supaya berpegang kepada aku janjinya untuk memelihara dan melindungi kesucian Islam ketika mengangkat sumpah di hadapan sultan sebelum ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar berkata, tindakan Abdul Khalid yang mengeluarkan dua arahan baharu kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIS) jelas bertentangan dengan aku janji beliau iaitu mahu memelihara kesucian dan keagungan Islam sebagai agama rasmi negeri dan kepercayaan umatnya daripada diganggu gugat mana-mana pihak.
Dalam hubungan ini katanya, Menteri Besar sepatutnya membela JAIS yang merupakan sebuah agensi menjaga kesucian agama Islam di negeri ini dan bukannya melakukan sebaliknya.
"Serbuan itu dibuat untuk melindungi kesucian kalimah Allah yang mahu digunakan oleh agama lain di negeri ini dan dibuat berlandaskan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988.
"Sebaliknya, Abdul Khalid mengeluarkan arahan terbaharu kepada JAIS mengarahkan pemulangan Bible yang dirampas dalam serbuan di Petaling Jaya pada Khamis lalu dan mewajibkan agensi itu memaklumkan kepada mereka sebelum membuat apa-apa serbuan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perjumpaan Pemaju Masyarakat Tabika dan Taska Permata Kemas di Politeknik Shah Alam di sini hari ini.
Noh turut menyifatkan pengeluaran arahan tersebut sebagai satu tindakan yang tidak menghormati undang-undang.
"Arahan itu menunjukkan bahawa kerajaan negeri pakatan pembangkang cuba masuk campur urusan penguatkuasaan undang-undang negeri.
"Sebagai Menteri Besar, beliau tidak boleh mengarah sesuatu tindakan penguatkuasaan yang akan dibuat oleh JAIS untuk dirujuk kepadanya terlebih dahulu," jelasnya.
Sementara itu dalam satu kenyataan, Noh melahirkan rasa kesal dengan sikap Abdul Khalid yang seolah-olah tidak memahami Penyelesaian 10 Perkara diluluskan Kabinet bahawa peraturan itu tidak boleh mengatasi undang-undang diwartakan oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, Penyelesaian 10 Perkara itu hanya satu polisi dan bukannya undang-undang yang boleh dikuatkuasakan, selain hanya berkaitan dengan soal kemasukan dan pengimportan Bible bahasa Melayu ke negara ini yang langsung tidak ada kena mengena dengan isu kalimah Allah.
"UMNO Selangor juga melihat kerajaan negeri tidak memahami konteks kebebasan beragama yang disebut di dalam Perlembagaan di dalam Artikel 11 dan tertakluk kepada Artikel 11 (4) dan kenyataan beliau untuk mengheret Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam isu ini adalah satu usaha untuk menyalahkan kerajaan Persekutuan.
"Cap KDN hanya terpakai di negeri-negeri yang tidak mempunyai Enakmen 1988 seperti di negeri Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan tersebut.
Warna-warni politik
Torashah
Sabtu, 4 Januari 2014
SOKONG : JAIS rampas Bible , AMARAN : Paderi Andrew jangan Biadap – Noh?
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata UMNO Selangor bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan percaya mereka telah menjalankan tugas berlandaskan undang-undang yang sedia ada.
Katanya, pada November lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan penerbitannya dalam akhbar mingguan The Herald versi bahasa Melayu, perlu dihentikan serta-merta di negeri Selangor.
Berikut adalah kenyataan penuh Noh Omar kepada media hari ini :
1. UMNO Selangor merujuk kepada isu penggunaan Kalimah Allah dan rampasan Bible yang dilakukan oleh JAIS baru-baru ini yang menjadi pertikaian beberapa pihak.
2. Semua rakyat yang tinggal di Selangor mesti faham bahawa Selangor mempunyai undang-undang yang wajib dipatuhi dan menghormati Sultan sebagai Ketua Agama Islam. UMNO Selangor ingin tegaskan disini bahawa isu yang berlaku di Selangor sekarang berdasarkan kepada Enakmen Agama Bukan Islam ( Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam ) yang telah diwartakan pada tahun 1988 yang melarang orang bukan Islam di Selangor dari menggunakan 35 perkataan Arab dan ungkapan dalam agama mereka, termasuk “Allah”, “Nabi”, “Injil” dan “Insya’Allah”. Undang-undang ini telah dikuatkuasakan sejak 26 tahun yang lalu dan hanya terpakai di negeri Selangor dan tiada kaitan dengan negeri-negeri yang lain.
3. UMNO Selangor bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan percaya mereka telah menjalankan tugas berlandaskan undang-undang yang sedia ada. Pada November lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bertitah penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan penerbitannya dalam akhbar mingguan The Herald versi bahasa Melayu, perlu dihentikan serta-merta di negeri Selangor.
4. Enakmen 1988 ini telah dikuatkuasakan semenjak 26 tahun yang lalu dan kita sedia maklum tiada masalah yang berlaku dan inilah bukti bagaimana kehormanian antara agama diperlihara dan membolehkan kita hidup dengan aman dan tenteram.
5. Kenyataan Paderi Andrew jelas mencabar undang-undang yang sedia ada dan menderhaka kepada Sultan . Beliau tidak perlu bersikap biadap kerana undang-undang ini telah diguna pakai semenjak sekian lama. Kalimah Allah telah lama dilarang digunakan dalam apa juga bahasa apatah lagi di dalam Bahasa Malaysia. Kenyataan beliau boleh menimbulkan kemarahan orang Islam di Selangor dan tidak mustahil perkara diluar jangkaan boleh berlaku..
6. UMNO Selangor meminta pihak polis supaya meneruskan siasatan kerana mereka telah diberi kuasa dibawah Seksyen 10 Enekman 1988 untuk mengambil sebarang tindakan. Penyiasatan harus disegerakan supaya mereka yang melanggar undang-undang dibawa ke muka pengadilan.
7. UMNO Selangor mengucapkan tahniah kepada Jabatan Agama Islam Selangor dan pihak polis yang cekap bertindak dan kerajaan negeri perlu tegas menyokong tindakan yang dilakukan JAIS kerana Enakmen 1988 ini masih lagi merupakan undang-undang yang sah di negeri Selangor.
8. UMNO Selangor tidak bersetuju mana-mana pihak mengadakan sebarang himpunan di gereja kerana boleh menimbulkan salah tafsir di kalangan rakyat dan boleh menggugat keharmonian kebebasan beragama di negeri Selangor.
9. UMNO Selangor akan terus memantau perkembangan isu ini dan mahu kerajaan Selangor bertindak tegas berdasarkan undang-undang dan jika keadaan memerlukan UMNO akan mengadakan himpunan Melayu Selangor supaya Enakmen 1988 ini dipertahankan dan perintah Sultan di hormati.
Datuk Seri Noh Omar
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.
Warna-warni politik
Torashah
Isnin, 9 Disember 2013
Gelombang transformasi UMNO!
Perwakilan yang hadir mendengar amanat Presiden umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika berucap pada majlis penggulungan perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2013 Sabtu lepas.
Selesai ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di perhimpunan UMNO 2013 dengan serta-merta dua pemimpin lawan kepada UMNO memberi reaksi. Terhadap reaksi Guan Eng dan Anwar itu, sesiapa yang sedikit berpengetahuan mengenai perang psikologi akan tersenyum. Senyum bermaksud mereka dapat mengenal yang dua pemimpin lawan itu memberi reaksi mengikut buku teks perang psikologi.
Buku teks perang psikologi mencadangkan serangan lawan mesti dipintas dengan cepat. Jika tidak begitu, moral pasukan lawan akan membara dan moral pasukan sendiri akan merosot. Dari segi metodologi pula, Anwar menggunakan teknik melembut atau pacify sementara Guan Eng pula menggunakan teknik memberi definisi selari atau definisi garisan tak bertemu.
Terhadap serangan Najib bahawa UMNO sentiasa menghulur tangan perpaduan, Anwar pantas menjawab bahawa dia mengulangi tawarannya untuk berdialog dengan UMNO demi kepentingan negara dan bangsa. Tujuannya, meletakkan Najib dan UMNO semula pada kedudukan mesti menjawab.
Guan Eng pula mencabar kesahihan analogi badminton bagi mewakili sistem 'sesiapa pertama melepasi palang' bagi pilihan raya Malaysia. Demikianlah apabila serangan dilawan dengan serangan, peluru dibalas peluru dalam sesuatu pertempuran. Pertempuran (battle) adalah pertembungan-pertembungan kecil dalam suatu peperangan politik.
Najib telah melontarkan buah fikirannya dalam bentuk ucapan dan direkod oleh pelbagai media. Penganalisis dan pengkaji kemudian akan membuat taksiran sama ada ucapan itu akan memberi impak kepada kekuatan UMNO berbanding lawannya? Najib yang telah beberapa kali menyebut tentang strategi lautan biru, akan dinilai sama ada beliau adalah penganut setia kepada pendekatan itu atau sebaliknya beliau masih ragu dengan kejituan pendekatan itu untuk dirinya dan UMNO. Atau beliau lebih yakin kepada pendekatan gabungan lautan biru dan lautan merah atau pengaruh kepada pendekatan eklektik?
Kemungkinan yang lain ialah, dia yakin dan meyakini strategi lautan biru tetapi arah angin masih belum dapat membawa kapal UMNO keluar daripada lautan merah berdarah. Jika Najib benar-benar meyakini strategi lautan biru berbanding lautan merah berdarah dia akan mengelak daripada menyerang musuh. Sebaliknya dia akan menggunakan tenaga dan mata fikirnya mencari, membina dan mengumpul gelombang besar untuknya membawa bahtera UMNO keluar daripada lautan merah itu.
Gelombang besar inilah yang akan menjadikan Guan Eng dan Anwar serta kapal mereka kehilangan upaya untuk membuat pintasan lalu perlahan-lahan menjadi marginal dan tidak lagi relevan. Saya merasakan gelombang besar itu sudah dicipta, namun serangan-serangan kecil pihak lawan masih berupaya menggoda bahtera UMNO dan askar-askarnya untuk membalas dan dengan itu kelajuan pelayaran UMNO dapat dilambatkan. Kepada pihak lawan UMNO pula, ini wajib dilakukan kerana UMNO mempunyai kelebihan-kelebihan yang tidak ada tandingnya untuk mencipta gelombang besar itu. Kepada saya pula, gelombang besar itu ialah gelombang transformasi.
Berbeza dengan 'reformasi' yang hanya meluruskan kaki bengkok menjadi yang sepatutnya lurus atau membuat pembedahan plastik kepada wajah herot yang sepatutnya bundar, transformasi merubah habitat atau tempat tinggal dan sama sekali merubah tingkahlaku dan keupayaan benda atau perkara yang berubah itu. Seekor ulat yang hidupnya di ranting-ranting pohon dengan tingkahlakunya bergerak perlahan, sebaik melalui suatu tempoh transisi atau morfosis, bertukar menjadi rama-rama yang tidak lagi tinggal di dahan-dahan dengan tingkahlaku baharu yang boleh terapung dan bergerak pantas secara terbang.
Rama-rama itu tidak lagi perlu bersaing dengan ulat-ulat lain untuk merebut makanan pucuk daun muda kerana tabiat makanannya telah berubah kepada manisan debunga serta habit-habit yang baru. Adakah dengan itu Najib dan UMNO sudah benar-benar menjadi rama-rama yang terbang meninggalkan kelompok ulat-ulat pesaingnya, setelah merasa benar-benar bosan dengan golongan itu yang rakus memusnah dedaunan sehingga tidak lagi peduli bahawa tingkahlaku mereka mematikan pohon tempat mereka mendapat rezeki.
Dunia baru
Adakah Najib dan pengikutnya akan berubah kepada hidup estetik dan bebas menjadi pemuja bunga sambil mengambil madunya dengan tertib, elegan dan tidak sekali-kali merosak walau satu kelopak jua bunga yang membekalkannya madu itu? UMNO yang baru dengan kuasa terbangnya membawa bersama mereka setiap warga Malaysia terutamanya Melayu berpindah kepada kehidupan baru yang benci kepada perebutan dan kerakusan, sebaliknya cinta kepada kasih sayang dan dapat pula membantu penghasilan-penghasilan baru di dunia baru yang bebas pertempuran itu?
Perpindahan dan kuasa baru ini akan menjadikan mereka yang tidak bersamanya menjadi tidak relevan. Wajarkah ini dilakukan? Hujah kewajarannya adalah seperti dikatakan oleh Najib bahawa UMNO, orang Melayu dan negara Malaysia 'hendaklah melihat transformasi sebagai sesuatu yang hidup dan bukannya berkala, tidak sahaja berlegar dalam dunia maya dan idea'. Katanya lagi 'hasilnya hendaklah dapat dilihat', sambil dia memetik contoh Great Britain, Korea dan Republik Rakyat Cina yang masing-masing telah mengalami proses transformasi yang disengajakan.
Pemerhati yang juga pengundi, segolongan besarnya Cina dan diikuti India, sedang berkira-kira sama ada mereka perlu terbang bersama UMNO? Mereka mengira adakah jika mereka tidak menyertai, maka pohon yang selama ini mereka turut rebuti akan mati, lalu mereka juga mati bersamanya, sedangkan UMNO dilihat berupaya mencipta dunia baru yang lebih menjanjikan ruang kehidupan yang lebih luas dan akses kepada potensi rezeki yang lebih pelbagai?
Anwar Ibrahim sejak sekian lama, dari usia remaja hingga kini, telah melatih diri dan pengikutnya pantas menggunakan taktik mencipta autoriti selari (parallel authority), mencipta pengikut yang dengan yakin mencabar setiap kebijaksanaan aliran utama (establishment). Semasa Melayu dan Islam ditafsir oleh aliran utama sebagai sesuatu yang tidak terpisah dia menawarkan definisi yang memisahkan dengan membawa slogan bahawa mempromosi patriotisme Melayu itu sebagai 'assabiyah bukan daripada golongan pengikut nabi SAW'. Asas ini kemudian mengalami mutasi kepada gagasan-gagasan lain seperti 'hak asasi manusia', kebijaksanaan sejagat dan banyak lagi.
Tidak sedikit bilangan anak muda Melayu yang takut tidak tergolong dalam golongan pengikut Nabi SAW meninggalkan pasukan patriotik Melayu, lalu menyertai golongan pemisah itu, sebagai permulaan kepada lunturnya laungan patriotik Melayu di kalangan anak muda Melayu atau setidak-tidaknya meletakkan mereka dalam keadaan keliru lalu menjadi pasif. Dalam dunia psikologi ini dikatakan sebagai meaning system. Dalam hal ini, Najib dan UMNO mesti berupaya memindahkan anak muda daripada perangkap kekeliruan dan keadaan pasif kepada suatu sistem makna yang baru.
Sistem makna baru yang ditawarkan nanti hendaklah dilihat dapat membawa keluar pengikut-pengikut, termasuk pengikut lawan, daripada pertempuran panjang 'Melayu melawan assabiyah' yang telah meletih dan memualkan tentera masing-masing. Untuk tujuan itu sistem makna baru hendaklah mengemukakan gagasan 'kepedulian penyudah' (ultimate concern) yang sangat suci (sacred) lagi agung berbanding kepedulian-kepedulian sebelumnya. Semua orang nanti akan sanggup bersusah payah bahkan berkorban untuk kepedulian penyudah yang baru itu.
Dia dilihat sebagai suci dari sebarang bentuk cemar, baik yang hadir mahupun cemar spiritual. Ia hendaklah kepedulian benar yang mudah difahami tanpa diskriminasi keupayaan inteligen, bukan juga kepedulian yang sarat dengan kata-kata retorik lagi bombastik seperti yang dikatakan Najib sebagai tinggal dalam dunia 'idea atau maya sahaja'. Kepedulian baru itu akan mendefinisikan diri, identiti, kehidupan dan matlamat hidup setiap pendokongnya.
Saya dapat menangkap, bahawa bahan-bahan mentah kepada transformasi sistem makna dan kepedulian penyudah yang baru itu telah dibentangkan oleh Najib dengan begitu bijaksana sekali dengan menyebutkan perbandingan perkembangan penduduk Bumiputera Malaysia pada tahun 1970 (permulaan DEB tajaan bapanya) dengan jumlah 6.1 juta atau 56 peratus berbanding sekarang sebanyak 18.6 juta atau 67.9 peratus yang di dalam peratusan itu 59.7 peratus ialah orang Melayu dan Bumiputera Islam. Peratusan Melayu dan Bumiputera Islam (59.7 peratus) melebihi keseluruhan peratusan Bumiputera pada tahun 1970, sementara Bumiputera Bukan Islam pula ialah 7.6 peratus.
Lebih lanjut lagi Najib menyebutkan unjuran penduduk pada tahun 2020 ialah 29.9 juta dengan Melayu dan Bumiputera akan mewakili 69.2 peratus daripada jumlah itu berbanding 22.8 peratus Cina dan tujuh peratus India. Mengapa Najib menyebut data itu? Apa relevannya? Hanya yang bijaksana dapat melihat relevansi data itu dengan gelombang transformasi UMNO yang dinakhodakan oleh Najib dan nakhoda kedua Muhyiddin serta memahami pula apakah mesej yang hendak dihantar kepada UMNO dan rakan-rakannya serta memberi isyarat tertentu kepada pihak lawan, baik yang ekstrem mahupun yang bersederhana.
Marilah kita berdoa semoga nakhoda itu membawa bahtera transformasi menuju laut luas dengan janji wasatiyahnya dan tidak kehilangan kesabaran melayani pintasan-pintasan nakal pihak lawan dengan melanggar setiap kapal kecil lawan atau hidupan laut yang merintangi pelayaran itu.-UMO
Warna-warni Politik
Torashah
Sabtu, 23 November 2013
Lagi bantah Tony Pua gelar ROS anjing UMNO?
SAFUAN Hamzah (dua dari kanan) bersama sebahagian daripada 40 belia membuat bantahan secara aman terhadap tindakan Tony Pua di hadapan Masjid Sultan Muzaffar Shah, Sungai Petani, Kedah, semalam.
SUNGAI PETANI - Kira-kira 40 belia di kawasan ini hari ini mengadakan demonstrasi aman di hadapan Masjid Sultan Muzaffar di sini bagi membantah tindakan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua yang menggelar Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai 'anjing UMNO'.
Mereka berkumpul selepas solat Jumaat sambil melaungkan pelbagai kecaman serta mengangkat 23 sepanduk bagi menyatakan kemarahan terhadap tindakan pemimpin pembangkang itu.
Tony dikecam kerana hingga kini masih membisu seribu bahasa tanpa memohon maaf terhadap orang Melayu yang merupakan 95 peratus kakitangan ROS.
Justeru, pertubuhan Anak Muda Melayu Negeri Kedah menuntut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Penasihat parti itu, Lim Kit Siang dan Tony memohon maaf kepada orang Melayu dan Islam, Utusan Malaysia dan kakitangan ROS dengan segera.
Bantahan sekitar 15 minit berhampiran jalan raya menuju ke Kem Lapangan Terbang itu menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di kawasan itu dan ada di antara mereka turun dari kenderaan kemudian dan sama-sama menyertai bantahan itu.
Yang turut hadir pemimpin Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim dan bekas Ketua Pemuda Pas Cawangan Kampung Baru Bakar Arang, Saiful Zaman Ahmad.
Wakil Anak Muda Melayu Negeri Kedah, Safuan Hamzah, 30, berkata, Tony bertindak ego dengan menyatakan kakitangan ROS sebagai anjing UMNO.
"Kami daripada pelbagai fahaman politik hadir berkumpul di sini kerana rasa marah dengan tindakan Tony itu. Kami minta dia segera mohon maaf kepada umat Melayu beragama Islam di negara ini," katanya.
Menurutnya, bantahan seumpama ini bakal berlarutan di mana-mana sahaja jika beliau masih ingkar memohon maaf.
"Susah sangatkah nak mohon maaf pada orang Melayu beragama Islam?," tanya beliau.
Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan pemimpin Pas kerana masih membisu dalam perkara itu.
Seorang peserta perhimpunan itu, Ismail Khamis, 25, dari Sungai Layar pula berkata, sepatutnya Tony menghormati orang lain, terutamanya orang Melayu tanpa bertindak untuk kepentingan diri sendiri.
"Adalah amat malang, seorang pemimpin bila menang dalam pilihan raya tidak dapat menghormati orang lain, dalam hal ini Tony perlu belajar untuk hormati orang lain," katanya.
Menurut Ismail, Tony tidak akan berani membuat kenyataan seumpama itu tanpa mendapat restu daripada Kit Siang atau Guan Eng.
Warna-warni politik
Torashah
Sabtu, 16 November 2013
PANAS ! RAFIZI TERKEDU BILA DITEKAN BERAPA GAJI DIBAYAR JADI PENASIHAT KERAJAAN SELANGOR !!
Pepatah Melayu ada menyatakan sarang tebuan jangan dijolok. Jika dijolok juga, buruk padahnya walaupun yang menjolok itu seorang pakar strategi.
Begitulah yang terjadi kepada Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang juga merupakan ahli Parlimen Pandan apabila cuba mencelah ketika ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar sedang berbahas.
Noh diawal perbahasannya menjelaskan mengapa kerajaan melantik tiga bekas menteri sebagai Duta Khas dengan keseluruhan elaunnya berjumlah RM980,179 setahun. Mereka ialah Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang dilantik sebagai Duta Khas ke Amerika Syarikat, Tan Sri Ong Ka Ting (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri S. Samy Vellu (Duta Khas ke India).Mengambil contoh pengalaman beliau selaku Menteri Pertanian sebelum ini, beliau memberitahu dewan, walaupun tandatangan diantara menteri kedua-dua negara telah dilakukan, ianya masih memerlukan kerja-kerja susulan projek tersebut.
Jelas Noh, tugasan ini memerlukan seseorang bertaraf menteri seperti Ka Ting yang boleh mendapat akses terus kepada menteri yang berkenaan.
Rafizi yang bangun mencelah cuba menimbulkan persepsi negatif bahawa ketika Noh Omar menjadi Menteri Pertanian, beliau telah gagal menyelesaikan masalah projek di negara China sehingga memerlukan Ka Ting membantu sekaligus menyebabkan beliau digugurkan dari kabinet. Rafizi juga mempersoalkan kewajaran melantik Ka Ting dengan elaun yang tinggi.
Berang dengan tuduhan tersebut, Noh bangun mempersoalkan sama ada Rafizi telah dibayar elaun atau tidak ketika menjadi penasihat untuk Menteri Besar Selangor suatu ketika dahulu.
“Saya hendak bertanya kepada Pandan (Rafizi), semasa menjadi Ketua Exsekutif kepada Menteri Besar, adakah Menteri Besar Selangor ini tidak berapa cerdik sehingga memerlukan penasihat? Itu soalan saya yang pertama.
“Soalan saya yang kedua, Pandan dapat ke tidak elaun? Tolong beritahu berapa elaun yang berhormat dapat. Kalau tidak dapat, tidak apa lah,” soal Noh.
Soalan tersebut telah membuatkan Rafizi terkedu dan berbelit lidah untuk menjawab. Rafizi berkata isu tersebut tidak timbul kerana jawatan yang dinyatakan tidak wujud. Bagaimanapun, setelah didesak beberapa kali oleh Noh Omar akhirnya beliau tunduk dan mengaku ada menerima elaun daripada kerajaan negeri Selangor.
“Setiap perbelanjaan yang dibayar kepada saya telah didedahkan di dalam Dewan Undangan Negeri setiap kali ada persidangan,” katanya tanpa menyatakan jumlah yang diperolehi.
Tidak puas hati dengan itu, Rafizi sekali lagi menyerang Noh kononnya gagal menjawab soalan beliau dan kegagalan menyelesaikan projek di China sebagai punca tidak dilantik semula di dalan kabinet.
“Dia (Rafizi) ni pekak…saya kata saya akan jawab tetapi sebelum saya jawab, saya hendak tanya dulu kepada Pandan (Rafizi) berapa ribu dia dapat? Menteri Besar pun tidak berapa cerdik, itu pasal ahli Parlimen Gombak (Azmin Ali) berangan hendak jadi Menteri Besar,” bidas Noh
“Saya tahu berapa elaun yang dia dapat, itu pasal dia segan hendak cakap di dalam dewan ini. Pembangkang ini macam inilah perangainya, salah dia, dia tidak nampak,” bentak Noh.
Menurut Noh, selepas menteri kedua-dua telah menandatangani memorandum persefahaman sesuatu projek, tugas susulan akan dibuat dikalangan pegawai-pegawai kerana ianya mempunyai prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi.
“Takkanlah menteri hendak pergi tengok sarang burung? Jadi sebab itu kita hendak kerja susulan daripada duta khas kerana ada akses terus kepada menteri pertanian di sana. Ini diantara tugas-tugas yang dibuat.
“Jadi pembangkang jangan putar belitkan fakta. Bila kena batang hidung sendiri baru hendak berpusing-pusing jawab,” kata beliau!
Warna-warni Politik
Torashah
Khamis, 7 November 2013
Petronas diminta perjelas maksud 'tak layak'?
PETRONAS perlu memberi penjelasan apa kriteria yang digunakan syarikat minyak negara itu untuk mengukur kelayakan syarikat vendornya sebelum menggunakan alasan 'tidak layak' untuk menolak memberi kontrak kepada syarikat Melayu.
Pengarah eksekutif sebuah syarikat yang pernah menyediakan perkhidmatan kepada Petronas mendakwa, terdapat syarikat Bumiputera dan Melayu yang diiktiraf negara dan syarikat luar tetapi diketepikan daripada menerima kontrak Petronas.
“Kenapa negara lain seperti Jepun, Arab Saudi dan syarikat minyak antarabangsa yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada Petronas boleh bagi projek kepada syarikat Malaysia tetapi kenapa Petronas tak bagi?
“Ada syarikat Melayu yang dapat anugerah dari luar negara kerana teknologi yang dicipta untuk industri gas dan minyak ini sangat bagus, tetapi bila mereka mohon untuk sertai program pembangunan vendor (VDP), ditolak Petronas. Jadi kelayakan macam mana yang diperkatakan?,” soalnya.
Beliau juga berkata, tempoh lima tahun di bawah VDP Petronas terlalu singkat dan syarikat perlu diberikan tempoh lebih lama.
“Lima tahun itu seolah-olah kita baru dapat rentak, tiba-tiba kita perlu berhenti. Tetapi saya tidak lah kata syarikat Bumiputera perlu duduk di bawah program itu selama-lamanya.
“Kalau langsung tidak ada tempoh akhir, nanti syarikat jadi terlalu selesa dan tidak cekap. Apa yang kami mahu adalah tempoh minimum 10 tahun diberikan kepada peserta VDP,” katanya.
Beliau berkata, Petronas boleh menamatkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam VDP lebih awal dari 10 tahun jika mereka tidak mencapai tahap diperlukan, tidak mengikut peraturan atau berhadapan masalah lain.
Menurutnya, jika isu ini tidak diselesaikan, beliau bimbang syarikat Bumiputera (dalam sektor minyak dan gas) akan terkubur.
“Walaupun ada antara kami (bekas vendor Petronas) masih boleh bertahan dengan mempelbagaikan perniagaan dan memasuki bidang selain minyak dan gas, kami tetap rasa perit untuk pertahankan perniagaan.
“Tetapi kita pun tidak boleh hanya kata Petronas sahaja perlu mainkan peranan untuk selesaikan isu ini. Vendor sendiri perlu ada usaha untuk majukan perniagaan tetapi kami perlukan tunjuk ajar dan sokongan Petronas,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menetapkan peraturan untuk melindungi syarikat tempatan dan memantau pelaksanaan undang-undang yang telah ditetapkan.
Warna-warni Politik
Torashah
Rabu, 6 November 2013
Pemilik stesen Petronas tertekan?
Pemilik stesen minyak Petronas mendakwa Petronas menetapkan pelbagai peraturan baru yang membebankan perniagaan mereka. (Gambar hiasan)
Bukan hanya dakwaan syarikat minyak dan gas menghadapi masalah mendapatkan kontrak Petronas, pemilik stesen minyak Petronas juga mendakwa menerima tekanan daripada syarikat petroleum itu.
Menurut sumber yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam perniagaan stesen minyak Petronas, kepentingan Bumiputera, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah perniagaan milik Petronas Dagangan Bhd (PDB) didakwa telah terhakis kerana dasar baru yang mula menular dalam Petronas.
PDB adalah cabang perniagaan Petronas yang bertanggungjawab terhadap pemasaran dan agihan minyak di seluruh negara melalui stesen minyak Petronas.
Menurut sumber itu, stesen minyak Petronas di seluruh Malaysia sebelum ini diketahui menjual pelbagai jenis makanan tempatan seperti nasi lemak, nasi dagang, sandwic dan lain-lain yang diletakkan di stesen Petronas oleh penduduk setempat atau syarikat kecil.
“Tetapi baru-baru ini, PDB tidak benarkan lagi kami menerima bekalan makanan ini daripada penduduk setempat dengan alasan mahukan syarikat berdaftar sahaja menjadi pembekal bagi menjamin kualiti produk di kedai Mesra.
"PDB mahu berikan hak membekalkan produk itu kepada sebuah syarikat dari luar negara yang akan bekalkan semua kuih, nasi lemak, roti dan makanan tempatan di stesen Petronas selepas ini," dakwa beliau.
Beliau berkata, individu yang membekalkan kuih-muih selama berbelas tahun ke stesen Petronas akan kehilangan mata pencarian apabila tidak lagi dibenarkan berbuat demikian.
“Kami malu dengan penduduk tempatan kerana selama ini kita bantu-membantu antara masyarakat setempat. Ada yang berbelas tahun sudah bekalkan makanan ke stesen Petronas. Mereka yang beli minyak di stesen kami, jadi kami bantu dengan beri ruang untuk mereka bekalkan makanan.
“Kami juga langsung tidak diberi kuasa untuk buat keputusan dalam hal ini. Kami sudah berbincang dengan PDB mengenai isu ini tetapi mereka bertegas akan tetap meneruskan rancangan menggunakan khidmat syarikat luar itu,” dakwanya.
Stesen Petronas diberi kepada bukan Bumiputera
Sumber itu turut mendakwa trend paling membimbangkan sejak dua atau tiga tahun lalu adalah peluang membuka stesen Petronas baru diberikan kepada bukan Bumiputera.
“Padahal Petronas sepatutnya beri keutamaan kepada peniaga Bumiputera untuk buka stesen minyak mereka. Kami mahu dasar Petronas kembali memberi keutamaan kepada peniaga Bumiputera,” gesa beliau.
Selain itu, beliau mendakwa pengusaha baru stesen Petronas juga ditekan dengan kewujudan perjanjian baru untuk membuka stesen minyak Petronas.
Menurutnya, jika perjanjian sebelum ini laku sehingga pemilik stesen itu meninggal dunia, perjanjian baru pula hanya laku bagi tempoh lima tahun.
“Selepas lima tahun, pemilik stesen akan dinilai semula, boleh teruskan perniagaan atau tidak.
“Kadar sewa juga dinaikkan daripada lapan peratus dalam perjanjian lama kepada 24 peratus dalam perjanjian baru,” dakwanya.
Beliau juga melahirkan rasa kecewa apabila Petronas didakwa menghalang dan mengongkong pemilik stesen minyak Petronas meluaskan perniagaan mereka.
“Kami dihalang mempunyai perniagaan lain, dengan alasan mahu kami bagi perhatian penuh kepada perniagaan (stesen minyak).
“Padahal kita bila dah maju, mungkin kita nak cuba jadi pembekal atau kembangkan perniagaan dengan buka stesen kedua tetapi ini tidak dibenarkan melalui perjanjian baru ini,” katanya.
Warna-warni Politik
Torashah
Langgan:
Catatan (Atom)
Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor








