Khamis, 2 Ogos 2012

'Masjid bukan pentas politik'?



Seramai 50 orang berhimpun secara aman di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini bagi mendesak pihak berkuasa agama itu mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba membawa pengaruh politik ke dalam masjid-masjid di negeri ini.

Mereka terdiri daripada wakil beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor, Jalur Tiga (Jati), Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor, Waris Malaya, Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) serta Gerakan Masyarakat Prihatin Selangor (GMPS).

Mereka yang mula berkumpul kira-kira pukul 10.30 pagi dan bersurai kira-kira sejam kemudian hadir dengan membawa pelbagai sepanduk yang antaranya tertulis perkataan 'Exco agama gagal', 'Bersihkan masjid daripada pengaruh politik' serta 'Tuanku Sultan payung rakyat'.

Memorandum yang ditandatangani oleh setiap wakil NGO berkenaan turut diserahkan dan ia diterima oleh Pemangku Timbalan Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad.

Presiden GAPS, Hamidzun Khairuddin berkata, masjid tidak seharusnya dijadikan pentas politik kerana ia sebenarnya berperanan untuk menyatukan umat Islam di negara ini.

"Dengan pengaruh politik seperti ini, ia dibimbangi akan memecah-belahkan komuniti di dalam kariah surau berkenaan. Untuk itu, sebagai agensi yang diberi kuasa untuk melaksanakan syiar Islam, JAIS perlu lebih serius membuat pemantauan bagi melaksanakan syiar Islam supaya masjid-masjid di negeri ini bebas daripada unsur politik," katanya kepada pemberita di sini.

Hadir sama Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahaya; Setiausaha Agung Jati, Norman Toha; Pesuruhjaya Tibai Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Indera Putra Ahmad dan bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri.

Hamidzun berkata, desakan mereka itu sejajar dengan ingatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang beberapa kali bertitah agar masjid dan surau di negeri ini tidak dijadikan sebagai tempat berpolitik.

Beliau berkata, semasa bertitah pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Negeri pada 23 Julai lalu, baginda sekali lagi mengingatkan rakyat mengenai kepentingan perkara tersebut.

"Justeru, kami menggesa supaya JAIS mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba membawa pengaruh politik ke dalam masjid.

"Kami sendiri ada menerima beberapa aduan daripada sesetengah pihak tentang wujudnya usaha membawa pengaruh politik ke masjid termasuk menjemput ahli politik yang tidak bertauliah untuk menyampaikan tazkirah di masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan ini," katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor