Sabtu, 31 Ogos 2013

Perutusan YAB PM @NajibRazak Hari Merdeka ke-56 2013!


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredhaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-56 dalam keadaan permai sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah dan Sarawak bersama-sama menyambutnya sejak 1963.

2. Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, MalaysiaKu Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.

Saudara dan Saudari,

3. Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.

4. Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta bersinambung sampai sekarang.

5. Maka yang demikian, memiliki kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri halatuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahankan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saudara dan Saudari,

6. Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.

7. Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya masih samar dan buntu. Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono. Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan terjejas pabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.

Saudara dan Saudari,

8. Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu, tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.

9. Hakikatnya, tragedi walang itu telah menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jatidiri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi pewaris.

10. Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya.

11. Sesungguhnya jua, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

12. Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jatidiri dan diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar.

Saudara dan Saudari,

13. Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.

14. Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.

15. Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak Kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.

16. Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-56.

Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Warna-warni politik
Torashah..

Selasa, 27 Ogos 2013

Pekerja temui rangka manusia berhampiran tapak pembinaan Hospital Shah Alam?


Seorang pekerja kontrak terkejut menemui rangka manusia dalam semak dekat tapak Hospital Shah Alam, di Seksyen 7, di sini, petang kelmarin. Dham Duc Anh, 21, seorang warga Vietnam berkata, dia sedang mencari sayur kira-kira jam 6.30 petang apabila ternampak banyak serpihan tulang berselerak di situ.

Pada mulanya dia menyangka itu adalah tulang binatang.

"Namun apabila saya bergerak kira-kira dua meter ke hadapan, saya ternampak tengkorak dan rangka dalam lubang.

"Rangka itu seolah-olah ditanam dalam lubang tersebut, tetapi mungkin anjing atau haiwan lain menarik sebahagian rangka itu keluar dari lubang berkenaan," kata warga Vietnam itu ketika ditemui di lokasi, semalam.

Menurut lelaki itu, dia melihat ada cebisan kain dipercayai seluar jeans pada serpihan tulang tersebut, selain terdapat sedikit rambut pada tengkorak berkenaan.

Katanya, dia yakin rangka itu milik manusia dan terus pulang ke rumah kongsi untuk memaklumkan rakan sekerjanya. Duc Anh berkata, dia tidak segera melaporkannya kepada polis, tetapi kembali semula ke lokasi itu semalam bersama beberapa rakan.

Rangka serta tengkorak manusia yang ditemui dalam semak berdekatan tapak pembinaan Hospital Shah Alam di Seksyen 7, semalam dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan

"Kami kemudiannya buat laporan polis berhubung penemuan rangka tersebut pagi tadi (semalam)," katanya.

Katanya, dia dan rakan sekerja kerap ke kawasan semak di situ untuk memetik sayur, namun tidak pernah menemui apa-apa yang pelik .

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisoner Zahedi Ayub mengesahkan menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira jam 9.35 pagi semalam.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan rangka berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan.

"Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam atau ke mana-mana balai polis terdekat bagi membantu siasatan," katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

Ahad, 25 Ogos 2013

Pas didesak nyatakan pendirian berhubung isu kalimah Allah!

NASARUDDIN Mat Isa (tengah) berbual bersama bekas Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd. Hashim (kiri) dan Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin ketika hadir dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Kumpulan Utusan di Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Bhd., Kuala Lumpur, semalam.

Pucuk pimpinan Pas diminta menyatakan pendirian berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik membatalkan rayuan kerajaan Malaysia berhubung isu melibatkan pengunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.

Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, rakyat mahu melihat pendirian Pas dalam memperjuangkan isu kritikal seperti kalimah Allah atau pemimpin parti itu hanya sekadar bersuara demi kepentingan politik masing-masing.

Menurut beliau, desakan itu bagi memastikan parti tersebut masih lagi relevan dalam perjuangan Islam serta tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Tambahnya, sebagai sebuah parti berteraskan Islam, pucuk pimpinan Pas sepatutnya hadir menyatakan sokongan semasa perbicaraan berhubung kes penggunaan kalimah Allah di Putrajaya semalam.

"Ketiadaan seorang pun ahli Pas semalam menimbulkan persoalan. Ahli-ahli Pas perlu bertanya kembali sama ada mereka perlu mempertahankan sebuah parti yang secara terang-terangan enggan memperjuangkan penggunaan kalimah Allah.

"Mereka perlukan kepastian sama ada parti itu akan bersama-sama menolak penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian atau sebaliknya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa Majlis Sambutan Aidilfitri Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Beliau mengulas kegagalan pucuk pimpinan Pas hadir ketika Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan dan majlis agama Islam berhubung kebenaran penggunaan Kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, umat Islam di negara ini perlu bersatu mempertahankan kalimah Allah seperti mana sokongan yang ditunjukkan masyarakat Islam yang hadir ke mahkamah semalam.

"Saya harapkan 10 September ini akan lebih ramai umat Islam hadir menyatakan sokongan terhadap usaha mempertahan kalimah Allah yang turut mempunyai kaitan dengan isu akidah serta agama Islam sebagai agama Persekutuan.

"Perkara ini perlu dipertahan semua pihak sama ada kerajaan mahupun rakyat. Saya harap momentum hadir di mahkamah ini tetap dikekalkan sehingga keputusan diterima," katanya.

Warna-warni Politik
Torashah

Sabtu, 24 Ogos 2013

Apa niat Dong Zong - TPM?


Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan niat sebenar tentangan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) terhadap pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan dilancar bulan depan walaupun mereka turut terlibat dalam penggubalannya sebelum ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, dakwaan Dong Zong kononnya pelaksanaan PPPM akan menghapuskan bahasa Cina dan sekolah jenis kebangsaan Cina sama sekali tidak benar serta tidak disebut langsung dalam pelan berkenaan.

Katanya, beliau hairan dengan tindakan Dong Zong itu kerana mereka terlibat dalam perbincangan awal pelaksanaan dasar berkenaan, sebelum secara tiba-tiba menentangnya apabila PPPM mahu dicetak.

"Apa yang kita buat ini tidak menyalahi undang-undang negara atau Dong Zong sengaja mahu melihat sekolah kebangsaan terus mundur dan jika mundur, tidak akan menjadi 'ancaman' kepada sekolah jenis kebangsaan.

"Apakah itu tujuan mereka? Jika itu tujuannya, menunjukkan niat mereka yang tidak baik," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra sempena lawatan kerja rasmi dua hari ke negara ini yang bermula hari ini.


Mengulas penentangan berterusan Dong Zong itu, Muhyiddin menegaskan, beliau tidak akan melayan desakan itu kerana PPPM bertujuan meningkatkan sistem pendidikan negara yang dikatakan merosot.

Pelan tersebut katanya, telah digubal berdasarkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk kira-kira 17,000 orang ramai yang memberi pendapat menerusi perundingan meja bulat dan juga secara dalam talian.

"Saya mahu tegaskan, kita akan teruskan PPPM tanpa rasa digugat oleh mana-mana pihak dan saya tidak akan rasa tercabar, kita sudah kaji dan ini jalan terbaik.

"Kalau saya berundur, bukan sahaja dilihat mengalah tetapi tidak bertanggungjawab dan kalau saya tunduk kepada mereka, bukan sahaja dilihat lemah tetapi kita akan mengabaikan sistem pendidikan kita," tegasnya.

Timbalan Perdana Menteri berharap kelompok masyarakat Cina yang waras dan tidak melihat PPPM sebagai satu ancaman, akan terus memberi sokongan.

Menurutnya, kumpulan itu antaranya yang mewakili sekolah menengah jenis kebangsaan, tidak menentang PPPM sebaliknya memberi pelbagai cadangan seperti mahu pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris ditingkatkan dan tambahan masa untuk bahasa Cina.

"Itu bagi saya tidak ada masalah, mereka ini ialah kelompok yang ada semangat kebangsaan, tetapi Dong Zong langsung tidak menghormati, jadi kita tidak akan layan lagipun mereka (mewakili) kelompok kecil sahaja," ujarnya.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 18 Ogos 2013

Pesanan Dr. Mahathir untuk UMNO!


Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), UMNO yang bertanding bukan seperti UMNO yang ditubuhkan pada 1946. Sebenarnya UMNO 2013 amat berbeza daripada UMNO dahulu.

UMNO bukan lagi dihormati oleh orang Melayu. Kesetiaan dan sokongan orang Melayu kepada parti yang berjaya memerdekakan negara, berjaya membangunkan negara, berjaya menebus balik maruah orang Melayu, bukan sahaja sudah hilang tetapi kerap dipandang hina oleh mereka dan juga bangsa lain, terutama dalam kalangan generasi muda.

Kenapakah? Sebabnya UMNO sudah tidak lagi berpegang kepada perjuangan asalnya, perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. UMNO dianggap sebagai parti yang berjuang hanya untuk orang tertentu dalam parti, orang yang menjadi ketua di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya, berjuang untuk diri sendiri, untuk memperkayakan diri, untuk jawatan dan gelaran, untuk kuasa yang boleh disalah guna oleh mereka; menjadi Yang Berhormat (YB) dan Yang Amat Berhormat (YAB).

Ahli berguna hanya untuk sokong supaya individu tertentu ini mengisi ketamakan mereka. Untuk ini ahli disogok dengan wang dan bermacam-macam lagi sogokan seperti lawatan ke luar negara dan mengerjakan umrah. Dengan ini seluruh ahli UMNO terlibat dengan rasuah, iaitu menjual undi mereka dengan duit.

Tidak ada lagi semangat perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. Dan tidak pun ada kesetiaan kepada UMNO sendiri kerana kesetiaan sudah beralih daripada parti kepada individu tertentu. Walaupun sedar sikap dan tindakan ahli serta pemimpin akan menghakis kekuatan parti dan sokongan kepadanya oleh orang ramai dan akan kalah dalam pilihan raya dan tidak lagi akan berkuasa, tetapi individu tertentu lebih diutamakan daripada parti. Biarlah parti kalah asalkan kepentingan orang tertentu ini dilayani. Maka jadilah budaya cantas mencantas. Kalau tak dapat, rosakkan sahaja parti dan masa depan bangsa dan negara. Dan siapa juga yang dicalon, ada sahaja yang tidak dicalon akan cantas. Oleh itu calon UMNO semua akan kalah termasuk yang winnable, kononnya boleh menang pun akan kalah juga.

Hari ini siapa yang mendapat jawatan dalam UMNO, yang menjadi ketua cawangan, ketua bahagian akan dapat habuan, akan jadi ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diberi elaun, mendapat kontrak dan bagi ketua bahagian, kemungkinan jadi calon untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat. Kalau menang boleh desak untuk menjadi Menteri. Jika tidak dapat, apabila parti menang kecil, sanggup ugut keluar parti. Sesungguhnya menjadi ketua di peringkat apa pun dalam UMNO amat menguntungkan.

Justeru tentukan tiada siapa boleh cabar ketua yang sedia ada. Ini dibuat dengan tidak membenarkan sesiapa yang lebih terpelajar atau lebih berkaliber masuk UMNO. Permohonan mereka dihilangkan, ditolak atau diketepikan. Dengan itu tiada sesiapa yang lebih layak daripada ketua cawangan atau bahagian dapat menjadi ahli UMNO. Yang dapat hanyalah mereka yang tidak mampu mencabar ketua cawangan atau bahagian.

Dengan tindakan ini berkuranglah ahli yang berbakat, berkaliber dalam UMNO. Hendak tidak hendak mereka yang berkebolehan terpaksa menyertai parti-parti lawan yang sedia menerima mereka dan mencalonkan mereka. Maka calon-calon UMNO pun dilihat kurang layak daripada calon parti lawan dan besar kemungkinan dikalahkan.

Sementara itu apabila ketua cawangan atau bahagian sakit atau meninggal dunia, penggantinya tentulah kurang kelayakan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan UMNO merosot sehingga sukar untuk mencalonkan sesiapa yang berkaliber, yang boleh jadi Menteri, atau Perdana Menteri atau Menteri Besar.

Ahli dan pemimpin UMNO di mana-mana sering mengeluh bahawa sudah begitu lama mereka berada dalam UMNO, berpuluh-puluh tahun tetapi tidak dapat apa-apa pun, tidak dapat jadi calon, tidak jadi YB atau YAB, tidak dapat kontrak dan bermacam-macam lagi yang mereka idamkan bagi diri sendiri.

Apakah UMNO ditubuh untuk memberi sesuatu secara langsung kepada setiap seorang daripada ahlinya? Jika Perlembagaan UMNO disemak pemberian kepada setiap seorang ahli tidak dijanjikan. UMNO berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air; untuk menebus maruah orang Melayu, maruah bangsa, kesucian Islam dan kehormatan terhadap negara oleh dunia.

Dan dunia akui bahawa semua ini telah dilaksanakan oleh UMNO apabila dipilih untuk mengetuai kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka lebih setengah abad dahulu. UMNO telah menunaikan lebih daripada janjinya kepada bangsa, agama dan negara.

Dalam proses pemerintahan terpaksalah diadakan jawatan-jawatan bagi sebilangan daripada ahli. Tak mungkin UMNO bergerak untuk menjayakan janji-janjinya jika ia tidak memiliki pemimpin dan pegawai yang bekerja sepenuh masa atau separuh masa.

Untuk ini diadakan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan seterusnya sehingga ke ketua bahagian dan cawangan. Tugas mereka ialah bagi menguruskan UMNO sebagai parti politik, supaya menjayakan matlamat UMNO ditubuh.

Dan di antara mereka pula ada yang menjadi calon dalam pilihan raya. Yang menang di antara calon ini mungkin dilantik menjadi ahli Exco DUN, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri. Semua mereka ini tentulah dibayar gaji iaitu mendapat habuan daripada penyertaan mereka dalam UMNO.

Mereka lebih bernasib baik daripada ahli-ahli biasa UMNO. Tetapi ini tidak bermakna ahli biasa tidak dapat apa-apa langsung. Kejayaan pemerintahan yang diterajui UMNO tetap memberi nikmat kepada semua ahli. Nikmat ini termasuk khidmat kerajaan yang cekap, khidmat kesihatan, pelajaran, biasiswa untuk belajar di dalam dan di luar negara, pembinaan jalan kampung, pelbagai jenis latihan, Mara, saham PNB, tabung-tabung pinjaman, peluang pekerjaan, peluang perniagaan, kontrak dan berpuluh lagi nikmat yang diterima oleh setiap ahli UMNO.

Tidak ada siapa yang boleh berkata dia tidak dapat apa pun bagi diri sendiri. Sedikit sebanyak setiap ahli UMNO, setiap penyokong UMNO yang bukan ahli mendapat sesuatu. Benar yang tidak sokong UMNO pun dapat, tetapi mereka Melayu dan janji UMNO ialah untuk bangsa Melayu, tidak untuk ahli UMNO sahaja.

Katakanlah UMNO tidak berjaya kerana tidak ada sokongan daripada ahli UMNO, bolehkan kita rasai nikmat-nikmat ini? Saya tidak fikir walau siapa pun yang memerintah maka nasib orang Melayu sama baik atau lebih baik. Kita lihat di negeri-negeri yang tidak diperintah oleh UMNO, keadaan orang Melayu lebih daif. Sedikit nikmat yang mereka kecapi datang dari Kerajaan Pusat yang diterajui oleh UMNO.

Jika Kerajaan Pusat tidak diterajui oleh UMNO walaupun Melayu, mereka tidak gemar menolong Melayu kerana mereka terhutang budi kepada orang lain yang bukan Melayu kerana sokongan mereka dalam pilihan raya. Pengalaman orang Perak semasa diperintah oleh parti lawan boleh jadi contoh. Juga di Pulau Pinang, bahkan di Kelantan.

Jelas sekali bahawa setiap orang Melayu dan sudah tentu setiap orang UMNO mendapat sesuatu bagi diri mereka. Mereka mendapat bekalan api elektrik, bekalan air, jalan kampung dan jalan raya, rawatan apabila sakit, sekolah bagi anak, biasiswa ke universiti dalam dan luar negara, pekerjaan, peluang perniagaan, bantuan wang dan aneka jenis subsidi dan bermacam lagi nikmat. Jangan fikir ini memang begitu.

Benarkah mana-mana kerajaan pun akan mengadakan semua ini? Saya fikir tidak. Pergilah ke negara lain yang sama miskin seperti kita dahulu, yang sama dijajah dan sekarang merdeka, untuk melihat keadaan. Rakyat negara-negara ini masih miskin, masih tidak bersekolah, tidak berkemudahan, bahkan terpaksa berhijrah ke negara lain, termasuk ke Malaysia untuk mencari makan kerana kerajaan mereka tidak berjaya memajukan negara mereka dan membantu rakyat setelah merdeka.

Terimalah kenyataan yang sebenar dan bersyukurlah. Janganlah mengeluh kerana kononnya tak dapat apa-apa pun setelah menyokong UMNO begitu lama. Sesungguhnya mereka yang tahu bersyukur, Allah berjanji akan memberi lebih banyak nikmat. Insya-Allah, masa depan akan memperlihatkan giliran orang lain pula, mungkin giliran anak cucu kita jika pemerintahan oleh UMNO dapat diteruskan.

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 16 Ogos 2013

Laluan kontra tidak selamat - Latar?

Pemilik kenderaaan membuat pusingan U secara haram dan tidak menghiraukan kon batu yang diletakkan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) berhampiran susur masuk Kundang, Rawang, Selangor.

Pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) diingatkan agar tidak membuat pusingan U berhampiran susur keluar tol Kundang di sini bagi mengelakkan risiko berlakunya kemalangan.

Wakil pengurusan Latar, Surati Sujor berkata, selain meletakkan diri mereka serta pengguna lain dalam keadaan bahaya, tindakan itu juga adalah salah di sisi undang-undang.

Menurutnya, pihak Latar menerima banyak cadangan daripada pengguna untuk mewujudkan laluan kontra di susur masuk ke Lebuhraya Latar, bagaimana pun ia tidak selamat bagi pengguna.

"Jalan susur masuk sedia ada telah direkabentuk dan dibina untuk keperluan jalan masuk sahaja ke Latar daripada Jalan Setia, Kundang untuk semua jenis kenderaan dari kelas 1 hingga kelas 5 termasuk kereta, van, lori, treler dan bas.

"Ia mempunyai ciri-ciri keselamatan tersendiri dan telah diluluskan Bahagian Audit Keselamatan Jalan sebelum diwarta dan dibuka untuk kegunaan orang awam sebelum diluluskan oleh pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)," katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Mengulas mengenai perkembangan projek pembinaan susur keluar bertol di Kilometer 17.6 Latar, katanya, kontraktor bagi membina susur keluar baharu di kedua-dua arah di Persimpangan Kundang juga telah dilantik.

"Kerja-kerja awalan dan kerja-kerja tanah telah pun dimulakan dan projek dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun 2014.

"Orang awam akan dimaklumkan mengenai perkembangan serta kemajuan projek dari semasa ke semasa,"katanya.

Sementara itu Risiko berlaku kemalangan

Tindakan pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (Latar) membuat pusingan ‘U’ dan menjadikan laluan sehala kepada dua hala dari arah Kuala Lumpur dan Selayang ke susur masuk Kundang ternyata mengundang bahaya kepada mereka.

Ini berikutan laluan di situ didapati sempit dan sukar untuk melihat kenderaan yang datang dari arah hadapan.

Tinjauan pemberita baru-baru ini mendapati, biarpun penghadang batu diletakkan di laluan tersebut pengguna jalan raya tetap berdegil dan terus menggunakan laluan tersebut.

Mereka seolah-olah tidak menghiraukan kenderaan yang datang dari arah bertentangan dan walaupun jelas terpampang papan tanda ‘Dilarang Masuk’ di hadapan. Tanpa rasa bersalah mereka dilihat tetap membuat pusingan` U’ haram.

Penulis turut dimaklumkan kawasan tersebut sering berlaku kemalangan terutama membabitkan penunggang motosikal.

Difahamkan, tindakan pengguna membuat pusingan U di kawasan tersebut dengan alasan melecehkan dan terlalu jauh.

Seorang pengguna, Ahmad Kamsani Muhammad, 35, berkata, jika tidak membuat pusingan U di situ dia terpaksa melalui laluan yang terlalu jauh untuk pulang dari tempat kerja.

Menurutnya, dia tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa melalui tol Rawang atau melalui Bandar Bukit Rahman Putra.

“Sementara menunggu jalan susur keluar ke Kundang siap, saya cadangkan pihak pengurusan Latar membenarkan pengguna membuat pusingan U," katanya.

Sementara itu, Noriah Kasbi, 45 pula berkata, pemasangan penghadang batu yang pada asalnya bertujuan memudahkan pemandu menjadi sebaliknya.

Katanya, tindakan pemandu kenderaan membuat pusingan U di situ mengundang bahaya kepada pengguna lain.

“Sebelum ini, pemandu akan memasuki persimpangan rehat dan rawat (R&R) Kundang terlebih dahulu sebelum membuat pusingan ke susur masuk ke Kundang, tetapi setelah separuh jalan ditutup telah menyukarkan kenderaan membuat pusingan.

“Keadaan ini menyebabkan kami perlu lebih berhati-hati kerana perlu melihat kenderaan dari arah susur masuk selain memberi laluan kepada pengguna lebuh raya yang lain," katanya.

Dia turut mencadangkan agar pihak pengurusan Latar mengkaji semula larangan atas faktor darurat dan jika perlu memasang kon di pembahagi jalan atau mengawal lalu lintas pada waktu puncak.

Warna-warni Politik
Torashah

Isnin, 12 Ogos 2013

PM Norway menyamar jadi pemandu teksi untuk dengar keluhan rakyat! Menteri Pengangkutan Malaysia bagaimana?

Seorang penumpang terkejut selepas menyedari Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg menyamar sebagai pemandu teksi di Oslo. Stoltenberg yang lengkap memakai uniform termasuk lencana sebagai pemandu, menjadikan cara itu sebagai salah satu kaedah untuk mengetahui isi hati pengundi.

OSLO: Perdana Menteri Norway, Jens Stoltenberg hari ini mendedahkan beliau menyamar sebagai pemandu teksi pada satu petang untuk mengetahui isi hati pengundi.

“Ia penting untuk saya untuk mendengar apa yang rakyat perlukan. Jika ada tempat di mana orang ramai berbual apa yang mereka fikirkan (tentang kerajaan), ia adalah di dalam teksi," katanya dalam klip video yang dimuat naik dalam laman Facebook, Twitter and YouTube.



Video berkenaan dipaparkan ketika kemuncak kempen pilihan raya umum pada 9 September ini di mana parti gabungan diketuai Stoltenberg dilihat akan kalah, demikian menurut tinjauan pendapat yang terbaru.

Stoltenberg memakai unifom teksi Oslo - termasuk dengan lencana - pada satu petang dalam bulan Jun.

Beliau mengambil penumpang di dalam teksi Mercedes hitam di ibu negara Norway.

Satu kamera tersembunyi dipasang di dalam teksi yang merakamkan reaksi penumpang, termasuk seorang yang berkata:

“Dari sudut ini, dia mirip Perdana Menteri."

Seorang perempuan tua juga mengenali Stoltenberg dan memintanya berbuat sesuatu terhadap 'gaji ketua' yang mendakwa mereka tidak sepatutnya menikmati gaji berjuta dengan jawatan itu.

Meskipun tidak mendedahkan siapa dirinya, Stoltenberg pada satu masa mengaku kepada seorang penumpang yang mengetahui siapa dirinya bahawa dia tidak memandu sejak lapan tahun lalu.

Ditanya oleh akhbar tabloid Verdens Gang jika beliau akan menjadi pemandu teksi sekiranya kalah dalam pilihan raya nanti, Stoltenberg berkata:

“Saya dikir negara ini dan penumpang teksi Norway akan menikmati kehidupan lebih baik sekiranya saya terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan bukannya sebagai pemandu teksi."

Menurut tabloid itu, semua penumpang yang menaiki teksi Stoltenberg pada hari itu tidak perlu membayar tambang untuk perjalanan mereka. - AFP

Warna-warni politik
Belantan

DAP perlu jelaskan ketakutan pemilihan semula CEC?


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didesak memberi penjelasan kepada kaum Cina ekoran 'ketakutan' beliau dan kroni-kroninya untuk mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) yang didakwa dipenuhi penipuan dan penyelewengan.

Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, selain Guan Eng, bapanya Lim Kit Siang juga perlu tampil memberi penjelasan mengenai 'ketakutan' itu.

Menurut beliau, jika tidak bersedia melakukannya, kedua-dua ahli keluarga Lim itu harus menyatakan kepada seluruh rakyat terutamanya kaum Cina bahawa slogan ketelusan yang sering dilaung-laungkan mereka hanyalah kata-kata dan bukannya amalan parti tersebut.

"Kami semua tahu tindak-tanduk Guan Eng dan Kit Siang pada pemilihan CEC Disember tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isu pemilihan CEC parti itu tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah dan layak mengundi.

Isu itu juga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan bekas pemimpin sehingga ada yang bertindak membawa kes itu ke mahkamah.


Kontroversi pemilihan CEC DAP semakin menarik selepas pendedahan Laporan Ekuiti (Penipuan Pemilihan CEC) tulisan Father Augustus Chen yang menyatakan secara terperinci penipuan dalam pemilihan itu sejak 47 tahun lalu.

Dalam nada sinis, Lum Yong berkata, pihaknya teruja untuk melihat bagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang dan bapanya itu terus melakukan penipuan dan sandiwara kepada kaum Cina di negara ini.

Katanya, sandiwara yang dilakukan kedua-dua ahli keluarga Lim mengenai isi kandungan surat Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 17 April lalu jelas menipu kaum Cina.

Selain itu, Lum Yong yakin aduan yang dibuat oleh kira-kira 50 ahli DAP mengenai penyelewengan CEC Disember lalu kepada ROS mempunyai asas yang kukuh.



Tambah beliau, ROS perlu mengambil kira nasib dan hak kumpulan minoriti dalam parti tersebut dan keputusan meminta DAP membuat pemilihan semula CEC adalah wajar supaya semua perwakilan yang sah diberi hak untuk mengundi.

"Mula-mula mereka bersandiwara akan menggunakan simbol Pas ketika penamaan calon pada pilihan raya umum lalu atas alasan ROS akan membatalkan pendaftaran mereka. Tetapi hingga kini ROS tidak berbuat demikian sebaliknya menggesa Guan Eng membuat pemilihan semula CEC.

"Sekarang mereka minta pula ROS untuk beri penjelasan kenapa perlu pemilihan semula dilakukan," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Selasa, 6 Ogos 2013

Kenapa perlu bela komunis?



Kemelut beberapa pihak yang masih berdegil mahu mengangkat pengganas komunis sebagai hero yang berjuang untuk kemerdekaan nampaknya masih berterusan. Terbaru sebuah filem yang mengaitkan komunis The New Village cuba ditayangkan di negara ini walaupun polemik mengenai filem Tanda Putera sudah hampir sampai ke penghujung.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut Wartawan Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid telah mewawancara bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said.

Kelihatan seolah-olah ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan melakukan sesuatu yang jelas ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia bahawa komunis sebenarnya musuh negara.

“Mereka ini memperjuangkan ideologi komunis serta mengolah dan menanam ideologi tersebut seterusnya membawanya ke negara lain atas alasan untuk ‘dibebaskan’ tetapi akhirnya negara itu hanyalah berada di bawah takluk komunisme," kata Zaini.


MINGGUAN: Kebelakangan ini ada pihak yang cuba mengaitkan komunis sebagai hero melalui sebuah filem seolah-olah mencabar kerajaan. Walhal hakikatnya askar kita yang banyak berkorban. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

ZAINI: Pertamanya, saya tidak bersetuju pihak komunis ini boleh digambarkan sebagai hero. Hero yang saya maksudkan adalah dalam konteks memperjuangkan kemerdekaan. Saya tidak bersetuju kerana semasa mereka ditubuhkan dahulu tujuan utama adalah untuk menghalau penjajah dan dalam manifesto mereka juga ada permintaan untuk memerintah dan menubuh kerajaan. Tetapi malangnya permintaan itu sebenarnya untuk menguasai negara dan menjadikan negara sebuah republik komunis. Itu salahnya. Perkara ini bertentangan dengan apa yang lazim kita lakukan serta bercanggah dengan struktur budaya, sosial dan politik kita pada ketika itu. Pada mulanya mereka mengakui sifat kebangsaan untuk membentuk negara dan nasionalisme tapi sebenarnya tidak. Mereka sebenarnya hanyalah terdiri daripada satu kaum sahaja dan kemudian baru menyedari sebenarnya mereka tidak cukup korum. Kemudian barulah mereka membuka keahlian untuk orang Melayu dan India. Maka terbentuklah rejimen berlainan dan pada masa sama orang tertentu boleh menjadi pemerintah dan berkuasa bagi menunjukkan kononnya sifat kebangsaan. Tetapi pada hakikatnya komunis tidak ada beza dengan sebuah parti politik Cina pembangkang yang mengakui pelbagai kaum tetapi hakikatnya majoriti ahlinya semua kaum Cina.

Yang kedua, semasa penubuhannya mereka adalah tertakluk kepada arahan apa yang dipanggil Kuomintang Communist International yang telah mengarahkan untuk melakukan revolusi menghalau penjajah dan pembebasan. Ini bukan bersifat memerdekakan, tapi mereka bercakap dan berhujah dengan orang ramai sebagai memerdekakan. Liberation ini adalah bermaksud menguasai daripada memerdekakan semua. Macam angkatan tentera Jerman liberate countries bukannya hendak memberikan kemerdekaan. Sebenarnya mereka meletakkan negara yang ditakluk di bawah kuasa atau pengaruh Kuomintang. Maksud saya mereka mengambil kuasa atau sesebuah negara untuk diletakkan di bawah takluk atau kuasa yang lain dan bukan memperjuangkan kemerdekaan negara berkenaan. Kalau bukan memperjuangkan kemerdekaan jadi kenapa pihak ini mengaku dia pejuang kemerdekaan. Mereka ini sengaja bercakap salah dan menipu dan malangnya ramai orang yang tertipu dengan perkara itu.

Tidakkah melalui penerbitan filem mengenai komunis ini boleh menimbulkan perasaan tidak senang?

ZAINI: Mengenai filem yang dimaksudkan iaitu The New Village, ia menampakkan bahawa pasukan keselamatan seolah-olah begitu kejam dan zalim tetapi itu adalah arahan pihak penjajah Britain untuk mengasingkan orang Cina dan Melayu. Orang Cina ketika itu terpaksa keluar dari bandar dan menjadi squatters semasa zaman Jepun. Tetapi bila komunis mula menjalankan pemberontakan mereka mula menjadi sumber dan pemberi maklumat selain memberi sokongan kepada pasukan komunis. Jadi strategi ketika itu betul untuk kita asingkan kemudian kumpulkan supaya nyawa mereka boleh dipertahankan dan pada masa sama melindungi mereka di sebuah perkampungan baru. Strategi ini dilihat berjaya menghalang pihak komunis daripada menggunakan mereka untuk menjadi sumber risikan selain direkrut sebagai anggota komunis serta menjadi sumber kewangan mereka. Saya sangat tidak bersetuju dengan tindakan pihak ini menerbit sebuah filem dan tujuan serta faedah mereka perlu diperjelaskan kerana ia mampu menimbulkan perasaan tidak senang terutama dalam kalangan anggota tentera yang telah banyak berkorban.

Maka adalah jelas mereka ini tidak ada hak untuk mengaku pejuang kemerdekaan dan hanya memperjuangkan ideologi komunis?

ZAINI: Mereka memperjuangkan ideologi komunis dan mengolah serta menanam ideologi tersebut seterusnya membawanya ke negara lain atas alasan untuk ‘dibebaskan’ tetapi akhirnya negara itu hanyalah berada di bawah takluk komunisme. Maknanya mereka ini kekal dijajah tetapi melalui ideologi komunis dari satu tempat ke satu tempat dan bukannya untuk dimerdekakan. Ini yang bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman kata kita merdeka dengan cara baik dan diplomatik, kita halau British dan kita mengambil kuasa. Selepas itu kita tidak tertakluk kepada mana-mana kuasa lain dan kita benar-benar merdeka. Kalau komunis mereka mahu halau British dan kemudian minta itu dan ini. Jika dimerdekakan memang kita bebas dibebaskan tetapi hakikatnya negara ini masih berada di bawah takluk orang lain maksudnya China atau Rusia sebagai kuasa komunis. Jadi dimana kemerdekaannya kerana hakikatnya tidak ada erti kemerdekaan jika masih bernaung dengan negara lain. Itulah sebabnya pihak komunis tidak boleh mengaku sebagai wira kemerdekaan.

Perjuangan komunis di negara ini oleh sekelompok orang Cina mungkin melibatkan sejarah, mungkin budaya serta penentangan mereka terhadap Jepun dan bukanlah sangat hendak membantu rakyat atau memerdekakan negara ini. Penentangan terhadap Jepun melalui peperangan dan perjuangan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) hanyalah lanjutan daripada negara China berperang dengan Jepun sebelum Perang Dunia Kedua. Jepun pula memandang orang Cina di Malaya ketika itu sebagai limpahan daripada orang-orang China yang diperangi di Tanah Besar China. Jadi mereka mengangkat senjata sebenarnya hanya untuk meneruskan perjuangan China menentang Jepun dan bukan untuk Malaya. Adalah salah untuk menganggap perjuangan mereka ketika itu sebagai sebahagian daripada keperwiraan pihak komunis untuk membebaskan Malaya. Itu hakikatnya lebih kepada peperangan mereka melawan Jepun.

Pihak komunis ini juga terkenal dengan kekejaman dan bertindak tanpa sebarang belas ehsan terutama kepada anggota keselamatan kita. Apakah kekejaman ini tidak perlu lagi diungkit atau bagaimana?

ZAINI: Dalam falsafah komunisme, Mao Tze Tung telah menekankan bahawa political power comes out of the barrel of the gun. Ini bermakna mereka rela dan sanggup untuk mendapat kuasa politik dengan menggunakan kekerasan persenjataan dan kezaliman. Bermakna pihak komunis sanggup membunuh dan menggunakan strategi pemberontakan bersenjata kerana itu sebahagian daripada falsafahnya. Ini adalah sesuatu yang membahayakan. Mengapa kita perlu menggunakan kekerasan sekiranya itu adalah tidak wajar lebih-lebih lagi bila mereka secara mudah menghukum rakyat yang kononnya dikatakan mengikut telunjuk penjajah. Mereka ini menzalimi rakyat dengan menggunakan kekerasan. Itulah yang berlaku selepas mereka berkuasa untuk tempoh singkat iaitu selama dua minggu sebelum British datang semula ke negara ini selepas tamat Perang Dunia Kedua. Sebelum darurat diisytiharkan mereka sanggup merosakkan ekonomi, membunuh orang awam, menyerang polis dan sebagainya. Bermakna kesanggupan mereka melakukan tindakan bersenjata dan keganasan demi untuk mendapatkan kuasa politik adalah sebahagian daripada naluri mereka. Ini membuatkan mereka (komunis) satu pergerakan merbahaya. Mereka sanggup memberontak dan melakukan tindakan di luar bidang yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.

Maka kita boleh nampak melalui falsafah itu, dengan apa yang berlaku sekarang mereka masih lagi menjalankan taktik propaganda ideologi walaupun sekarang ini komunis secara nyata sudah tidak ada lagi. Dengan menyebarkan secara tidak langsung ada di antara kita yang mungkin terpengaruh dengan cara-cara dan taktik falsafah, demonstrasi dan sebagainya kerana mereka sangat cekap dalam bidang aktivisme. Komunisme memang sebahagian daripada strategi untuk menaikkan semangat menentang kerajaan dan sebagainya walhal perkara itu tidak perlu. Kita boleh lihat pengaruh ini dalam kesatuan sekerja dan sebagainya satu ketika dahulu.

Secara ideologinya mereka jelas terpesong tetapi mungkin ia sebagai sesuatu yang baharu ketika itu menyebabkan ramai yang terpengaruh. Pada pandangan Datuk Seri apakah ideologi tersebut masih boleh diterima sekarang?

ZAINI: Ideologi komunis adalah sangat terpesong dan mereka cenderung menentang arus dan melakukan tindakan bawah tanah. Tindakan yang rahsia ini banyak bahayanya kerana jika tidak dikawal ia boleh memudaratkan negara, kerajaan, masyarakat dan rakyat. Antara ideologi penting mereka adalah falsafah sosialis kesamarataan, tidak ada kelas, tidak mengaku adanya Tuhan, sesuatu yang tidak sesuai dan bertentangan dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara kita. Mungkin ada pihak yang merasakan perkara ini menarik dan ia digunakan oleh pihak-pihak dan orang tertentu yang merasakan diri mereka dizalimi dan tertindas. Ini yang kita lihat berlaku di mana-mana termasuk di negara ini seperti menggalakkan tentangan terhadap kerajaan dengan cara berdemonstrasi dan menaikkan imej dan kedudukan komunis sebagai orang yang luar biasa dan hero. Ini adalah satu gerakan yang sebenarnya memudaratkan dan merugikan negara dan rakyat serta secara tidak langsung boleh menjejaskan ekonomi kita walhal kita telah maju dengan sistem ekonomi yang kita ada sekarang ini. Dikhuatiri negara ini tidak akan menjadi tempat yang menarik untuk menarik pelaburan dan kemudian menjadikan kita tidak produktif. China juga mempunyai dual system iaitu komunisme selain kapitalis dan demokrasi. Cara demokrasi sosialis adalah berlainan dan tidak sesuai dengan kita kerana kedudukan raja kita serta bahasa dan agama. Sudah tentu ideologi sebegini tidak boleh diterima dan kita lihat terdapat juga pihak yang sengaja mempersoalkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini. Adalah jelas perkara yang cuba dilakukan sekarang ada kaitan dengan usaha memprovokasi yang dilihat mempunyai kaitan dengan kepentingan komunis kerana cuba mengangkat pihak tertentu sebagai hero. Sepatutnya ideologi komunis ini tidak perlu lagi diterima kerana sudah jelas ia tidak membawa apa-apa keuntungan.

Pada pandangan Datuk Seri, tindakan pihak tertentu cuba mengagung-agungkan perjuangan komunis ini, apakah agenda mereka sebenarnya?

ZAINI: Saya melihat mereka ini hanya cuba menimbulkan kekeruhan kerana ramai anggota tentera dan keluarga mereka yang terkorban yang tidak boleh memaafkan kekejaman yang telah dilakukan pihak komunis. Mengenai sebuah filem yang dikatakan cuba mengaitkan perjuangan komunis, saya masih belum tengok filem itu. Saya juga tidak pasti sama ada filem ini adalah suatu provokasi, namun melalui preview yang ditayangkan, saya boleh percaya bahawa filem itu menggambarkan bahawa squatters yang kebanyakannya kaum cina menggambarkan mereka kebanyakannya ditindas, dipaksa dizalimi dan subjek kepada kekerasan oleh anggota keselamatan. Pada pandangan saya mungkin, ketidakadilannya ialah mereka tidak memberikan gambaran sebenar tentang kenapa mereka ‘dipaksa’. Mengikut sejarah, mereka pada masa itu terpaksa lari dari bandar ke tepi hutan atas sebab keselamatan dan menjadi squatters di hutan-hutan. Apabila Jepun kalah dan komunis cuba merekrut mereka sebagai sumber kepentingan diri, maknanya mereka dalam bahaya dan pada masa sama mereka terdedah tentang pengaruh komunis. Pada masa itulah pengasingan terpaksa dilakukan untuk mengasingkan mereka daripada gerila. Pengasingan yang dilakukan memaksa pihak berkuasa untuk bertindak tegas. Perkara ini yang dieksploitasi dan disalahguna dan penyampaian ini adalah gambaran yang tidak tepat dan salah. Walau apa pun agenda pihak-pihak ini perkara yang benar harus diperjelaskan dan diberi gambaran sebenar bukannya membuat sesuatu untuk memutar beli sejarah.

Seharusnya mereka patut mempertimbangkan seandainya kita berada di bawah penguasaan komunis satu ketika dahulu sudah tentu keadaan ekonomi kita tidak akan seperti sekarang. Sistem ekonomi kita lebih terbuka dan maju. Kestabilan negara juga tidak akan dicapai seperti sekarang. Saya berpandangan mereka patut rasa terhutang budi kerana kesenangan hidup yang mereka kecapi sekarang. Mereka ini sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak keselamatan yang telah berjaya mengekang komunis dan sumber-sumber mereka. Jika kita lihat di China satu ketika dahulu dan Korea Utara, mereka ditindas walaupun diperintah oleh komunis. Rakyatnya hidup dalam kemiskinan dan melarat dan andai kata kita diperintah oleh komunis dahulu keadaan yang sama mungkin akan berlaku di Malaysia. Memandangkan kita berjaya mengekang komunis kita patut bersyukur dengan kejayaan dan pen capaian yang diperoleh. Alhamdulillah apa yang wujud di Malaysia ini adalah hasil pengorbanan pihak tentera yang selama ini berjuang dan sanggup berkorban demi kesejahteraan negara dan rakyat berbilang kaum di negara ini.-UMO

Warna-warni politik
Torashah

Ahad, 4 Ogos 2013


Ulama tersohor, Dr. Yusuf al-Qardawi telah mengisytiharkan golongan Syiah sebagai golongan kuffar serta merupakan musuh umat Islam keseluruhannya.

Kenyataan keras itu telah disebut oleh Yusuf al-Qardawi dalam satu wawancaranya dengan stesen televisyen al-Jazeera dalam rancangan 'Syari'ah dan Kehidupan' pada bulan Jun tahun ini.

Beliau berkata, golongan Syiah sebenarnya telah mengkhianati umat Islam dan perkara itu terbukti dengan pembunuhan saudara seakidah di Syria bersama-sama dengan puak Hizbollah.

"Jangan panggil mereka Hizbollah, mereka selayaknya digelar Hizbosyaitan dan Allah tiada kaitan dengan mereka.

"Saya menyeru seluruh umat melawan kuffar dan Syiah di dalam Hizbollah. Mereka ternyata kuffar tanpa sedikit keraguan. Mereka sedang menjalankan operasi etnik di Syria dengan tujuan membina negara Syria Barat di barat Syria," katanya dalam rancangan tersebut.

Kenyataan al-Qardawi tentang isu tersebut mendedahkan lagi siapakah Syiah sebenarnya terutama kesannya terhadap penyebaran fahaman itu ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Malaysia baru-baru ini dikejutkan semula dengan isu Syiah dan pada masa sama tiga siri laporan khas telah dibuat dalam Utusan Malaysia.

Pendakwah bebas, Dr. Zahazan Mohamed pula berkata, Syiah bukan sahaja tidak diiktiraf sebagai Islam, malah kemunculan fahaman itu dianggap sebagai ejen Yahudi bertujuan menghancurkan umat Islam.

Yusuf al-Qardawi berkata, dengan terhasilnya negara baharu itu umat Islam akan dibahagi-bahagikan dan bertambah kecil.

Ujarnya, beliau juga telah menyeru dalam khutbah solat Jumaat agar semua umat Islam seluruh dunia yang memiliki kekuatan dan alternatif segera menentang Iran dan Hizbosyaitan dengan membantu saudara-saudara mereka di Syria.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara kita di teluk Arab atas keputusan, Hizbollah adalah organisasi pengganas dan jika mana-mana ahlinya ditemui di negara-negara Teluk akan dibunuh sebagai murtad kafir.

"Semoga Allah mengutuk Iran, ketua segala kejahatan dan semoga Allah mengutuk Hizbosyaitan dan tulang belakangnya di Iraq dan menyembuhkan mereka yang tercedera dan membebaskan mereka yang diculik. Seterusnya negara Syam yang dicintai akan kembali kepada kita, insya-Allah," ujarnya.

Dalam temubualnya bersama stesen al-Arabiya juga bulan Jun, beliau turut mengakui para ulama di Arab Saudi lebih mengetahui secara mendalam mengenai bahaya Hizbollah dan gerakan Syiah Iran berbanding dirinya.

"Pada satu ketika saya pernah mempertahankan gerakan Hizbollah kerana keberanian mereka berhadapan dengan Israel. Pendapat saya pada masa itu bertentangan dengan pandangan ulama-ulama tersebut. Mereka menentang Hizbollah.

"Namun setelah saya melihat apa yang dilakukan oleh Hizbollah terhadap saudara-saudara kita di Syria barulah saya sedar yang ulama-ulama di Arab Saudi lebih matang dan mempunyai pengetahuan cukup luas tentang Hizbollah dan Iran," ujarnya.

Warna-warni politik
Torashah

Khamis, 1 Ogos 2013

Isu 'Kantin Tandas' SK Seri Pristina : Siasat Di Bawah Akta Hasutan !! @Nohomar?


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar hari ini melawat SK Seri Pristana berikutan isu makan dalam tandas yang cuba di politikkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab di luar sana sehinggakan hampir menimbulkan ketegangan antara kaum.

Noh berkata, isu di SK Seri Pristana sudah selesai dan tidak ada isu perkauman. Tindakan PIBG dan sekolah adalah betul.

Ikhtibarnya , inilah kesan media sosial mudah pengaruhi rakyat dan mudah mendapat perhatian masyarakat oleh itu guru-guru perlu berhati-hati.


Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu meminta Jabatan Pendidikan Negeri tidak mengambil tindakan terhadap guru besar kerana telah bertugas dengan baik.

Noh berkata ibu bapa yang memuat naik gambar di laman media sosial sebelum ini baru seminggu menghantar anaknya ke sekolah tersebut tanpa mengetahui sejarah sekolah menyebabkan ia menjadi isu sensitif sedangkan sejak Mac bilik berkenaan telah digunakan oleh semua kaum.

Beliau berkata guru besar mendapat ugutan bunuh kerana isu yang diputar belit.

Selain dari itu beliau turut menyatakan ibu bapa berkenaan perlu meminta maaf kerana membuat tuduhan palsu hingga menimbul kekecohan seluruh negara.


Dalam masa yang sama meminta polis mengambil tindakan terhadap mereka yang mencetuskan isu ini.Beliau akan tulis surat supaya tindakan tegas diambil.Menurutnya , ibu bapa terbabit perlu disiasat mengikut Akta Hasutan.

Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim turut memberi sumbangan RM10,000 bagi memperbesarkan kantin.

Irmohizam turut menyeru ibu bapa di kawasan parlimennya supaya bekerjasama dengan pihak sekolah dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan pada masa yang sama memberi didikan baik kepada modal insan iaittu murid-murid.

Menurut Irmohizam, isu-isu pendidikan tidak harus dipolitikkan sehingga menyebabkan sistem pendidikan di negara ini tidak mendapat kepercayaan di kalangan ibu bapa.

Lebih buruk lagi kata Irmohizam, apabila media asing turut melaporkan dari sudut yang salah sehingga menampakkan sistem pendidikan di negara ini lemah dan tidak berkualiti.

Warna-warni Politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor