Jumaat, 4 Disember 2009

Jangan jadi politik 'ala Labu Labi' !

Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin meminta kepimpinan DAP supaya tidak mengamalkan politik kebudak-budakan ala filem Labu dan Labi yang memilih cara 'memijak' untuk memuaskan hati masing-masing.

Beliau menegaskan, pimpinan DAP sepatutnya menunjukkan sikap yang waras, matang dan lebih profesional walaupun tidak bersetuju dengan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut melompat parti.

Beliau mencadangkan kepada pimpinan DAP supaya menonton filem Labu Labi bagi melihat gelagat dua watak utama dalam filem itu.

Katanya, dua watak utama itu yang menjadikan gumpalan kertas sebagai simbolik kepala bapa masing-masing untuk dipijak lawan gara-gara berebut wanita yang sebenarnya tidak berminat pun kepada mereka.
''Saya berharap kepimpinan DAP dapat menunjukkan sikap yang lebih profesional, matang, waras dan tidak mengamalkan politik Labu-Labi,'' katanya dalam laman blog beliau http:///zul4kulim.blogspot kelmarin.

Semalam, di Parlimen, sekumpulan ahli Parlimen PKR turut mengadakan sidang akhbar membantah tindak tanduk pemimpin DAP memijak gambar tiga wakil rakyat Bebas di DUN Perak Ahad yang lalu.

Mereka yang diketuai Datuk Zahrain Mohd. Hashim (PKR-Bayan Baru) menegaskan tindakan pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang itu bertentangan dengan budaya tempatan dan Asia.
Sementara itu, Zulkifli turut menggesa semua pihak supaya cermin diri terlebih dahulu sama ada tindakan tiga wakil rakyat itu mungkin disebabkan sikap parti dalam pakatan pembangkang sendiri.

''Sepatutnya, kita mencerminkan diri kita. Adakah mungkin mereka bertindak demikian kerana sikap kita sendiri. Setakat yang saya tahu, Hee Yit Foong berasakan bahawa beliau telah dianaktirikan. ''Begitu juga dengan Mohd. Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd. Radzi yang menyalahkan kongkongan DAP negeri Perak ke atas kerajaan sebelum ini sebagai sebab mereka memilih keluar daripada pakatan pembangkang. Alasan mereka mungkin benar mungkin tidak,'' katanya.

Bagaimanapun, pada pandangan beliau, perbuatan itu tidak menghalalkan mereka bertindak seperti samseng jalanan dan secara kebudak-budakan dengan memijak gambar ADUN terbabit.
Zulkifli menambah, keputusan ketiga-tiga ADUN itu bukan sahaja perlu dihormati, walaupun beliau sendiri juga tidak bersetuju dengan tindakan mereka itu.

''Namun, kita memperjuangkan hak bersuara dan hak individu untuk menyertai mana-mana pertubuhan pilihan mereka. ''Oleh itu, kita sepatutnya menjadi golongan pertama yang menghormati hak mereka, walaupun kita tidak bersetuju,'' ujarnya. Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya bertindak secara waras dan profesional dengan berpolitik secara matang serta berhemah.

''Jangan kerana politik semuanya menjadi halal. Yang paling malang, apa saja kita buat semuanya okey dan halal, yang orang lain buat semuanya haram belaka. ''Janganlah kita jadi kuali memanggil teko hitam! Janganlah kita amalkan politik Labu-Labi!'' katanya. - UM

Warna-warni Politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor