Selasa, 25 Oktober 2011

Duta Amerika Syarikat tarik perhatian berbaju Melayu, bertengkolok!


PAUL W. Jones (dua dari kiri) berjabat tangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil diperhatikan oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaludin Jarjis (dua dari kanan) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kanan) di Istana Abu Bakar, Pekan, semalam.


Biarpun sesetengah rakyat negara ini selesa memilih pakaian istiadat untuk ke majlis penganugerahan pingat dan darjah kebesaran raja-raja Melayu, namun bagi Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Datuk Paul W. Jones, beliau memilih sebaliknya.

Dengan lengkap berbaju Melayu dan tengkolok ketika hadir pada Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-81 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar hari ini, pilihan Jones itu ternyata membuatkan beliau menjadi tumpuan ramai.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Jones yang dikurniakan pingat Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk berkata, beliau sebenarnya boleh memilih untuk memakai pakaian istiadat ke majlis tersebut.

Namun katanya, dengan memakai baju Melayu yang lengkap bersamping dan tengkolok membuatkan beliau dapat merasai pengalaman sebenar hadir ke majlis penganugerahan darjah kebesaran di negara ini.

“Saya sukakannya (baju Melayu), saya nampak berbeza dan ini pengalaman pertama saya memakai baju kebangsaan rakyat Malaysia.

“Saya dan keluarga bangga kerana berpeluang untuk menyelami budaya masyarakat negara ini dan memakai pakaian yang dipakai rakyat negara ini,” katanya yang hadir ditemani isterinya, Catherine Jones, 48, yang anggun memakai baju kebaya rona krim.

Jones yang jelas tidak kekok dengan baju Melayu menyelitkan keris di pinggang dan ternyata ia menarik perhatian para penerima pingat dan tetamu yang lain.

“Saya selesa. Ada wakil yang dihantar untuk membantu saya memakainya pagi ini. Memang ini pengalaman pertama saya dan cukup mengujakan,” ujarnya.

Sementara itu, Catherine yang sentiasa di sisi menemani Jones sepanjang majlis itu mengakui suaminya kelihatan segak dan bergaya memakai baju Melayu.

“Saya dan suami sukakan pakaian rakyat Malaysia, ia cantik dan menggambarkan kepelbagaian budaya masyarakat di sini. Inilah 1Malaysia,” katanya.

Mengenai darjah kebesaran yang diterimanya, Jones berterima kasih kepada kerajaan negeri Pahang dan Malaysia kerana memberi anugerah itu kepadanya.

“Saya menerima anugerah ini dengan rasa rendah diri dan melihatnya sebagai tanda persahabatan antara AS dan Malaysia.

“Apabila pulang ke AS nanti, saya akan maklumkan kepada penduduk di sana bahawa bukan sahaja rakyat tempatan, malah rakyat negara lain juga berpeluang menerima penganugerahan sebegini di Malaysia,” katanya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor