Rabu, 16 Mac 2011

Anwar tak layak desak rakyat hentikan demonstrasi!



















Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menganggap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk mendesak mahkamah mengambil tindakan terhadap rakyat yang berhimpun secara aman di seluruh negara bagi mendesaknya menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).

Pengerusinya, Hamidzun Khairuddin berkata, sebelum ini Anwar adalah individu yang paling lantang kononnya memperjuangkan hak kebebasan bersuara untuk rakyat di negara ini.

"Bukankah budaya demonstrasi ini diamalkan oleh Anwar sejak beliau menuntut di Universiti Malaya (UM) lagi?" katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan peguam Anwar, Karpal Singh yang memohon kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang mengendalikan perbicaraan liwatnya dengan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan supaya mereka yang terlibat dalam demonstrasi berkaitan DNA dikenakan tindakan menghina mahkamah.

Anwar juga memohon supaya dua media tempatan iaitu akhbar New Straits Times (NST) dan Utusan Malaysia dikenakan tindakan mahkamah kerana menyiarkan laporan tentang demonstrasi itu.

Sementara itu, Hamidzun berkata, sikap berat sebelah yang ditunjukkan Anwar itu membuktikan yang beliau telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Ketua Pembangkang di negara ini.

"Apabila terkena batang hidungnya sendiri, beliau dengan angkuhnya memarahi rakyat yang bangkit menentangnya," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah Hamidzun, GAPS bersedia untuk menganjurkan demonstrasi berskala besar untuk terus mendesak Anwar supaya beliau tunduk kepada proses perundangan negara.

Warna-warni politik
Torashah..

Isnin, 14 Mac 2011

Memoir Dr. Mahathir amanat bangsa!

Satu hari pada tahun 1971, Tun Dr. Siti Hasmah Ali yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan wanita pertama di Kedah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya ketika memandu menuju hospital Arau, Perlis.

Seorang penunggang motosikal melintas di depan beliau dan ketika mengelaknya, Dr. Siti Hasmah Mohd terbabas melanggar sebatang tiang telefon sebelum keretanya terbabas masuk ke sawah padi.

Maka beliau dalam keadaan antara sedar dengan tidak sebelum berupaya melambai kepada orang kampung yang sedang lalu di situ untuk membantunya.

Sekumpulan orang kampung ketika sedang mengangkat sebuah rumah untuk dipindahkan ke tempat lain, suatu amalan biasa di kampung ketika itu.

Perkara pertama yang Dr. Siti Hasmah lakukan ialah bertanyakan sama ada penunggang motosikal itu selamat. Tetapi dia telah pun meninggalkan tempat itu.

Orang kampung berjaya mengeluarkan beliau daripada kereta yang remuk itu dan membawa ke hospital Kangar dengan menggunakan sebuah teksi.

Sesampai di situ, Dr. Siti Hasmah cuba menelefon Tun Dr. Mahathir Mohamad di kliniknya iaitu Klinik Maha di Alor Star, Kedah. Tetapi talian telefon itu didapati terputus.

Maka pemandu teksi yang membawanya ke hospital itu cukup baik hati untuk pergi ke Alor Star untuk memberitahu Dr. Mahathir yang kemudian bergegas ke Kangar.

Mengapa talian telefon itu putus? Sebabnya ialah tiang telefon yang menanggung wayar untuk talian dari Alor Star ke Kangar telah tumbang kerana dilanggar kereta yang dipandu oleh Dr. Siti Hasmah itu.

Mungkin sebahagian kalau tidak pun seluruh Perlis terputus hubungan akibat ketiadaan satu tiang telefon itu.

Perkara ini mungkin sukar untuk digambarkan oleh generasi muda hari ini yang mempunyai telefon bimbit dan boleh menghubungi sesiapa di dunia

Kisah ini adalah antara apa yang diceritakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memoirnya, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad yang diterbitkan Selasa lalu.

Tahun-tahun 70-an itu jauh bezanya berbanding tahun 2000 ini. Tetapi itulah kehidupan penduduk Malaysia pada zaman itu. Negara ini, walaupun ketika itu sudah merdeka tetapi ia belum membangun lagi.

Pada masa itu Dr. Mahathir terpinggir daripada gelanggang politik. Beliau dipecat daripada UMNO pimpinan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1969. Tahun di mana beliau kalah mempertahankan kerusi Parlimen yang dipegangnya selama sepenggal sejak 1964.

Tetapi dalam keadaan dipinggir itulah beliau telah melakukan pemikiran mendalam mengenai politik, khususnya mengenai haluan bangsa dan negara.

Daripadanyalah lahir apa yang disebutnya sebagai falsafah politiknya. Iaitu cara mana hendak memajukan orang Melayu dengan pelbagai halangan di kelilingnya.

Sebagai seorang yang terpinggir daripada politik, maka sukar Dr. Mahathir untuk menyuarakan pandangannya. Tidak ada akhbar di negara ini yang mahu menyiarkan pandangannya.

Maka cara terbaik untuk mengutarakan falsafah politiknya ialah dengan menulis sebuah buku. Maka hasilnya ialah The Malay Dilemma.

Tetapi dalam bentuk buku pun, tidak ada siapa di negara ini yang sanggup menerbitkannya. Maka akhirnya sebuah penerbit Singapura , Donald Moore menerbitkannya.

Sebaik saja diterbitkan, kerajaan pimpinan Tunku terus mengharamkannya. Namun begitu banyak orang pergi ke Singapura dan membeli serta membacanya..

Kini The Malay Dilemma yang sudah pun diterjemahkan menjadi Dilema Melayu bebas dijual dan dibaca oleh sesiapa di negara ini.

The Malay Dilemma ini adalah tulisan yang merupakan suatu pegangan politik, kalau tidak pun satu teori mengenai masalah bangsa Melayu dan negara Malaysia, serta cara bagi mengatasinya.

Kisah mengenai The Malay Dilemma ini telah dikhususkan dalam bab 18 memoir ini.

Amalan

Dari segi amalannya secara praktikal pula terkandung dalam dasar-dasar dan tindakan-tindakan politik yang dilakukan oleh Dr. Mahathir apabila beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003.

Maka kalau The Malay Dilemma itu adalah teks pemikirannya, maka pentadbirannya sepanjang 22 tahun itu adalah konteks di mana beliau berusaha melaksanakannya.

Tentunya sepanjang 22 tahun itu, beliau menilai semula apa yang dihujahkan dalam The Malay Dilemma.

Sebahagian daripada apa yang dicita-citakannya tercapai, dan sebahagiannya pula gagal. Tetapi secara keseluruhan, pentadbirannya adalah suatu kejayaan yang membolehkan beliau diletakkan sebagai Perdana Menteri Malaysia paling berjaya sehingga ini.

Secara umum, apa yang di nilainya itu terkandung dalam A Doctor in the House ini.

Memoir setebal 843 muka surat yang disiapkan dalam masa lapan tahun sejak beliau bersara ini merupakan suatu karya warisan kepada generasi akan datang. Ia bukan memoir atau autobiografi yang hanya menceritakan pengalaman hidup. Tetapi lebih penting lagi ialah hasil fikirannya mengenai politik atau pesanannya kepada generasi akan datang mengenai bangsa dan negara.

Seingat penulis, setiap kali bertemu beliau selepas persaraan untuk wawancara atau berdialog, Dr. Mahathir akan ditanya bila memoirnya akan siap.

Maka setiap kali ditanya, beliau akan menunjukkan manuskrip yang berada di depannya dengan penuh tanda-tanda suntingan.

“Ini sedang buatlah,” katanya dengan senyumannya yang terkenal itu.

Bagi mereka yang hanya mencari kisah menarik yang eksklusif dan sensasi semata-mata daripada buku ini mungkin akan berasa kecewa. Ini kerana buku ini sarat dengan sejarah dan hujah politik yang menuntut kemampuan intelektual.

Namun begitu, memoir ini adalah bacaan wajib bagi semua rakyat Malaysia yang menganggap diri mereka berpendidikan.

Memoir ini mengandungi tiga bahagian pemikiran politiknya. Pertama, pembentukan fahaman politik melalui pengalamannya semasa kecil melalui zaman penjajahan, British dan Jepun hinggalah kepada beliau dipecat daripada UMNO yang kemudian melahirkan The Malay Dilemma.

Kedua, pelaksanaan fahaman dan strategi politiknya bermula dengan penerimaan masuk semulanya ke dalam UMNO hinggalah beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Peringkat inilah terkandung tentang bagaimana beliau berusaha melaksanakan fahaman politiknya yang tertera dalam The Malay Dilemma , serta penilaian terhadap usahanya.

Tentulah bahagian ini terbahagi dua iaitu semasa beliau belum menjadi Perdana Menteri, dan ketika menyandang jawatan itu

Ketiga adalah bahagian paling pendek iaitu satu bab, terakhir. Tajuknya Legasi dan Dilema Baru. Ia mengisahkan apa yang difikir oleh Dr. Mahathir mengenai apa yang berlaku selepas menjadi Perdana Menteri, iaitu sepanjang pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Maka apa yang terkandung dalam bab ini boleh dikatakan sebagai amanatnya kepada generasi akan datang. Sama ada generasi akan datang mahu menerima amanat ini atau tidak, itu soal lain. Tetapi Dr. Mahathir telah memberikan pandangannya dengan segala hujah-hujahnya, walaupun tidak lengkap dan pembaca mungkin masih dahagakan lagi buah fikiran beliau.

Sememangnya memoir ini tentulah dirancang sebagai kisah hidup Dr. Mahathir daripada lahir hinggalah beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tetapi oleh kerana lapan tahun buku ini baru dapat diterbitkan selepas persaraannya, maka hendak tidak hendak, apa yang difikirkan mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas persaraannya wajar juga diambil kira.

Dokumentari

Kisah hidup beliau secara umumnya sudah banyak diketahui. Baik melalui media cetak, buku-buku yang ditulis orang atau filem-filem dokumentari. Begitu juga dengan pemikirannya, sama ada diulas oleh penyokongnya atau pengkritiknya sememangnya banyak telah tersebar.

Tetapi apa yang membuatkan keunggulan memoir ini adalah pemikirannya yang disuarakannya sendiri secara hampir keseluruhannya. Memoir ini bukan kisah peristiwa semata-semata tetapi ia menghujahkan suatu pemikiran. Ia adalah buku serius, bukan buku cerita.

Bagi mereka yang hidup bersama waktu dengan Dr. Mahathir, sama ada sebagai pegawai dan kakitangan yang bekerja untuknya, atau ahli-ahli parti yang mendokongnya, atau wartawan yang sentiasa mencatat mengenai beliau, kisah politik beliau hinggalah ke hari ini adalah cerita hidup bersama.

Malah kalau hendak dikira pun, seluruh rakyat Malaysia dewasa yang hidup di bawah pentadbirannya dari tahun 1981 hingga 2003 akan melihat memoir ini sebagai sebahagian daripada pengalaman mereka juga.

Tetapi bagi generasi kemudian, umpamanya yang berusia 40 tahun ke bawah, lebih-lebih lagi 30 tahun ke bawah, zaman pentadbiran Dr. Mahathir semakin menjauh dan mereka lama-lama akan kurang faham mengenai perjuangan beliau serta para penyokongnya.

Maka di sinilah memoir ini penting untuk ditatap oleh generasi akan datang. Ini kerana cabaran-cabaran terhadap bangsa dan negara pada masa akan datang memerlukan pemahaman terhadap mengapa pemimpin-pemimpin lalu membuat sesuatu keputusan atau dasar. Lebih-lebih lagi soal mengapa Dr. Mahathir melakukan sesuatu perkara.

Di akhir memoir ini sedikit sebanyak Dr. Mahathir ada menghuraikan mengenai mengapa beliau tidak setuju dengan penggantinya, Abdullah terhadap beberapa isu. Maka hujah dan penjelasan ini penting bagi generasi-generasi akan datang dalam mewarisi negara ini.

Tetapi bagi kedua-dua generasi, sama ada generasi muda atau yang sudah semakin berusia dan pernah hidup dalam pentadbiran Dr. Mahathir, bahagian pertama buku ini, iaitu kisah ketika beliau masa kecil hinggalah memasuki politik adalah paling penting. Lebih penting daripada bahagian-bahagian seterusnya.

Ini kerana pengalaman beliau semasa penjajahan British, Jepun dan Siam mencorak pemikiran politiknya yang kemudian terungkap dalam The Malay Dilemma dan cuba dilaksanakan semasa pemerintahannya, dengan akhirnya memoir ini menjadi penilaian terhadap dirinya sendiri. Justeru ia menjadi amanat, kalau tidak pun wasiat untuk masa depan.

Apakah yang boleh dipelajari daripada pengalaman semasa kecilnya?

Pertamanya wajar diakui bahawa beliau adalah seorang Melayu yang berjaya. daripada seorang biasa, bukan bangsawan, menjadi profesional. Berjaya dalam kerjaya dan keluarga.

Lebih penting lagi, beliau mempunyai prinsip dan menetapkan perjuangannya melalui kemampuan pemikirannya. Kemudian berjuang dalam politik hingga berjaya menjadi pemimpin utama negara. Berjaya pula memimpin negara hingga berlaku perubahan daripada hanya sebuah negara merdeka kepada negara hampir maju.

Masa kecilnya membentuk dirinya. Jika banyak lagi orang Melayu mencontohi cara hidup beliau, terutamanya generasi muda, besar kemungkinan bangsa Melayu turut berubah. Apabila bangsa Melayu berjaya maka negara Malaysia juga akan cemerlang.

Dalam hidupnya, kepentingan kejayaan dalam pendidikan adalah jelas. Formal dan tidak formal.

Tentunya tidak semua orang Melayu mampu menjadi seperti beliau. Tetapi kalau sebahagian besar orang Melayu boleh menjadi sepertinya, atau sebahagian daripada pencapaiannya, tentulah perubahan lebih baik pasti berlaku.

Zamannya tentu jauh berbeza dari hari ini. Tetapi banyak pengajaran dapat diperoleh daripada insan yang bertuah ini.

Oleh : Zin Mahmud

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 10 Mac 2011

Siapa tipu siapa! - Benarkah Karpal Sudah Faham Hudud!



Kenyataan Karpal Singh pada 10 Januari 2008, menyangkal kembali kenyataan Haji Hadi. "Kenyataan oleh Abdul Hadi berhubung perlaksanaan hukum hudud, kononnya DAP sudah jelas dan faham dengan apa yang sedang bermain difikiran Pas, sebenarnya tersimpang jauh daripada kebenaran.Pas tidak pernah menjelaskan isu berhubung perlaksanaan hukum hudud kepada DAP.

DAP sudah tentu ada masalah berhubung perlaksanaan hukum hudud dalam negara," kata Karpal Singh. Nampak benar PAS sebenarnya telah menipu DAP dan rakyat dengan menyatakan bahawa penjelasan hudud sudah diberikan kepada DAP. Mengapa PAS buat begitu? Lebih baik rasanya Karpal saman Haji Hadi kerana kenyataan tersebut.

Sehari sebelum itu, iaitu pada 9 Januari 2008, Haji Hadi Awang (Presiden PAS) memberikan kenyataan bahawa "Kita dah pernah buat seminar dan berbincang pasal benda ini (hudud dan qisas) kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat. Saya rasa tak perlu lagi saya nak jelaskan kepada DAP kerana saya rasa Karpal Singh (Pengerusi DAP) dah faham," . Haji Hadi menyatakan bahawa saya "rasa" Karpal sudah faham. Rasa sahaja?

Jika kita teliti, dua dua kenyataan ini, nampak benar Tuan Guru Haji Hadi telah berbohong kepada rakyat. Sewajarnya Haji Hadi dan pimpinan PAS perlu panggil Karpal Singh turun ke Kuala Terengganu dan meminta Karpal membuat pengakuan mahu terima negara Islam dan hudud di hadapan pemimpin-pemimpin PAS. Sanggupkah PAS buat begitu? Kalau tidak mengapa masih mahu lagi bersekongkol dengan DAP dalam Pakatan Rakyat?

Masih belum terlambat untuk orang PAS dengar pengakuan Karpal. Tidak perlu lagi Haji Hadi berbohong dan berdolak dalih lagi kepada rakyat tentang hudud. Dulu Haji Hadi sendiri akui bahawa hudud hanyalah 0.0001 peratus, tetapi mengapa sekarang PAS berjanji hendak buat kembali? Tidakkah ini hanya umpan untuk Kuala Terengganu semata-mata? Karpal sudah berani lawan Anwar dan Haji Hadi. Tertanya-tanya juga kita, siapakah sebenarnya Ketua Pakatan Rakyat? Anwar atau Karpal Singh? Anwar pun tidak berani tegur dan nasihatkan Karpal, oleh itu siapa yang lebih berkuasa?

Oleh : Angin Perubahan

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 8 Mac 2011

Tuanku Mizan pandang berat kecenderungan bangkit isu sensitif!


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah Seri Paduka Baginda memandang berat kecenderungan pihak-pihak tertentu membangkitkan isu sensitif dan berbaur perkauman serta mempolitikkan perkara yang tidak sepatutnya.

Menurut Seri Paduka Baginda, soal kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hak kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dipersoalkan bagi mengelak perpecahan.

"Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” titah baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini.

Tuanku Mizan bertitah walaupun Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun kesederhaan diamalkan dengan subur di negara ini yang membolehkan agama-agama lain diamalkan dengan aman damai serta hari-hari perayaan agama lain turut diiktiraf dengan dijadikan hari cuti umum.

Bagi menjamin keamanan di negara ini, Seri Paduka Baginda berharap badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan program dan aktiviti masing-masing, hendaklah mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.

Warna-warni politik
Torashah..

Ahad, 6 Mac 2011

Selamat mengundi buat rakyat di DUN Merlimau dan DUN Kerdau!


Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pengundi-pengundi di DUN Merlimau dan juga DUN Kerdau yang bakal keluar mengundi hari ini. Diharap semua dapat keluar mengundi disebelah pagi kerana diramalkan hujan lebat disebelah petang dikedua-dua DUN!

Terjemahkan sokongan anda dengan mengundi Barisan Nasional (BN) hari ini.

Terima kasih. InsyaAllah.

Warna-warni politik
Torashah

Biadap! - Kenyataan MB Selangor undang kritikan!

Kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyifatkan tindakan kerajaan negeri mendahului bidang kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pengumuman pelantikan Canselor Universiti Selangor (Unisel) sebagai perkara biasa, terus mengundang kritikan pelbagai pihak.

Antara yang berbuat demikian ialah Presiden Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita), Faridah A. Jabbar yang menganggap tindakan biadab itu sebagai sebahagian daripada budaya politik pembangkang untuk menafikan kewujudan institusi beraja di negara ini.

"Salah atau betul, biadab atau tidak, bukan satu dosa bagi mereka. Ia jelas bercanggah dengan kenyataan pihak pembangkang sebelum ini kononnya mereka tetap menghormati dan akan terus mempertahankan institusi beraja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 1 Mac lalu menitahkan semua pihak agar mematuhi peruntukan Perlembagaan Unisel yang menetapkan pemilihan dan pelantikan Canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda.

Titah baginda, Perlembagaan Unisel dengan nyata menjelaskan bahawa Canselor universiti itu ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik oleh baginda.

Abdul Khalid dalam sidang akhbar sehari selepas itu bagaimanapun mendakwa, tindakan mengumumkan pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel sebelum majlis penyerahan watikah pelantikan disempurnakan oleh Sultan Selangor merupakan perkara biasa dan satu bentuk ketelusan yang diamalkan kerajaan negeri.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr. Hassan Mad tidak menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang luar biasa kerana bukan kali pertama pembangkang bertindak membelakangkan institusi beraja negara.

"Isu pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor serta keberangkatan Permaisuri Agong yang tidak dipedulikan pada Festival Lagu-Lagu Islamik Antarabangsa pada 4 Julai tahun lalu menunjukkan seolah-olah tindakan seperti ini sudah menjadi perkara biasa.

"Sebagai ahli politik, Abdul Khalid sanggup memutarbelitkan apa sahaja bagi menampakkan tindakannya tetap betul dari segi undang-undang. Mungkin hanya tindakan tegas diambil pihak istana mampu menghentikan mereka daripada berbuat demikian," ujarnya.

Bagi Presiden Majlis Usahawan Malaysia (MUM), Datuk Suhaimi Yacob, tidak kira siapa pun yang diberi mandat mentadbir negeri, setiap keputusan yang dibuat haruslah dirujuk kepada sultan bagi mendapatkan perkenan kerana perkara itu memang sudah diamalkan sejak sekian lama.

"Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila perkara seperti ini terjadi. Kerajaan Selangor tampaknya sering menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat apabila membelakangkan sultan yang menjadi tonggak pemerintahan negeri,'' katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 1 Mac 2011

Keluarga Teoh tak hormati Agong!

Keluarga Teoh Beng Hock jelas tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong kerana memulaukan suruhanjaya yang menyiasat kematian beliau, kata seorang bekas Hakim Mahkamah Rayuan.

Datuk Shaik Daud Ismail hari ini berkata, semua pihak yang terlibat dengan Suruhanjaya Siasatan itu harus mengiktiraf dan menghormatinya kerana ia ditubuhkan dengan titah perintah Seri Paduka Baginda.

"Semua pihak ini harus memberi kepercayaan dan menunjukkan rasa hormat yang sewajarnya. Kita perlu ingat bahawa ia ditubuhkan oleh Yang di-Pertuan Agong, ia bukannya ditubuhkan oleh Perdana Menteri.

"Memanglah, Perdana Menteri boleh mencadangkan si polan dan si polan dilantik tetapi Yang di-Pertuan Agong boleh menolaknya jika Seri Paduka Baginda mahukan orang lain," katanya kepada Bernama berhubung isu mengenai tindakan keluarga Beng Hock menarik diri daripada siasatan oleh suruhanjaya itu.

Adik perempuan dan abang Beng Hock serta ibu bapa mereka bersama dua peguam keluarga itu bertindak keluar daripada prosiding suruhanjaya itu pada 16 Februari lepas kerana dua permohonan mereka supaya ia ditangguhkan telah ditolak.

Beng Hock , 30, pembantu khas kepada seorang anggota Exco kerajaan negeri, ditemui mati di Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009 selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor yang berpejabat di bangunan itu.

Shaik Daud, yang bersara pada 2001, ketika ditanya sama ada mereka yang tidak menghormati suruhanjaya itu, juga tidak menghormati raja, berkata: "Ya, kita harus menghormati suruhanjaya ini kerana ia dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Biarlah ia jalankan tugasnya." Katanya beliau tidak faham kenapa keluarga Beng Hock mengambil tindakan memboikot itu sedangkan merekalah yang bersungguh-sungguh meminta dan mendesak supaya suruhanjaya itu ditubuhkan tetapi mereka menarik diri padahal suruhanjaya itu belum pun lagi memulakan tugasnya.

Kepada soalan sama ada mereka dan peguam mereka cuba mempolitikkan isu itu, Shaik Daud berkata: "Ketepikan dahulu politik kerana semua orang ingin tahu apa yang terjadi kepada Beng Hock.

"Bukan saja keluarganya, saya yakin seluruh negara ingin tahu apa yang terjadi kepada beliau. Maka, menjadi tanggungjawab mereka untuk membantu suruhanjaya itu membuat keputusan."

Shaik Daud juga menyentuh mengenai cubaan Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh Deo, kedua-duanya peguam kepada keluarga itu, memohon supaya pengerusi suruhanjaya berkenaan, Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen, menarik diri dengan alasan beliau masih anggota badan kehakiman. James Foong adalah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Katanya, tugas suruhanjaya itu tidak akan terjejas jika seorang hakim yang sedang berkhidmat dilantik sebagai pengerusinya.

"Beliau (James Foong) adalah seorang hakim kanan dan seorang yang tegas, jadi sama ada seorang hakim itu sedang berkhidmat atau tidak, tidak ada bezanya.

"Dengan melantik orang seperti Tan Sri James Foong, saya tidak nampak apa bezanya. Tambahan pula, jika ada dua anggota panel itu terdiri bekas hakim, kita akan dapat menentukan akan ada ciri-ciri mengawasi dan menegur," kata Shaik Daud.

Anggota panel itu terdiri bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T. Selventhiranathan; perunding kanan pakar patologi forensik, Datuk Dr. Bhupinder Singh dan pakar perunding psikiatri Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Shaik Daud berkata adalah terlalu awal bagi keluarga Beng Hock dan peguam mereka untuk menganggap pengerusi suruhanjaya itu bersifat berat sebelah memandangkan prosiding belumpun bermula semasa mereka memboikotnya.

"Biar mereka jalankan tugas dahulu. Jika kita dapati pengerusi berat sebelah, barulah bersuara. Tapi, ini belum lagi bermula, bagaimana kita tahu dia berat sebelah?" katanya.

Mengenai tindakan Karpal Singh, seorang peguam paling kanan di Malaysia untuk menarik diri kerana James Foong adalah seorang hakim yang masih berkhidmat, Shaik Daud melahirkan rasa hairan.

Katanya semasa beliau masih berkhidmat, hakim menghormati Karpal dan tidak pernah menganggap beliau sebagai anggota pembangkang apabila beliau hadir sebagai peguam bela.

"Saya kenal dia sejak 1964 ketika beliau berkhidmat sebagai peguam di Alor Setar dan saya menjadi Presiden Mahkamah Sesyen. Saya dapati beliau seorang yang serius, bijak dan bekerja keras serta tidak membuang masa mahkamah," kata Shaik Daud.

Katanya, beliau bersetuju dengan pendapat bahawa dengan memboikot siasatan itu, yang akan rugi adalah keluarga Beng Hock .

"Mereka mungkin mahu mengemukakan keterangan tetapi sekarang sudah tidak boleh kerana mereka tidak mahu bersama siasatan. Adalah lebih baik jika mereka hadir dan memberitahu hakim selaku pengerusi suruhanjaya itu bahawa mereka ingin memanggil si polan dan si polan untuk mendengar keterangan mereka," katanya.

Shaik Daud berkata bahawa dalam siasatan oleh sesebuah suruhanjaya, sesiapa saja yang mempunyai maklumat mengenai siasatan itu, boleh menawarkan diri menjadi saksi.

Mengenai bantahan keluarga Beng Hock berhubung pelantikan pegawai dari Pejabat Peguam Negara sebagai pegawai pengendali siasatan, beliau berkata pegawai-pegawai ini bukannya dilantik oleh Peguam Negara tetapi oleh Yang di-Pertuan Agong, dan mereka harus patuh titah perintah Seri Paduka Baginda dan bukannya mengikut arahan Peguam Negara dalam kes ini.

Katanya, jika semasa prosiding, anggota keluarga dapat mengesan bahawa pegawai-pegawai ini cuba bertindak berat sebelah, mereka boleh memberitahu suruhanjaya itu, namun akibat daripada tindakan memboikot itu, mereka tidak lagi berpeluang berbuat demikian.

Beliau juga mengingat kembali tugas cemerlang yang dijalankan oleh Suruhanjaya Diraja yang menyiasat mengenai kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipukul semasa dalam tahanan polis pada 1998.

Shaik Daud berkata bahawa hanya selepas suruhanjaya itu ditubuhkan, barulah timbul keterangan baru sehingga terbukti bahawa Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Rahim Noor adalah orang yang memukul Anwar.

Ia memerlukan sebuah suruhanjaya untuk membongkar apa yang sebenarnya berlaku kerana sebelum itu semua pegawai dan kakitangan bawahan Rahim ketika itu takut untuk memberi keterangan, katanya.

"Inilah satu contoh terbaik yang saya dapat berikan mengenai keberkesanan sebuah suruhanjaya siasatan diraja," kata Shaik Daud sambil menjelaskan bahawa rayuan Rahim terhadap hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 kerana memukul adalah kes terakhir yang beliau dengar sebelum bersara.-UM

Warna-warni politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor