Jumaat, 25 Oktober 2013

Bajet 2014 : Lakukan sesuatu untuk kurangkan cukai golongan pertengahan?


"Kenapa kena bayar cukai banyak sangat ni?", "Macam mana nak kurangkan cukai?", "Kalau macam ni, tahun depan tentu kena bayar lebih lagi." Itulah antara rungutan yang diluahkan oleh rakan-rakan kepada penulis selepas menyelesaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai yang menerima pendapatan penggajian pada 30 April lalu.

Rata-rata apabila kerajaan mengumumkan bajet tahunan, semua pihak tertunggu-tunggu akan goodies dan apa-apa perubahan yang boleh mengurangkan beban cukai masing-masing.

Secara umumnya, terdapat tiga golongan sasaran dalam bajet yang diumumkan iaitu golongan berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi.

Lazimnya penekanan akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah dengan pemberian bantuan dan insentif untuk membantu mengurangkan beban dan meningkatkan taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

Malangnya golongan berpendapatan sederhana termasuk yang sederhana tinggi kurang atau tidak begitu mendapat penekanan wajar dalam pembentangan bajet. Mereka hanya mampu berputih mata dan merungut sesama sendiri.



Di Malaysia, golongan yang berpendapatan sederhana dan sederhana tinggi kebanyakannya terdiri daripada golongan pengurusan dan profesional yang berpendapatan penggajian seperti eksekutif, pengurus, guru, ahli akademik, peguam, jurutera, doktor dan sebagainya. Mereka ini tersepit di celah-celah kemajuan negara disebabkan terpaksa menanggung kos sara hidup dan beban cukai yang semakin tinggi setiap tahun.

Golongan ini kebanyakannya mempunyai jumlah pendapatan yang dikenakan cukai di antara RM50,000 hingga RM100,000. Kadar cukai bagi kumpulan pendapatan ini adalah di antara 19% - 24%. Kadar cukai ini tidak pernah dikurangkan sejak lebih 10 tahun yang lalu iaitu sejak 2002. Sedangkan bagi kumpulan pendapatan bercukai lain, kadar cukai telah dikurangkan beberapa kali dalam tempoh tersebut.

Malah, kerajaan juga telah meningkatkan jumlah pendapatan bercukai minimum daripada RM2,500 kepada RM5,000 dalam Bajet 2013 yang lalu yang menyebabkan segolongan pendapatan bercukai rendah terkecuali daripada membayar cukai.

Majoriti golongan berpendapatan sederhana ini jatuh dalam kategori umur lingkungan lewat 30-an dan 40-an. Pada tahap ini, bagi mereka yang mempunyai anak, kebanyakan anak-anak masih berumur bawah 18 tahun dan belum memasuki institusi pengajian tinggi.

Perbelanjaan persekolahan dan sara hidup anak pada hari ini adalah sangat tinggi sedangkan pelepasan cukai hanyalah RM1,000 sahaja bagi setiap anak.

Perbelanjaan berkaitan anak-anak termasuklah kos sara hidup, kos penjagaan anak oleh pengasuh, pakaian dan peralatan persekolahan, pakaian dan peralatan aktiviti ko-kurikulum, kos penjagaan selepas sekolah, yuran tadika/prasekolah, yuran tuisyen terutama yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah, Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia serta pelbagai belanja sampingan yang lain.


Peningkatan kos sara hidup, terutamanya kos petrol memberi kesan secara langsung kepada golongan sederhana dan sederhana tinggi kerana mereka adalah golongan yang rata-rata berkereta dan sentiasa berulang-alik ke tempat kerja. Ini belum mengambil kira harga rumah dan barangan keperluan harian yang turut mengalami kenaikan.

Akibatnya, golongan inilah merupakan golongan yang paling tinggi menanggung bebanan hutang - pinjaman kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan hutang kad kredit.

Justeru itu, sangatlah wajar bagi pihak kerajaan untuk mengambil langkah untuk mengurangkan beban cukai golongan ini. Antaranya adalah melalui pengurangan kadar cukai, peningkatan pelepasan dan rebat cukai.

Memandangkan kadar cukai untuk kumpulan ini tidak pernah dikurangkan sejak lebih 10 tahun yang lalu berbanding kumpulan lain yang telah dikurangkan beberapa kali, tambahan pula mereka ini mengalami kenaikan gaji tahunan, adalah dicadangkan agar kadar cukai bagi kumpulan berpendapatan bercukai antara RM50,000-RM100,000 dikurangkan sebanyak 2 peratus.

Kalangan knowledge workers di Iskandar Malaysia hanya dikenakan cukai sebanyak 15 peratus, sedangkan jika mereka bekerja di luar kawasan tersebut cukai yang dikenakan adalah 19 peratus dan ke atas. Maka cadangan penurunan kadar cukai 2 peratus ini adalah dikira wajar.

Jika diteliti jenis-jenis pelepasan cukai yang boleh dituntut oleh golongan berpendapatan sederhana ini sangatlah terhad. Pelepasan anak seperti yang dibincangkan amatlah wajar untuk dinaikkan terutama bagi anak yang masih bersekolah.


Mengambil contoh di Australia, perbelanjaan persekolahan seperti pembelian alat tulis, pakaian, komputer dan perisian komputer untuk anak-anak adalah diberi tolakan dari cukai perlu bayar. Malah, penjagaan ibu bapa, ibu bapa mertua, saudara yang tinggal serumah juga mendapat tolakan cukai.

Pelepasan untuk pembelian buku yang berjumlah RM1,000 maksimum pada masa ini dilihat boleh membantu ibu bapa jika amaunnya ditingkatkan selain pemberian baucer buku 1Malaysia dipanjangkan juga kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

Kakitangan Kerajaan dari kategori pendapatan ini kebanyakannya tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Hal ini menyebabkan mereka tidak boleh menuntut penuh pelepasan KWSP dan insurans nyawa yang berjumlah RM6,000. Bagi pekerja swasta pula, caruman KWSP beserta bayaran premium insurans nyawa lazimnya melebihi RM6,000 had tuntutan.

Oleh itu, adalah wajar jika pelepasan KWSP dan insurans nyawa diasingkan dan jumlahnya di naikkan agar pendapatan bercukai dapat dikurangkan bagi kakitangan kerajaan dan juga swasta.

Golongan berpendapatan sederhana dan sederhana tinggi adalah golongan yang juga perlu diberi perhatian wajar. Mereka menaruh harapan tinggi agar belanjawan 2014 yang akan dibentangkan nanti membawa berita gembira kepada mereka.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor