Rabu, 19 Mei 2010

Selangor Bangkit : Pemuda Selangor mahu SPRM siasat MBI!

Pergerakan Pemuda UMNO Selangor meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat organisasi dan modus operandi Menteri Besar Incorporated (MBI) yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Safarizul Mustafa berkata, ini kerana MBI mengendalikan Syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) yang dikaitkan dalam aktiviti melombong pasir dan terlibat dengan perbuatan rasuah seperti yang didakwa oleh Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam baru-baru ini.

Ekoran itu, tegasnya, dakwaan Manikavasagam perlu disiasat secara rapi kerana ia turut melibatkan kredibiliti dan integriti yang sangat rendah terhadap Abdul Khalid, selaku pemimpin mentadbir urus negeri ini.

"Kita juga mahu SPRM menyiasat kehilangan dan ketirisan beberapa dokumen rahsia kerajaan negeri, sepatutnya hanya untuk Menteri Besar sahaja tetapi turut diperoleh beberapa pegawai tinggi negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

"Kita berharap segala yang dilaporkan mendapat perhatian dan tindakan suruhanjaya berkenaan dengan kadar seberapa segera yang mungkin," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum membuat laporan kepada SPRM Selangor di sini hari ini.

Safarizul berkata, kerajaan negeri juga perlu memberi penjelasan mengapa KSSB diberi kuasa begitu besar untuk menjalankan aktiviti perlombongan pasir di Selangor kerana cukai pasir dipungut oleh Pejabat Daerah dan Tanah bagi setiap daerah.

Katanya, perkembangan yang berlaku ini menimbulkan banyak persoalan berikutan hasil daripada aktiviti tersebut hanya sekitar RM5 juta setahun berbanding janji yang diberikan kepada rakyat hasil perlombongan pasir di negeri ini iaitu pulangan pendapatan RM150 juta setahun.

Beliau juga kesal dengan kenyataan Abdul Khalid bahawa Manikavasagam perlu bersedia untuk berhadapan dengan sebarang tindak balas ekoran mendakwa wujud amalan rasuah dalam kegiatan KSSB, seolah-olah menggalakkan kegiatan gangsterisme di negeri ini.

"Apabila Menteri Besar memberi jawapan sedemikian, seperti beliau mengiakan perbuatan tersebut dan ini membimbangkan orang ramai. "Sepatutnya, selaku pemimpin utama negeri, Abdul Khalid menjaga keselamatan orang ramai tanpa mengira pangkat atau berbeza fahaman politik," ujarnya.

Semalam : Bersedia terima tindak balas - MB Selangor

Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam perlu bersedia untuk berhadapan dengan tindak balas berikutan dakwaan beliau wujud amalan rasuah dan penyelewengan anak syarikat kerajaan negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) bagi kegiatan melombong pasir. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau telah memberitahu Manikavasagam mengenai perkara itu baru-baru ini.

''Ahli-ahli Parlimen pakatan pembangkang perlu berdisiplin dan apa sahaja yang dibuat akan dinilai oleh orang ramai tetapi kita mempunyai hak untuk bercakap untuk rakyat. ''Saya juga memberitahu Manikavasagam bahawa sebaik sahaja beliau membuat dakwaan kepada orang, maka perlu berhadapan dengan tindak balas dan dia perlu bersedia untuk berhadapan dengannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Optometri Sedunia anjuran Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn di sini hari ini. Khalid mengulas ancaman bunuh yang diterima oleh Manikavasagam di mana dalam kejadian pagi ini, rumah dan kereta milik Ahli Parlimen Kapar di pekan Meru itu disimbah cat merah.

Dalam kejadian yang disedari kira-kira 7.30 pagi ini, mereka turut meninggalkan nota ugutan kepada Manikasavagam "Jangan campur hal pasir, nanti mati". Khalid memberitahu, Manikasavagam juga boleh mendedahkan nama tiga orang di dalam KSSB yang didakwanya terlibat dalam perkara itu.

Katanya, kerajaan negeri memang telah mengetahui mengenai kes-kes mencuri pasir yang menyebabkan kehilangan hasil bernilai berjuta-juta ringgit. ''Kalau anda tanya bahawa adakah kerajaan negeri menyedari perkara ini, ya kami telah menyedari perkara ini sejak sebelum menjadi kerajaan, ia berlaku sejak 20 tahun dulu.

''Sebab itulah kerajaan negeri mengadakan unit untuk mengurangkan kejadian mencuri pasir tetapi ia bukan satu perkara mudah, ia merupakan satu aktiviti yang telah lama berlaku," katanya. Khalid juga menegaskan, beliau tidak terkejut sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah dulu tidak dapat menyelesaikannya.

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor