Rabu, 22 Jun 2011

Khir pinjam RM3 juta!

Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pinjaman sebanyak RM3 juta diluluskan untuk bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo membeli dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini pada Mei 2007.

Bekas Pengurus Pusat Pelanggan Premier Bank HSBC Cawangan Petaling Jaya, Chuah Yew Tan berkata, jumlah itu diluluskan selepas hartanah tersebut ditaksirkan bernilai RM3.5 juta oleh seorang penilai hartanah daripada Rahim & Co.

“Selepas mendapat nilai hartanah tersebut, saya memproses permohonan pinjaman Mohamad Khir. Pinjaman sebanyak RM3 juta diluluskan pada bulan Mei 2007,’’ katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar.

Menurut saksi pendakwaan ke-14 itu, beliau menghubungi Mohamad Khir selepas Pengurus Kanan HSBC cawangan tersebut, Hamdan Ali memaklumkan bahawa bekas Menteri Besar Selangor yang merupakan pelanggan premier ingin membuat pinjaman bagi membeli hartanah bernilai antara RM3 juta dan RM3.5 juta.

Beliau kemudiannya menghubungi penilai hartanah, Choy Yue Kwong daripada Rahim & Co bagi menilai hartanah tersebut kerana pinjaman hanya akan diberikan sebanyak 90 peratus daripada nilai atau harga belian.

“Saya pergi melihat hartanah tersebut bersama seorang pegawai bank, Andriane Tan Hock Aun, penilai dan pemilik hartanah, Datuk Shamsuddin Hayroni. Saya nampak bangunan yang sedang diubah suai.

“Selepas mendapat surat taksiran nilai hartanah daripada Rahim & Co, saya hantar melalui faksimile surat itu kepada Mohamad Khir sebagaimana yang diminta oleh beliau,’’ jelasnya.

Pada prosiding hari ini, saksi turut menjelaskan bahawa pelanggan premier ialah mereka yang mempunyai simpanan tetap sebanyak RM200,000 di bank tersebut.

Sementara itu, bekas Setiausaha Kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Alias Abu Bakar pula mengesahkan bahawa Mohamad Khir mempengerusikan beberapa mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penswastaan sepanjang tahun 2007 dan 2008.

Beliau yang menghadiri mesyuarat-mesyuarat tersebut turut bertanggungjawab mencatat serta menyediakan minit mesyuarat yang kesemuanya dikemukakan kepada mahkamah sebagai bahan bukti hari ini.

Terdahulu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menasihatkan para petugas media agar lebih berhati-hati pada masa hadapan dengan memastikan laporan yang dibuat adalah benar dan tepat.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed memaklumkan terdapat laporan yang silap di sebuah laman web berhubung prosiding semalam.

Katanya, berita itu melaporkan Bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim mengaku bahawa tindakan memberi pengecualian kepada syarikat milik Shamsuddin, Roniaga Sdn. Bhd. daripada bon pelaksanaan adalah sesuatu yang jarang dilakukan selepas ditanya oleh Hakim Mohtarudin.

Sedangkan soalan tersebut tidak ditanya dan jawapan tersebut tidak diberikan oleh saksi itu.

Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 53.

Hartanah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang masuk hari kelapan hari ini bersambung esok.

Warna-warni politik
Torashah..

Selasa, 21 Jun 2011

PAS dan Pakatan Rakyat " buta info" akibat boikot media arus perdana!

Kerajaan tidak pernah memperuntukkan subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) sebaliknya 'Subsidi Gas' yang dimaksudkan sebelum ini merupakan jumlah hasil yang dilepaskan oleh pihak Petronas.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, hasil tersebut adalah selaras dengan keputusan kerajaan menetapkan harga gas kepada sektor penjanaan elektrik bagi mengekalkan kadar tarif elektrik yang rendah.

Beliau menjelaskan, sekiranya tenaga elektrik dihasilkan berdasarkan harga gas pasaran pastinya kos penjanaan elektrik akan meningkat dan seterusnya berlaku kenaikan kadar tarif elektrik.

''Oleh kerana kos bahan api adalah komponen yang melalui terus kepada pengguna, penetapan harga gas yang dibuat oleh kerajaan adalah bertujuan mengekalkan kadar tarif pengguna yang rendah.

''Sukacita saya tegaskan bahawa keputusan kerajaan dalam penetapan harga gas kepada sektor elektrik tidak menghasilkan sebarang pendapatan tambahan kepada pihak IPP," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pengurangan subsidi bahan bakar kepada IPP dan ke mana serta bagaimana wang itu dapat dijimatkan daripada pemotongan subsidi tersebut.

Fah Kui menjelaskan, jumlah pendapatan yang dilepaskan oleh Petronas berdasarkan perbezaan harga gas di pasaran serta harga jualan gas kepada sektor penjanaan elektrik bagi tempoh 2005 hingga 2010 adalah berjumlah RM68.609 bilion.

Beliau menjelaskan, pecahan jumlah hasil yang dilepaskan bagi setiap tahun ialah seperti rajah diatas. Beliau memberitahu, pada tahun 2008 kerajaan telah memutuskan untuk menyemak semula harga gas bagi sektor elektrik di Semenanjung sehingga ia mencapai harga pasaran.

Katanya, langkah itu berikutan berlakunya kenaikan harga minyak secara mendadak di pasaran antarabangsa.

''Dalam usaha memastikan tidak berlaku ketirisan dalam penetapan harga gas di pasaran, kita telah melakukan semakan setiap enam bulan iaitu bermula pada Jun 2011 yang mana ia selaras dengan usaha kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat.

''Kenaikan secara berperingkat itu akan memberi kepastian kepada sektor swasta dalam merangka perbelanjaan operasi syarikat dan menggalakkan penggunaan sumber tenaga secara lebih cekap," jelas beliau.

Beliau berkata, dengan mengambil langkah menyemak semula itu, sumbangan Petronas kepada kerajaan dalam bentuk cukai dan dividen akan ditingkatkan bagi membiayai lebih banyak projek pembangunan infrastruktur.

Nasihat kepada Pakatan Rakyat, sebelum nak menghentam sesiapa siasat dahulu cerita yang sebanar. Sampai bila nak memfitnah sahaja!!!

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 20 Jun 2011

Ambiga kata NO WAY : Perhimpunan Diteruskan Walau Anwar Nak Batal!

Perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini akan tetap diteruskan meskipun Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa perhimpunan tersebut membatalkan rancangan mereka itu.

Pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreevenasan berkata, Anwar tidak berhak meminta NGO itu membatalkan hasrat mereka untuk berhimpun memandangkan beliau bukan sebahagian dari jawatankuasa perhimpunan tersebut.

“Anwar tidak berhak untuk membuat sebarang keputusan untuk membatalkan perhimpunan Bersih 2.0.

“Bersih 2.0 akan tetap diteruskan setelah mengambil kira mengenai ketidaktelusan pilihan raya DUN Sarawak yang lalu, dan jawatankuasa ini memutuskan untuk tetap mengadakan perhimpunan untuk memperjuangkan lapan tuntutan kami,” katanya pada majlis pelancaran Perhimpunan Bersih 2.0, di sini malam tadi.

Anwar dalam kenyataannya kepada media semalam, bersedia meminta Ambiga membatalkan Perhimpunan Bersih 2.0 sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, memberi jaminan perjalanan pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang adil dan bebas.

Menurut Ambiga, Perhimpunan Bersih 2.0 adalah bebas dari sebarang campur tangan politik dari mana-mana pihak dan ia diadakan semata-mata demi memperjuangkan hak rakyat.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri oleh beberapa tokoh politik Pakatan Rakyat seperti Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok, ADUN Batu Burok, Syed Azman Syed Nawawi, wakil SAPP, David Lau, dan wakil Parti Rakyat Malaysia (PRM), Rohana Ariffin.

Majlis yang dihadiri oleh sekitar 700 penyokong Bersih 2.0 yang mewakili pelbagai NGO dari seluruh negara menyatakan komitmen mereka untuk sama-sama turun padang berdemonstrasi di jalanan menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum Bersih 2.0 kepada DYMM Yang DiPertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Warna-warni Politik
Torashah

Jumaat, 17 Jun 2011

Utusan tidak hina hukum Islam!

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menegaskan, karikatur bertajuk Kekeliruan Kes Rogol tidak menghina Islam sebaliknya, mahu menyindir pihak yang terlalu obses serta takut untuk menghukum pemimpin politik yang melakukan zina.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, sindiran tersebut wajar dibuat kerana terdapat golongan yang mendakwa diri mereka sebagai ulama, sanggup membela dan menutup sebelah mata mengenai kesalahan zina, meskipun segala bukti jelas mendedahkan aksi jijik tersebut.

“Perkasa bukan mahu membela Utusan Malaysia sebaliknya, kami menyokong tindakan tersebut kerana ia bertujuan menyedarkan rakyat. Kenapa karikatur ini yang dipersoalkan, kenapa tidak bertindak terhadap pemimpin pembangkang yang melakukan seks,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pihak pembangkang terutamanya Pemuda Pas yang menuduh karikatur tersebut yang disiarkan Utusan, sebagai menghina hukum Islam.

Syed Hassan berkata, Pas tidak sepatutnya menyalahkan Utusan kerana karikatur itu cuma medium untuk menyatakan kepada pihak pembangkang, bahawa rakyat Malaysia tidak bersetuju dengan ‘pengampunan’ begitu sahaja oleh pemimpin parti itu terhadap pelaku zina dan liwat.

Sementara itu, blog, http://ruangbicarafaisal.blogspot.com juga mempertahankan karikatur itu sebagai tidak menghina hukum Islam kerana ia hanya bertujuan menjelaskan kekeliruan berhubung kejadian rogol dan zina antara penghulu dengan polis.

Sementara itu : Bantah karikatur tindakan pihak tak faham Islam

Pihak yang membantah karikatur bertajuk Kekeliruan Kes Rogol disiarkan dalam Utusan Malaysia semalam tidak memahami undang-undang Islam serta menafikan kewujudan sains dan teknologi dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihak yang mengecam Utusan Malaysia kerana menyiarkan karikatur itu adalah mereka yang berfikiran sempit mengenai Islam.

“Persatuan Ulama Malaysia (PUM) sepatutnya berfikiran lebih luas dan jangan cuba menghina Islam dengan menafikan penggunaan video sebagai bahan bukti dalam undang-undang Islam.

“Karikatur itu bukan menghina Islam sebaliknya cuba menyampaikan bahawa video boleh digunakan sebagai bukti dalam undang-undang Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan PUM mengecam karikatur yang disiarkan dalam Utusan Malaysia sambil menyifatkan ia menghina agama Islam.

Yang Dipertuanya, Datuk Sheikh Abdul Halim Abd. Kadir berkata, penyiaran karikatur itu yang menggambarkan mangsa rogol membuat laporan kepada pihak dalam dua situasi berbeza secara jelas menghina golongan ulama dan Islam.

Jamil Khir berkata, pihak yang membantah karikatur itu adalah perbuatan mereka yang tidak memahami undang-undang Islam.

Warna-warni politik
Torashah

Isnin, 6 Jun 2011

Abdul Hadi tersepit, terikut pemimpin bukan ulama!

Keputusan Pas untuk kekal dalam pakatan pembangkang adalah disebabkan mereka tiada pilihan lain kerana terperangkap dengan perpecahan yang berlaku dalam parti. Keputusan tersebut diambil kerana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat tidak berwibawa, malah terikut-ikut dengan rentak sebahagian pemimpin bukan ulama.

Jika diamati pandangan serta tindak-tanduk beliau, Pas sudah jauh daripada perjuangan asal, sebaliknya parti yang dikatakan memperjuangkan Islam itu kini lebih mementingkan soal politik, ghairah dan kemaruk mendapatkan kuasa! Mungkin disebabkan oleh itu Abdul Hadi yang menolak kerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Jika kita masih mengingati semasa zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, UMNO pernah meminta Pas supaya bersama-sama mempertahankan beberapa perkara dalam Perlembagaan negara, tapi parti itu tidak mahu berbuat demikian.

Jadi dapat dibuat kesimpulan bahawa Pas lebih pentingkan soal politik dan ghairah untuk menjadi pemimpin mengatasi segalanya dan tidak menghairankan jika Abdul Hadi bertindak demikian.

Ditambah pula dengan kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas dengan 420 undi, dijangkakan wujud pergolakan yang cukup kuat dalam Pas kerana mereka yang berkelulusan agama tidak menjawat jawatan penting dalam parti kecuali Abdul Hadi .

Golongan yang berkelulusan agama tentu berasa kedudukan mereka tidak penting dalam parti. Jika ditakdirkan berlaku sesuatu terhadap Presiden Pas, maka tradisinya Pemangku Presiden Pas akan disandang oleh Mohamad dan kumpulan erdogan didalam Pas akan tersenyum panjang! Wallahuallam.

Warna-warni politik
Torashah..

Khamis, 2 Jun 2011

Berlindung di sebalik Qazaf!

Sudah lebih satu dekad, iaitu sejak tahun 1998, Anwar Ibrahim, dengan pelbagai episod kontroversial yang melibatkan dirinya, telah menjadi tokoh yang paling mempengaruhi situasi politik tanah air.

Oleh kerana pada ketika bermulanya Saga Anwar, dengan pemecatannya pada September 1998, beliau merupakan seorang tokoh besar dalam negara maka pelbagai episod yang melibatkan beliau begitu menarik minat dan menangkap imaginasi masyarakat.

Boleh dikatakan beliau adalah tokoh yang paling disanjungi oleh sebahagian daripada kita dan paling dibenci pula oleh sebahagian yang lain. Malah, sanjungan atau kebencian terhadap pelbagai tokoh, pertubuhan dan institusi yang lain dalam negara ini turut banyak dipengaruhi oleh persepsi kita terhadap peranan mereka dalam Saga Anwar ini.

Akhirnya Saga yang cukup panjang dan dramatik ini nampaknya makin menghampiri babak penutupnya. Terutamanya dengan kemunculan dua episod terakhir yang sangat besar kesannya iaitu, episod kes tuduhan liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan serta episod video seks yang didedahkan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Jikalau terbukti Anwar benar-benar bersalah dalam kedua-dua episod ini atau salah satu daripadanya maka sudah pasti Anwar sudah tiada kredibiliti lagi untuk memimpin, hatta keluarganya sendiri sekalipun.

Kita katakan ini kerana, jika Anwar terbukti bersalah dalam dua episod terbaru ini, maka berkemungkinan besar bahawa semua atau sekurang-kurangnya sebahagian besar dakwaan-dakwaan terhadap Anwar selama ini, sama ada isu moral mahupun bukan moral, juga adalah benar.

Jika dihimbau kembali segala dakwaan dan ‘dalil’ yang timbul sebelum-sebelum ini, hakikatnya ia menampilkan Anwar sebagai individu yang cukup bermasalah dan berpenyakit. Tidak patut lagi mana-mana pihak mempunyai prinsip menyokong Anwar kecuali mereka yang terdesak dan atau mempunyai agenda sampingan lalu mahu mempergunakan beliau untuk mencapai matlamat lain.

Sebaliknya, jika terbukti bahawa Anwar bersih dan tidak bersalah, maka memang wajarlah beliau mendapat simpati kita semua dan memang sangat zalimlah mereka yang mereka-reka tuduhan palsu terhadap beliau. Kredibiliti moral mereka ini juga akan runtuh daripada melayakkan untuk diangkat atau kekal sebagai pemimpin.

Jadi hakikat sebenar dalam dua episod terakhir Anwar Ibrahim ini sangat kritikal dan besar implikasinya. Soalnya, siapakah dan neraca manakah yang paling tepat untuk membuktikan dan menentukan apa yang sebenarnya berlaku.

Sebagai seorang Muslim yang beriman dengan kemampuan Islam untuk merungkaikan segala persoalan dan sebagai seorang yang punya sedikit latar belakang agama, saya yakin ajaran Islamlah satu-satunya formula penentu yang paling adil kepada kemelut ini.

Cuma dalam Saga Anwar, soal formula Islam dan neraca syariat sering turut menjadi kelabu dan keliru. Ini adalah kerana kes ini melibatkan Anwar. Tokoh yang menampilkan imej agama dan mempunyai latar belakang gerakan Islam.

Faktor ini menjadi punca kegagalan sebahagian masyarakat Islam termasuklah sebahagian ahli-ahli agama untuk bersikap objektif dan neutral apabila menanggapi kes. Apatah lagi bila faktor-faktor lain seperti kepentingan politik atau kebencian melampau terhadap UMNO/BN turut kuat mewarnai sikap mereka.

Akhirnya hujah agama, terutamanya hukum Qazaf, sering dijadikan asas untuk cuba mengelakkan Anwar daripada dibicarakan dan diadili dalam kedua-dua kes ini.

Dalam episod Anwar lawan Saiful Bukhari, hukum Qazaf sering cuba digunakan untuk membenteng Anwar daripada mempertahankan diri dan menjawab dakwaan Saiful. Sedangkan, adalah sangat jelas bahawa fakta kes menunjukkan bahawa ini bukanlah kes tuduhan zina atau liwat biasa tetapi lebih menyerupai kes rogol atau yang lebih tepat sumbang mahram atau gangguan seksual antara majikan dan pekerja.

Perbezaan utama antara kedua-dua kategori ini adalah wujudnya unsur paksaan sama ada secara fizikal atau secara tidak langsung di sebalik perlakuan yang terbabit. Saiful membuat aduan kerana mendakwa tidak rela dan tidak mahu lagi diperlakukan sebegitu.

Beliau juga mendakwa kejadian yang telah berlaku sebelumnya bukanlah dengan sepenuh kerelaan beliau walaupun akhirnya pendakwa memilih untuk mendakwa Anwar di bawah seksyen yang tidak melibatkan paksaan, mungkin untuk memudahkan pendakwaan dan pensabitan kesalahan.

Dalam situasi sebegini, hukum syarak menuntut agar kes Saiful didengari dan diadili dan bukannya ditolak mentah-mentah kerana kegagalan beliau mendatangkan empat orang saksi yang melihat sendiri kejadian tersebut. Memang dalam kes rogol, sumbang mahram ataupun gangguan seks tempat kerja, hampir mustahil untuk si mangsa mendatangkan empat saksi lelaki yang adil.

Oleh itu, syarak menetapkan bahawa beban bukti dalam kes rogol atau sumbang mahram adalah berbeza. Segala bentuk bukti yang boleh diterima oleh syarak selain daripada saksi mata boleh diterima pakai dalam kes ini termasuklah DNA, rakaman CCTV dan seumpamanya.

Hakikatnya kesalahan yang hendak dibuktikan dalam kes Saiful lawan Anwar adalah bukannya hudud zina atau liwat tetapi liwat yang berbentuk rogol, sumbang mahram ataupun gangguan seksual tempat kerja.

Saya yakin mana-mana tokoh ulama sekalipun, termasuklah Syeikh Yusuf al-Qaradhawi atau Syeikh Wahbah al-Zuhaili, akan memberi pandangan yang sama jika fakta kes yang sebenar dijelaskan dengan tepat kepada mereka.

Selain daripada unsur paksaan, Qazaf juga melibatkan tuduhan daripada pihak ketiga. Kes Saiful adalah melibatkan pihak yang mendakwa menjadi mangsa dan bukannya pihak ketiga. Jelas sekali perbezaan fakta kes berbanding dengan kes Qazaf iaitu tuduhan zina daripada pihak ketiga tanpa asas dan bukti seperti dalam kes asalnya melibatkan Sayyidatina ‘Aishah ra. Maka tidak salahlah jika dikatakan bahawa sikap berkeras membenteng Anwar atas nama Qazaf adalah suatu kedegilan dalam kekeliruan terhadap hukum syarak.

Dalam episod terbaru melibatkan video seks yang dikatakan melibatkan Anwar, adalah tidak benar jika pihak yang mendedahkan perkara tersebut hendak dipersalahkan dari segi hukum syarak. Kalau nak dikatakan sebagai salah kerana mendedahkan aib sesama Islam, kita semua maklum bahawa larangan membuka aib dalam Islam ada beberapa pengecualiannya.

Kita dibolehkan mendedahkan aib demi memberi amaran tentang kejahatan yang boleh menimpa orang lain dan dalam kes menilai kesesuaian peribadi seseorang untuk diangkat sebagai pemimpin.

Jika hendak dikatakan Qazaf pula, adakah Eskay Shazril seorang penuduh yang datang dengan tangan kosong? Jelasnya beliau datang sebagai pihak yang mendakwa sebagai pihak yang turut terlibat, malah turut ada dalam rakaman video tersebut. Beliau juga datang dengan membawa rakaman video tersebut serta bukti-bukti sokongan yang lain seperti jam Omega yang kuat diperkatakan itu.

Bolehkah kita terus menghukumnya sebagai pelaku Qazaf? Bukankah Qazaf juga sebahagian dari kesalahan Hudud? Kita maklum bahawa Nabi Muhammad SAW dalam satu hadis mengarahkan kita untuk mengelakkan pensabitan Hudud jika terdapat apa-apa syubhah atau kesamaran?

Tidak cukupkah apa yang dibawa oleh Eskay untuk menimbulkan syubhah atas dakwaan bahawa beliau membuat tuduhan zina yang palsu atau tanpa asas terhadap Anwar? Kita juga sangat faham bahawa bukti video tidak mencukupi untuk mensabit kesalahan Hudud Zina, tetapi ia tetap boleh diterima oleh syarak untuk membuktikan kesalahan takzir atau membuktikan kesahihan sesuatu fakta.

Dalam kes Anwar, kita bukannya hendak menghukum beliau dengan Hudud Zina tetapi yang terpenting adalah hendak memastikan adakah beliau orang yang terakam dalam video tersebut, yang akan menentukan tahap keperibadian beliau.

Jika diteliti perspektif di atas dengan insaf, maka jelaslah bahawa Anwar tidak boleh terus-terusan mempergunakan Islam dan hukum Qazaf untuk mengelakkan daripada menghadapi proses kehakiman dalam kedua-dua episod ini.

Beliau dan penyokongnya perlu akur kepada prinsip hukum Islam bahawa beliau perlu membersihkan dirinya daripada dakwaan bahawa beliau telah meliwat Saiful Bukhari serta dakwaan bahawa beliau adalah pelaku dalam video seks terbabit.

Sementara proses ini berlangsung dan belum selesai, kaedah yang terbaik dan amalan yang lebih terhormat ialah dengan meminta Anwar bercuti daripada semua tugas rasminya sehinggalah namanya dibersihkan (jika beliau benar-benar bersih). Bukannya dengan beliau ataupun para penyokongnya yang taksub terus-menerus cuba berselindung di sebalik hukum Qazaf atau atas nama agama.

Oleh : Zulkifli Noordin

Warna-warni politik
Torashah..

Rabu, 1 Jun 2011

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Melayu Pertama Keluar Parti, Sertai UMNO!

“Kalau bukan kita yang nak tolong bangsa kita sendiri, siapa yang akan datang menghulur bantuan. Kami juga ibarat `melukut di tepi gantang’ bila bersama-sama DAP walaupun pada awal penubuhan DAP Cawangan Lembah Kinrara, Puchong dua tahun yang lepas, kami ini diibaratkan sebagai `anak emas’, apa sahaja yang permintaan kami, kononnya akan ditunaikan oleh DAP khususnya ADUN Kinrara yang kini merupakan Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok,” ujar bekas Pengerusi DAP Lembah Kinrara, Harun Abdul Wahab, 58.

Sehubungan itu, Harun bersama kumpulan pertama terdiri daripada 64 orang bekas ahli DAP Lembah Kinrara, Cawangan DAP Melayu di Selangor menyerahkan borang permohonan menyertai UMNO kepada Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan petang tadi.

“Kesedaran yang timbul dalam diri kamilah yang menyebabkan kami rasa bertanggungjawab untuk kembali bersama perjuangan UMNO, kerana kami juga satu ketika dulu merupakan ahli UMNO, namun kerana kesilapan yang kecil ketika itu, kami membawa perpecahan kepada UMNO di kawasan kami.

Kami sedar, dan kami bersepakat untuk keluar DAP. UMNO tu bukan tak elok, yang tak elok itu adalah diri kita sendiri. Kita yang tak sokong dengan elok, yang akhirnya orang pandang serong dan buruk pada UMNO atas kesilapan yang kita sebagai ahli sendiri yang buat,” ujarnya selepas menyerahkan 64 borang permohonan kepada Datuk Ahmad Maslan, petang tadi.

PKR memang wujud di kawasan Lembah Kinrara, namun keputusan meninggalkan UMNO dan menubuhkan cawangan DAP Melayu yang pertama dibuat pada tahun 2009 kerana beliau tidak yakin dan percaya kepada perjuangan PKR di kawasan tersebut, manakala PAS memang tidak ada di kawasan tersebut.

”Ketika itu, kita memang tengok DAP pada zahir sahajalah. Cara mereka memikat kita ketika itu memang eloklah. Kalau ada apa-apa yang kita cakap pun ketika itu, dia dengar. Tapi sekarang ini, kalau kita nak minta bantuan pun, lepas tapis, tapis.

Sekarang ini bila mereka dah menang lama, dah semakin kuat, kita pun dia dah tak pandang lagi. Sehubungan dengan itu, buat umat Melayu yang masih bersama DAP ini, agar berfikirlah kembali asas perjuangan kita, agar kita tidak mengkhianati anak bangsa kita di masa depan atas kesilapan yang kita lakukan pada hari ini,” ujarnya. – MediaUMNO

Warna-warni politik
Torashah..

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor