Khamis, 15 September 2011

'Deklarasi Bukit Kepong' - Memperingati pejuang negara!

Laungan ‘Hidup Pejuang!’ bergema sebanyak tiga kali di tapak bersejarah Balai Polis Bukit Kepong apabila hampir 1,000 orang bekas polis dan tentera serta waris peristiwa Bukit Kepong berhimpun bagi membantah tindakan pihak yang mempersoalkan kewibawaan pasukan keselamatan negara.

Dalam Majlis Memperingati Pejuang Negara yang julung kali diadakan di pekarangan balai polis itu di sini hari ini, linangan air mata dapat disaksikan di kalangan bekas anggota keselamatan serta waris keluarga mereka mengenangkan tragedi menyayat hati pada 23 Februari 1950 itu.

Segala peristiwa pahit dan duka dalam perjuangan memerangi Parti Komunis Malaya (PKM) kembali terimbau dalam segmen pantomin peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong pada majlis itu.

Dalam reaksi senada, kesemua bekas anggota pasukan keselamatan telah bangkit mengecam kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mempersendakan pengorbanan pasukan polis.

Pada majlis itu, Persatuan Bekas Polis Malaysia, Persatuan Bekas Tentera Malaysia serta Persatuan Veteran Tentera Melayu turut sepakat mengeluarkan Deklarasi Bukit Kepong bagi mengingatkan semua pihak agar tidak mengguris hati dan perasaan para pejuang yang menjaga kedaulatan negara.

“Bahawa kami seluruh ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia pada 13 September 2011 dengan ini membantah serta menolak apa-apa jua kenyataan yang boleh mengguris hati dan perasaan pejuang yang mempertahankan agama, bangsa dan tanah air tercinta,” menurut deklarasi itu yang dibacakan pada majlis itu.

Deklarasi itu kemudian diserahkan oleh Pengerusi Persatuan Bekas Polis Johor, Datuk Mohd. Shah Isnin kepada Kurator Muzium Polis, Supritendan Said Zainal Abidin Said Zain.

Majlis yang dihadiri bekas polis serta tentera dan waris keluarga anggota peristiwa Bukit Kepong dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Tahir Taat.

Turut diadakan ialah forum bertajuk, Siapa Pejuang Sebenar dengan ahli panel bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor; Pengarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam dan pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Rosli Salehuddin serta bekas Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Shaharuddin Abd. Aziz sebagai moderator.

Selain mengunjungi tapak bersejarah di Bukit Kepong itu, bekas polis, tentera serta waris keluarga turut meluangkan masa melawat Pameran Memperingati Pejuang Negara, bacaan tahlil serta lawatan ke tanah perkuburan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa tersebut.

Sementara itu, dalam majlis forum tersebut, Rahim menempelak pihak-pihak yang mengocak kedamaian negara dengan mempersoalkan kewibawaan pasukan keselamatan dan cubaan halus membangkitkan semula perjuangan PKM yang mengorbankan banyak nyawa pasukan keselamatan dan orang awam.

“Sekarang sudah ada suasana di mana orang mempersoalkan peristiwa Bukit Kepong, orang putar belitkan fakta. Ada yang berpendidikan doktor falsafah yang turut mempertikai sejarah dengan matlamatnya menghalalkan cara,” katanya.

Jelasnya, beliau bimbang kenyataan sebagaimana yang dikeluarkan Mohamad yang mempertikaikan sejarah akan menimbulkan gelombang sehingga menimbulkan ketidakstabilan dan menjejaskan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Ramlah berkata, usaha untuk menerangkan fakta sejarah negara kepada generasi muda perlu diperluaskan agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan pembohongan yang tersebar luas terutamanya di Internet.

“Saya sudah menulis banyak buku tetapi orang tidak baca, orang baca laman web, jadi kita semua kena membetulkannya dengan cara mendidik anak kita tentang sejarah dan dasar negara,” katanya.

Menurutnya, walaupun Mohamad Indera yang mengetuai serangan komunis terhadap Balai Polis Kepong dikatakan warak dan kuat agama, fakta sejarah menunjukkan ramai dalam kalangan orang yang berpendidikan agama dipengaruhi PKM sehingga menjadi kuda tunggangan.

“Latar belakang pemimpin PKM seperti Musa Ahmad dan Shamsiah Fakeh adalah daripada pendidikan agama tetapi mereka tidak diberitahu mengenai tujuan sebenar komunis untuk menakluk negara,” katanya.-UM.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor