Apabila akar umbi mula berbicara tentang...Ugama, Bangsa dan Negaranya. Melayu adalah pewaris kepada tanahair bumi tercinta ini. Siapakah yang akan mempertahankannya kalau tidak bangsa Melayu itu sendiri. Sesungguhnya UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu. HIDUP UMNO DULU, KINI DAN SELAMANYA.
Sabtu, 31 Ogos 2013
Perutusan YAB PM @NajibRazak Hari Merdeka ke-56 2013!
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,
1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredhaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-56 dalam keadaan permai sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah dan Sarawak bersama-sama menyambutnya sejak 1963.
2. Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, MalaysiaKu Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.
Saudara dan Saudari,
3. Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.
4. Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta bersinambung sampai sekarang.
5. Maka yang demikian, memiliki kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri halatuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahankan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saudara dan Saudari,
6. Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.
7. Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya masih samar dan buntu. Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono. Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan terjejas pabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.
Saudara dan Saudari,
8. Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu, tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.
9. Hakikatnya, tragedi walang itu telah menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jatidiri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi pewaris.
10. Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya.
11. Sesungguhnya jua, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari muka.
12. Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jatidiri dan diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar.
Saudara dan Saudari,
13. Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.
14. Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.
15. Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak Kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.
16. Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.
Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-56.
Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.
Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Warna-warni politik
Torashah..
Selasa, 27 Ogos 2013
Pekerja temui rangka manusia berhampiran tapak pembinaan Hospital Shah Alam?
Seorang pekerja kontrak terkejut menemui rangka manusia dalam semak dekat tapak Hospital Shah Alam, di Seksyen 7, di sini, petang kelmarin. Dham Duc Anh, 21, seorang warga Vietnam berkata, dia sedang mencari sayur kira-kira jam 6.30 petang apabila ternampak banyak serpihan tulang berselerak di situ.
Pada mulanya dia menyangka itu adalah tulang binatang.
"Namun apabila saya bergerak kira-kira dua meter ke hadapan, saya ternampak tengkorak dan rangka dalam lubang.
"Rangka itu seolah-olah ditanam dalam lubang tersebut, tetapi mungkin anjing atau haiwan lain menarik sebahagian rangka itu keluar dari lubang berkenaan," kata warga Vietnam itu ketika ditemui di lokasi, semalam.
Menurut lelaki itu, dia melihat ada cebisan kain dipercayai seluar jeans pada serpihan tulang tersebut, selain terdapat sedikit rambut pada tengkorak berkenaan.
Katanya, dia yakin rangka itu milik manusia dan terus pulang ke rumah kongsi untuk memaklumkan rakan sekerjanya. Duc Anh berkata, dia tidak segera melaporkannya kepada polis, tetapi kembali semula ke lokasi itu semalam bersama beberapa rakan.
Rangka serta tengkorak manusia yang ditemui dalam semak berdekatan tapak pembinaan Hospital Shah Alam di Seksyen 7, semalam dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan
"Kami kemudiannya buat laporan polis berhubung penemuan rangka tersebut pagi tadi (semalam)," katanya.
Katanya, dia dan rakan sekerja kerap ke kawasan semak di situ untuk memetik sayur, namun tidak pernah menemui apa-apa yang pelik .
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisoner Zahedi Ayub mengesahkan menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira jam 9.35 pagi semalam.
Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan rangka berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan.
"Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam atau ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.
Warna-warni Politik
Torashah
Ahad, 25 Ogos 2013
Pas didesak nyatakan pendirian berhubung isu kalimah Allah!
NASARUDDIN Mat Isa (tengah) berbual bersama bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim (kiri) dan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin ketika hadir dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Kumpulan Utusan di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., Kuala Lumpur, semalam.
Pucuk pimpinan Pas diminta menyatakan pendirian berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik membatalkan rayuan kerajaan Malaysia berhubung isu melibatkan pengunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.
Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, rakyat mahu melihat pendirian Pas dalam memperjuangkan isu kritikal seperti kalimah Allah atau pemimpin parti itu hanya sekadar bersuara demi kepentingan politik masing-masing.
Menurut beliau, desakan itu bagi memastikan parti tersebut masih lagi relevan dalam perjuangan Islam serta tidak tersasar daripada landasan sebenar.
Tambahnya, sebagai sebuah parti berteraskan Islam, pucuk pimpinan Pas sepatutnya hadir menyatakan sokongan semasa perbicaraan berhubung kes penggunaan kalimah Allah di Putrajaya semalam.
"Ketiadaan seorang pun ahli Pas semalam menimbulkan persoalan. Ahli-ahli Pas perlu bertanya kembali sama ada mereka perlu mempertahankan sebuah parti yang secara terang-terangan enggan memperjuangkan penggunaan kalimah Allah.
"Mereka perlukan kepastian sama ada parti itu akan bersama-sama menolak penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian atau sebaliknya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa Majlis Sambutan Aidilfitri Kumpulan Utusan di sini hari ini.
Beliau mengulas kegagalan pucuk pimpinan Pas hadir ketika Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan dan majlis agama Islam berhubung kebenaran penggunaan Kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.
Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, umat Islam di negara ini perlu bersatu mempertahankan kalimah Allah seperti mana sokongan yang ditunjukkan masyarakat Islam yang hadir ke mahkamah semalam.
"Saya harapkan 10 September ini akan lebih ramai umat Islam hadir menyatakan sokongan terhadap usaha mempertahan kalimah Allah yang turut mempunyai kaitan dengan isu akidah serta agama Islam sebagai agama Persekutuan.
"Perkara ini perlu dipertahan semua pihak sama ada kerajaan mahupun rakyat. Saya harap momentum hadir di mahkamah ini tetap dikekalkan sehingga keputusan diterima," katanya.
Warna-warni Politik
Torashah
Sabtu, 24 Ogos 2013
Apa niat Dong Zong - TPM?
Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan niat sebenar tentangan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) terhadap pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan dilancar bulan depan walaupun mereka turut terlibat dalam penggubalannya sebelum ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, dakwaan Dong Zong kononnya pelaksanaan PPPM akan menghapuskan bahasa Cina dan sekolah jenis kebangsaan Cina sama sekali tidak benar serta tidak disebut langsung dalam pelan berkenaan.
Katanya, beliau hairan dengan tindakan Dong Zong itu kerana mereka terlibat dalam perbincangan awal pelaksanaan dasar berkenaan, sebelum secara tiba-tiba menentangnya apabila PPPM mahu dicetak.
"Apa yang kita buat ini tidak menyalahi undang-undang negara atau Dong Zong sengaja mahu melihat sekolah kebangsaan terus mundur dan jika mundur, tidak akan menjadi 'ancaman' kepada sekolah jenis kebangsaan.
"Apakah itu tujuan mereka? Jika itu tujuannya, menunjukkan niat mereka yang tidak baik," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra sempena lawatan kerja rasmi dua hari ke negara ini yang bermula hari ini.
Mengulas penentangan berterusan Dong Zong itu, Muhyiddin menegaskan, beliau tidak akan melayan desakan itu kerana PPPM bertujuan meningkatkan sistem pendidikan negara yang dikatakan merosot.
Pelan tersebut katanya, telah digubal berdasarkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk kira-kira 17,000 orang ramai yang memberi pendapat menerusi perundingan meja bulat dan juga secara dalam talian.
"Saya mahu tegaskan, kita akan teruskan PPPM tanpa rasa digugat oleh mana-mana pihak dan saya tidak akan rasa tercabar, kita sudah kaji dan ini jalan terbaik.
"Kalau saya berundur, bukan sahaja dilihat mengalah tetapi tidak bertanggungjawab dan kalau saya tunduk kepada mereka, bukan sahaja dilihat lemah tetapi kita akan mengabaikan sistem pendidikan kita," tegasnya.
Timbalan Perdana Menteri berharap kelompok masyarakat Cina yang waras dan tidak melihat PPPM sebagai satu ancaman, akan terus memberi sokongan.
Menurutnya, kumpulan itu antaranya yang mewakili sekolah menengah jenis kebangsaan, tidak menentang PPPM sebaliknya memberi pelbagai cadangan seperti mahu pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris ditingkatkan dan tambahan masa untuk bahasa Cina.
"Itu bagi saya tidak ada masalah, mereka ini ialah kelompok yang ada semangat kebangsaan, tetapi Dong Zong langsung tidak menghormati, jadi kita tidak akan layan lagipun mereka (mewakili) kelompok kecil sahaja," ujarnya.-UMO
Warna-warni politik
Torashah
Ahad, 18 Ogos 2013
Pesanan Dr. Mahathir untuk UMNO!
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), UMNO yang bertanding bukan seperti UMNO yang ditubuhkan pada 1946. Sebenarnya UMNO 2013 amat berbeza daripada UMNO dahulu.
UMNO bukan lagi dihormati oleh orang Melayu. Kesetiaan dan sokongan orang Melayu kepada parti yang berjaya memerdekakan negara, berjaya membangunkan negara, berjaya menebus balik maruah orang Melayu, bukan sahaja sudah hilang tetapi kerap dipandang hina oleh mereka dan juga bangsa lain, terutama dalam kalangan generasi muda.
Kenapakah? Sebabnya UMNO sudah tidak lagi berpegang kepada perjuangan asalnya, perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. UMNO dianggap sebagai parti yang berjuang hanya untuk orang tertentu dalam parti, orang yang menjadi ketua di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya, berjuang untuk diri sendiri, untuk memperkayakan diri, untuk jawatan dan gelaran, untuk kuasa yang boleh disalah guna oleh mereka; menjadi Yang Berhormat (YB) dan Yang Amat Berhormat (YAB).
Ahli berguna hanya untuk sokong supaya individu tertentu ini mengisi ketamakan mereka. Untuk ini ahli disogok dengan wang dan bermacam-macam lagi sogokan seperti lawatan ke luar negara dan mengerjakan umrah. Dengan ini seluruh ahli UMNO terlibat dengan rasuah, iaitu menjual undi mereka dengan duit.
Tidak ada lagi semangat perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. Dan tidak pun ada kesetiaan kepada UMNO sendiri kerana kesetiaan sudah beralih daripada parti kepada individu tertentu. Walaupun sedar sikap dan tindakan ahli serta pemimpin akan menghakis kekuatan parti dan sokongan kepadanya oleh orang ramai dan akan kalah dalam pilihan raya dan tidak lagi akan berkuasa, tetapi individu tertentu lebih diutamakan daripada parti. Biarlah parti kalah asalkan kepentingan orang tertentu ini dilayani. Maka jadilah budaya cantas mencantas. Kalau tak dapat, rosakkan sahaja parti dan masa depan bangsa dan negara. Dan siapa juga yang dicalon, ada sahaja yang tidak dicalon akan cantas. Oleh itu calon UMNO semua akan kalah termasuk yang winnable, kononnya boleh menang pun akan kalah juga.
Hari ini siapa yang mendapat jawatan dalam UMNO, yang menjadi ketua cawangan, ketua bahagian akan dapat habuan, akan jadi ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diberi elaun, mendapat kontrak dan bagi ketua bahagian, kemungkinan jadi calon untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat. Kalau menang boleh desak untuk menjadi Menteri. Jika tidak dapat, apabila parti menang kecil, sanggup ugut keluar parti. Sesungguhnya menjadi ketua di peringkat apa pun dalam UMNO amat menguntungkan.
Justeru tentukan tiada siapa boleh cabar ketua yang sedia ada. Ini dibuat dengan tidak membenarkan sesiapa yang lebih terpelajar atau lebih berkaliber masuk UMNO. Permohonan mereka dihilangkan, ditolak atau diketepikan. Dengan itu tiada sesiapa yang lebih layak daripada ketua cawangan atau bahagian dapat menjadi ahli UMNO. Yang dapat hanyalah mereka yang tidak mampu mencabar ketua cawangan atau bahagian.
Dengan tindakan ini berkuranglah ahli yang berbakat, berkaliber dalam UMNO. Hendak tidak hendak mereka yang berkebolehan terpaksa menyertai parti-parti lawan yang sedia menerima mereka dan mencalonkan mereka. Maka calon-calon UMNO pun dilihat kurang layak daripada calon parti lawan dan besar kemungkinan dikalahkan.
Sementara itu apabila ketua cawangan atau bahagian sakit atau meninggal dunia, penggantinya tentulah kurang kelayakan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan UMNO merosot sehingga sukar untuk mencalonkan sesiapa yang berkaliber, yang boleh jadi Menteri, atau Perdana Menteri atau Menteri Besar.
Ahli dan pemimpin UMNO di mana-mana sering mengeluh bahawa sudah begitu lama mereka berada dalam UMNO, berpuluh-puluh tahun tetapi tidak dapat apa-apa pun, tidak dapat jadi calon, tidak jadi YB atau YAB, tidak dapat kontrak dan bermacam-macam lagi yang mereka idamkan bagi diri sendiri.
Apakah UMNO ditubuh untuk memberi sesuatu secara langsung kepada setiap seorang daripada ahlinya? Jika Perlembagaan UMNO disemak pemberian kepada setiap seorang ahli tidak dijanjikan. UMNO berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air; untuk menebus maruah orang Melayu, maruah bangsa, kesucian Islam dan kehormatan terhadap negara oleh dunia.
Dan dunia akui bahawa semua ini telah dilaksanakan oleh UMNO apabila dipilih untuk mengetuai kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka lebih setengah abad dahulu. UMNO telah menunaikan lebih daripada janjinya kepada bangsa, agama dan negara.
Dalam proses pemerintahan terpaksalah diadakan jawatan-jawatan bagi sebilangan daripada ahli. Tak mungkin UMNO bergerak untuk menjayakan janji-janjinya jika ia tidak memiliki pemimpin dan pegawai yang bekerja sepenuh masa atau separuh masa.
Untuk ini diadakan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan seterusnya sehingga ke ketua bahagian dan cawangan. Tugas mereka ialah bagi menguruskan UMNO sebagai parti politik, supaya menjayakan matlamat UMNO ditubuh.
Dan di antara mereka pula ada yang menjadi calon dalam pilihan raya. Yang menang di antara calon ini mungkin dilantik menjadi ahli Exco DUN, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri. Semua mereka ini tentulah dibayar gaji iaitu mendapat habuan daripada penyertaan mereka dalam UMNO.
Mereka lebih bernasib baik daripada ahli-ahli biasa UMNO. Tetapi ini tidak bermakna ahli biasa tidak dapat apa-apa langsung. Kejayaan pemerintahan yang diterajui UMNO tetap memberi nikmat kepada semua ahli. Nikmat ini termasuk khidmat kerajaan yang cekap, khidmat kesihatan, pelajaran, biasiswa untuk belajar di dalam dan di luar negara, pembinaan jalan kampung, pelbagai jenis latihan, Mara, saham PNB, tabung-tabung pinjaman, peluang pekerjaan, peluang perniagaan, kontrak dan berpuluh lagi nikmat yang diterima oleh setiap ahli UMNO.
Tidak ada siapa yang boleh berkata dia tidak dapat apa pun bagi diri sendiri. Sedikit sebanyak setiap ahli UMNO, setiap penyokong UMNO yang bukan ahli mendapat sesuatu. Benar yang tidak sokong UMNO pun dapat, tetapi mereka Melayu dan janji UMNO ialah untuk bangsa Melayu, tidak untuk ahli UMNO sahaja.
Katakanlah UMNO tidak berjaya kerana tidak ada sokongan daripada ahli UMNO, bolehkan kita rasai nikmat-nikmat ini? Saya tidak fikir walau siapa pun yang memerintah maka nasib orang Melayu sama baik atau lebih baik. Kita lihat di negeri-negeri yang tidak diperintah oleh UMNO, keadaan orang Melayu lebih daif. Sedikit nikmat yang mereka kecapi datang dari Kerajaan Pusat yang diterajui oleh UMNO.
Jika Kerajaan Pusat tidak diterajui oleh UMNO walaupun Melayu, mereka tidak gemar menolong Melayu kerana mereka terhutang budi kepada orang lain yang bukan Melayu kerana sokongan mereka dalam pilihan raya. Pengalaman orang Perak semasa diperintah oleh parti lawan boleh jadi contoh. Juga di Pulau Pinang, bahkan di Kelantan.
Jelas sekali bahawa setiap orang Melayu dan sudah tentu setiap orang UMNO mendapat sesuatu bagi diri mereka. Mereka mendapat bekalan api elektrik, bekalan air, jalan kampung dan jalan raya, rawatan apabila sakit, sekolah bagi anak, biasiswa ke universiti dalam dan luar negara, pekerjaan, peluang perniagaan, bantuan wang dan aneka jenis subsidi dan bermacam lagi nikmat. Jangan fikir ini memang begitu.
Benarkah mana-mana kerajaan pun akan mengadakan semua ini? Saya fikir tidak. Pergilah ke negara lain yang sama miskin seperti kita dahulu, yang sama dijajah dan sekarang merdeka, untuk melihat keadaan. Rakyat negara-negara ini masih miskin, masih tidak bersekolah, tidak berkemudahan, bahkan terpaksa berhijrah ke negara lain, termasuk ke Malaysia untuk mencari makan kerana kerajaan mereka tidak berjaya memajukan negara mereka dan membantu rakyat setelah merdeka.
Terimalah kenyataan yang sebenar dan bersyukurlah. Janganlah mengeluh kerana kononnya tak dapat apa-apa pun setelah menyokong UMNO begitu lama. Sesungguhnya mereka yang tahu bersyukur, Allah berjanji akan memberi lebih banyak nikmat. Insya-Allah, masa depan akan memperlihatkan giliran orang lain pula, mungkin giliran anak cucu kita jika pemerintahan oleh UMNO dapat diteruskan.
Warna-warni politik
Torashah
Jumaat, 16 Ogos 2013
Laluan kontra tidak selamat - Latar?
Pemilik kenderaaan membuat pusingan U secara haram dan tidak menghiraukan kon batu yang diletakkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) berhampiran susur masuk Kundang, Rawang, Selangor.
Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) diingatkan agar tidak membuat pusingan U berhampiran susur keluar tol Kundang di sini bagi mengelakkan risiko berlakunya kemalangan.
Wakil pengurusan Latar, Surati Sujor berkata, selain meletakkan diri mereka serta pengguna lain dalam keadaan bahaya, tindakan itu juga adalah salah di sisi undang-undang.
Menurutnya, pihak Latar menerima banyak cadangan daripada pengguna untuk mewujudkan laluan kontra di susur masuk ke Lebuhraya Latar, bagaimana pun ia tidak selamat bagi pengguna.
"Jalan susur masuk sedia ada telah direkabentuk dan dibina untuk keperluan jalan masuk sahaja ke Latar daripada Jalan Setia, Kundang untuk semua jenis kenderaan dari kelas 1 hingga kelas 5 termasuk kereta, van, lori, treler dan bas.
"Ia mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri dan telah diluluskan Bahagian Audit Keselamatan Jalan sebelum diwarta dan dibuka untuk kegunaan orang awam sebelum diluluskan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)," katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.
Mengulas mengenai perkembangan projek pembinaan susur keluar bertol di Kilometer 17.6 Latar, katanya, kontraktor bagi membina susur keluar baharu di kedua-dua arah di Persimpangan Kundang juga telah dilantik.
"Kerja-kerja awalan dan kerja-kerja tanah telah pun dimulakan dan projek dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun 2014.
"Orang awam akan dimaklumkan mengenai perkembangan serta kemajuan projek dari semasa ke semasa,"katanya.
Sementara itu Risiko berlaku kemalangan
Tindakan pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (Latar) membuat pusingan U dan menjadikan laluan sehala kepada dua hala dari arah Kuala Lumpur dan Selayang ke susur masuk Kundang ternyata mengundang bahaya kepada mereka.
Ini berikutan laluan di situ didapati sempit dan sukar untuk melihat kenderaan yang datang dari arah hadapan.
Tinjauan pemberita baru-baru ini mendapati, biarpun penghadang batu diletakkan di laluan tersebut pengguna jalan raya tetap berdegil dan terus menggunakan laluan tersebut.
Mereka seolah-olah tidak menghiraukan kenderaan yang datang dari arah bertentangan dan walaupun jelas terpampang papan tanda Dilarang Masuk di hadapan. Tanpa rasa bersalah mereka dilihat tetap membuat pusingan` U haram.
Penulis turut dimaklumkan kawasan tersebut sering berlaku kemalangan terutama membabitkan penunggang motosikal.
Difahamkan, tindakan pengguna membuat pusingan U di kawasan tersebut dengan alasan melecehkan dan terlalu jauh.
Seorang pengguna, Ahmad Kamsani Muhammad, 35, berkata, jika tidak membuat pusingan U di situ dia terpaksa melalui laluan yang terlalu jauh untuk pulang dari tempat kerja.
Menurutnya, dia tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa melalui tol Rawang atau melalui Bandar Bukit Rahman Putra.
Sementara menunggu jalan susur keluar ke Kundang siap, saya cadangkan pihak pengurusan Latar membenarkan pengguna membuat pusingan U," katanya.
Sementara itu, Noriah Kasbi, 45 pula berkata, pemasangan penghadang batu yang pada asalnya bertujuan memudahkan pemandu menjadi sebaliknya.
Katanya, tindakan pemandu kenderaan membuat pusingan U di situ mengundang bahaya kepada pengguna lain.
Sebelum ini, pemandu akan memasuki persimpangan rehat dan rawat (R&R) Kundang terlebih dahulu sebelum membuat pusingan ke susur masuk ke Kundang, tetapi setelah separuh jalan ditutup telah menyukarkan kenderaan membuat pusingan.
Keadaan ini menyebabkan kami perlu lebih berhati-hati kerana perlu melihat kenderaan dari arah susur masuk selain memberi laluan kepada pengguna lebuh raya yang lain," katanya.
Dia turut mencadangkan agar pihak pengurusan Latar mengkaji semula larangan atas faktor darurat dan jika perlu memasang kon di pembahagi jalan atau mengawal lalu lintas pada waktu puncak.
Warna-warni Politik
Torashah
Isnin, 12 Ogos 2013
PM Norway menyamar jadi pemandu teksi untuk dengar keluhan rakyat! Menteri Pengangkutan Malaysia bagaimana?
Seorang penumpang terkejut selepas menyedari Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg menyamar sebagai pemandu teksi di Oslo. Stoltenberg yang lengkap memakai uniform termasuk lencana sebagai pemandu, menjadikan cara itu sebagai salah satu kaedah untuk mengetahui isi hati pengundi.
OSLO: Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg hari ini mendedahkan beliau menyamar sebagai pemandu teksi pada satu petang untuk mengetahui isi hati pengundi.
“Ia penting untuk saya untuk mendengar apa yang rakyat perlukan. Jika ada tempat di mana orang ramai berbual apa yang mereka fikirkan (tentang kerajaan), ia adalah di dalam teksi," katanya dalam klip video yang dimuat naik dalam laman Facebook, Twitter and YouTube.
Video berkenaan dipaparkan ketika kemuncak kempen pilihan raya umum pada 9 September ini di mana parti gabungan diketuai Stoltenberg dilihat akan kalah, demikian menurut tinjauan pendapat yang terbaru.
Stoltenberg memakai unifom teksi Oslo - termasuk dengan lencana - pada satu petang dalam bulan Jun.
Beliau mengambil penumpang di dalam teksi Mercedes hitam di ibu negara Norway.
Satu kamera tersembunyi dipasang di dalam teksi yang merakamkan reaksi penumpang, termasuk seorang yang berkata:
“Dari sudut ini, dia mirip Perdana Menteri."
Seorang perempuan tua juga mengenali Stoltenberg dan memintanya berbuat sesuatu terhadap 'gaji ketua' yang mendakwa mereka tidak sepatutnya menikmati gaji berjuta dengan jawatan itu.
Meskipun tidak mendedahkan siapa dirinya, Stoltenberg pada satu masa mengaku kepada seorang penumpang yang mengetahui siapa dirinya bahawa dia tidak memandu sejak lapan tahun lalu.
Ditanya oleh akhbar tabloid Verdens Gang jika beliau akan menjadi pemandu teksi sekiranya kalah dalam pilihan raya nanti, Stoltenberg berkata:
“Saya dikir negara ini dan penumpang teksi Norway akan menikmati kehidupan lebih baik sekiranya saya terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan bukannya sebagai pemandu teksi."
Menurut tabloid itu, semua penumpang yang menaiki teksi Stoltenberg pada hari itu tidak perlu membayar tambang untuk perjalanan mereka. - AFP
Warna-warni politik
Belantan
Langgan:
Catatan (Atom)
Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor








