Ahad, 27 Disember 2009

Berpegang pada amanah Majlis Raja-Raja Melayu !

Kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu sebelum ini yang mengingatkan rakyat tentang keluhuran Perlembagaan negara yang seharusnya dipertahankan demi menjaga keharmonian dan perpaduan, merupakan satu sejarah tersendiri yang luar biasa. Ini kerana hal-hal begini biasanya dibicara dan dikeluarkan oleh kuasa politik yang memerintah negara.

Majlis Raja-Raja mungkin merasakan perlu ketika menghadapi kegawatan suasana negara sekarang ini untuk mengeluarkan titah bagi rakyat memahami bahawa Raja-Raja Melayu merupakan tumang pemerintahan negara yang seharusnya dihormati oleh semua lapisan rakyat. Maka titah Majlis Raja-Raja adalah sesuatu yang seharusnya diberikan perhatian serius oleh rakyat dan Kerajaan.

Dalam tulisan ini, penulis hanya akan menyentuh satu isu sahaja daripada kenyataan itu, iaitu kedudukan Islam sebagai agama negara yang telah diperuntukkan oleh Perlembagaan negara.
Sejarah negara kita mengemukakan banyak fakta dan peristiwa yang memugkinkan pihak Raja-Raja Melayu mengingatkan rakyat kepelbagaian kaum supaya tidak bertindak melampau menafikan kedaulatan agama Islam di negara ini.

Raja Melaka, Parameswara, mengikut catatan sejarah, memeluk Islam sebagai lambang pengislaman kerajaan Melayu, dan permulaan sejarah negara di bawah naungan Raja Melayu ini tidak seharusnya dicabar dengan sewenang-wenangnya. Prinsip perundangan dan pelaksanaan Islam selaras dengan adat istiadat Melayu yang telah diterima berdekad-dekad di negara kita seharusnya diambil sebagai kepunyaan rakyat semua kaum kerana pelaksanaan Islam secara adil tidak pernah menyentuh hak dan kepentingan serta kebebasan beragama rakyat bukan Islam.

Sejarah juga membuktikan bahawa Kerajaan Melaka pernah menerbitkan teks undang-undang yang bernama "Risalah Hukum Kanun" berasaskan undang-undang Islam tentang perkahwinan, muamalat, keterangan, kehakiman dan jinayat. Risalah ini merupakan dokumen penting tentang pelaksanaan Islam di dalam masyarakat Tanah Melayu, untuk menjamin kestabilan dan keadilan pemerintahan bagi masyarakat berbilang kaum yang sedia wujud pada ketika itu.

Hal ini membuktikan kedaulatan Raja Melayu dan status agama orang Melayu yang seharusnya diakui oleh rakyat, tanpa melihatnya dari sudut yang negatif, atau menganggapnya ugutan kepada masyarakt berbilang agama dan budaya. Dari sudut inilah, dan dari sudut status Islam dan Melayu di negara ini, terdapat kecenderungan sesetengah pejuang tanah air kita yang ingin menegakkan prinsip "ketuanan Melayu" mengikut kefahaman mereka.

Iaitu ketuanan yang tidak seharusnya diterjemahkan secara literal sehingga dengan itu rakyat akan mendapat tanggapan bahawa ketuanan Melayu merupakan gagasan atau kaedah yang akan menjadikan bukan Melayu sebagai hamba dan rakyat kelas bawahan, yang seharusnya hanya tunduk kepada Melayu. Bertolak daripada kefahaman ini, ramai pula pejuang negara kita yang tidak bersetuju dengan konsep ketuanan Melayu ini, kerana istilah ini telah membawa konotasi yang boleh menimbulkan rasa gelisah dan cemas di kalangan masyarakat bukan Melayu.

Oleh itu agak adil bahawa konsep ketuanan Melayu ini dapat dilihat dari sudut yang lebih positif dan tidak menimbulkan sebarang prasangka di dalam masyarakat, iaitu ketuanan Melayu adalah bermakna status Melayu yang dihubungkan dengan agama, budaya, adat resam, bahasa dan kedudukan istimewa mereka sebagai rakyat Melayu yang dipayungi oleh Raja-Raja Melayu sendiri. Tidak ketinggalan sejarah perjuangan orang Melayu menentang penjajah yang memakan korban yang banyak di kalangan orang Melayu sendiri.

Inilah konsep keistimewaan orang Melayu di negara ini, yang sebenarnya mempunyai dan memiliki tanah air mereka ini sejak sekian lama. Sekiranya terdapat aliran yang ingin mencabar kuasa Raja-Raja Melayu, maka cabaran itu adalah merupakan cabaran kepada kedudukan Melayu sendiri di dalam negara yang asalnya bernama Tanah Melayu ini.

Sejarah juga mencatatkan terdapat beberapa negeri Melayu yang menjadikan Islam sebagai dasar perlembagaan negeri seperti di Johor pada 1895 dan Trengganu pada 1911. Tetapi sayangnya fakta ini hanya tinggal dalam catatan sejarah, tanpa dijadikan asas maklumat dan pendidikan rakyat umum, sehingga seolah-olah Tanah Melayu merupakan bumi asing dari kita, sehinggakan orang Melayu dilihat sebagai "pendatang" di negara sendiri.

Pengiktirafan

Sejarah Tanah Melayu baru, yang diberi nama "Malaya" oleh penjajah, juga memperlihatkan pengiktirafan yang sejati tentang status agama Islam, iaitu ketika Perikatan mengemukakan memorandum kepada Lord Reid, Pengerusi Suruhanjaya Draf Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Perlembagaan Merdeka 1957) mencadangkan supaya Islam dijadikan agama negara Malaya. Sebagai balasannya yang adil maka prinsip ini tidak menyentuh hak warga negara bukan Islam untuk menganut agama mereka. Cadangan inilah yang diterima dan dimaktubkan di dalam Perlembagaan negara.























Kesediaan dan komitmen tiga kaum terbesar Malaya ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada Kerajaan British, iaitu tentang kedudukan agama Islam dan kebebasan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dalam aman dan harmoni, merupakan satu persefahaman asas yang menjadi prinsip pemerintahan negara ini.

Kontrak sosial tentang agama adalah persetujuan bersama di antara rakyat keseluruhannya tentang kandungan persetujuan yang telah diterima untuk diperuntukkan di dalam Perlembagaan kita. Oleh itu amatlah malang jika terdapat pihak-pihak yang cuba menafikan tentang wujudnya kontrak sosial ini ketika negara kita mencapai kemerdekaan dulu, atau berusaha untuk tidak memahaminya sebagai wadah keharmonian bangsa di dalam negara kita pada saat ini. Golongan inilah yang kelihatan sedang mencuba mencabar prinsip agama Islam di negara kita yang telah menjadi amalan dan diterima baik oleh semua kaum ketika negara mencapai kemerdekaan.

Keputusan yang dikeluarkan oleh Raja-Raja Melayu amatlah kena dan tepat pada masanya ketika masyarakat berada di ambang perpecahan, dan menghadapi keadaan yang runcing, terutamanya sehingga terheret isu-isu agama yang remeh dan tidak sepatutnya ditimbulkan di dalam masyarakat kita yang bertamadun ini.

Adalah amat diharapkan bahawa proses dan usaha mempertingkatkan pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia, dan usaha mengemaskinikan latihan dan pengeluaran tenaga manusia yang berkemampuan dalam pentadbiran agama dapat dilipat gandakan untuk melahirkan institusi pentadbiran, kehakiman, pendidikan dan semua institusi agama yang lebih berwibawa dan cekap sesuai dengan perkembangan negara yang pesat membangun.

Pendeknya, kedudukan Islam di Malaysia merupakan teras kewujudan institusi Raja Melayu, dan hal ini amat terserlah kepada dunia kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri ketika mengangkat sumpah jawatan, antara lainnya berikrar akan mempertahankan agama Islam. Sebagai pemerintah tertinggi negara, ikrar yang dilafazkan ini amatlah bermakna sekali bagi rakyat dan negara.

Oleh itu, apabila Raja bertitah, maka tidaklah seharusnya timbul lagi gerakan melampau yang bertujuan mempolitikkan agama mengikut kepentingan peribadi, atau kumpulan yang tertentu sehingga meletakkan Islam di persimpangan jalan yang merbahaya. Kita dalam keadaan sekarang tidak memerlukan golongan pelampau, termasuk golongan pelampau di dalam agama, iaitu kumpulan pelampau agama dari semua agama yang diamalkan di Malaysia.

Hal ini disebutkan kerana di dalam apa saja agama yang wujud di dalam dunia ini akan terdapat golongan pelampau dan fanatik melulu. Golongan inilah yang seharusnya disekat daripada berleluasa di dalam negara yang selama ini berjaya menghayati kehidupan aman dan tenteram, penuh toleransi dan harmoni.


Warna-warni politik
Torashah

Sabtu, 12 Disember 2009

Nik Aziz jangan cakap sebarangan!

ISU Biro Tata Negara (BTN) yang baru-baru ini hangat didebatkan sememangnya telah menunjukkan belang sikap pembangkang yang selama ini tidak senang dengan kemakmuran yang ada di negara ini.

Bermula dengan pemimpin DAP yang kurang ajar mempertikaikan kursus BTN ini kerana kononnya menyemai sikap perkauman di kalangan rakyat Malaysia. Saya berpendapat bahawa beliau yang bersikap perkauman kerana tidak tahu sejarah dan modul sebenar di dalam kursus BTN.

Kini pemimpin Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mempertikaikan kursus BTN ini dengan alasan ia tidak Islamik.

Saya ingin bertanyakan kepada tok guru, kursus bagaimanakah yang dikatakan islamik. Saya rasa tok guru sendiri perlu menghadiri kursus BTN ini untuk tahu bagaimana islamiknya BTN.
Saya sendiri telah mengikuti kursus ini dan sepanjang kursus ini berjalan, tidak ada seorang pun yang terlepas daripada berjemaah setiap waktu termasuklah subuh melainkan kerana keuzuran.

Selepas sahaja solat berjemaah subuh dan maghrib, setiap peserta akan diberikan kuliah manakala yang bukan beragama Islam akan menonton video berunsurkan sejarah di dalam dewan yang disediakan.

Ramai antara rakan saya dan saya sendiri insaf serta sedar atas dosa-dosa yang telah kami lakukan dahulu di dalam kuliah yang disampaikan kepada kami setiap kali selepas solat. Kami juga tidak terlepas daripada melakukan Qiamullail bagi meningkatkan kecintaan kepada Allah SWT.

BTN secara tidak langsung telah meningkatkan rasa cinta kami kepada Allah SWT selain menyematkan rasa cinta kepada negara. Apa lagi yang tidak cukup di dalam modul BTN ini? Pada pendapat saya, ia perlu dikekalkan dan mungkin boleh ditambah modul-modul baru selari dengan keadaan semasa.

Saya berpendapat, kursus BTN ini ditakuti pembangkang kerana telah membuka pekung mereka selama ini dan bukan kerana isu perkauman yang ditimbulkan. Saya percaya, sesiapa sahaja yang pernah mengikuti kursus ini pasti akan bersetuju dengan pendapat saya. Janganlah mudah terpedaya dengan hasutan sesetengah pihak yang ingin menghancurkan ketenteraman yang selama ini dikecapi.

Dan pesanan saya kepada Nik Aziz, janganlah kerana ingin menjaga hati Pakatan, semua benda tok guru halalkan. Saya hanya insan yang kerdil dan masih kurang ilmu, tetapi tidak sanggup untuk menggadaikan agama dan bangsa hanya untuk kepentingan sendiri. Wallahuallam.

Warna warni Politik
Torashah

Jumaat, 11 Disember 2009

DIRGAHAYU Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Darul Ehsan

MERAFAK SEMBAH SETINGGI-TINGGI TAHNIAH SEMPENA
HARI KEPUTERAAN

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJIBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJD.K.,D.M.N.,D.K.(Terengganu).,D.K.(Kelantan).,D.K.(Perak).,D.K.(Perlis)., D.K.(Negeri Sembilan)., D.K.(Kedah).,S.P.M.S.,S.S.I.S.,S.P.M.J.

Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul EhsanSerta Segala Daerah Takluknya.

Pada 11 hb Disember 2009 bersamaan 24 Zulhijjah 1431H.

Patik dan rakyat jelata mendoakan agar KeBawah Duli Tuanku sentiasa diberi limpah hidayah dan petunjuk dari ALLAH swt, dipanjangkan umur dan dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus menjadi payung kepada negeri Selangor yang tercinta ini.

Patik dan rakyat jelata juga mendoakan agar Tuanku akan senantiasa memartabatkan agama Islam dan bangsa Melayu serta menjaga seluruh rakyat negeri Selangor agar senantiasa berada di dalam hidup yang aman dan sejahtera.

AMPUN TUANKU SEMBAH PATIK HARAP DIAMPUN
DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU.

Ikhlas Dari :
Warga UMNO Bandar Puncak Alam
Selangor Darul Ehsan.

Isnin, 7 Disember 2009

Jangan agungkan Chin Peng !

Sebagai salah seorang wartawan Malaysia yang dihantar membuat liputan Majlis Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1 Disember 1989 di Hatyai Thailand, antara soalan yang saya masih ingat saya ajukan kepada Chin Peng ialah: "Apakah saudara masih seorang Marxist-Leninist?" Chin Peng dengan wajah yang hampir-hampir tersenyum menoleh ke arah saya dan menjawab: ''Ya."

Chin Peng menambah: ''Kami hanya meletakkan senjata bukan membubarkan PKM ataupun fahaman komunisme.''
Itulah kata-kata Chin Peng yang tidak dapat saya lupakan sepanjang karier saya sebagai seorang wartawan yang berpeluang untuk membaca kisah hidupnya dalam buku sejarah, dan kemudian ditakdirkan juga berpeluang menatap wajah dan bersua muka dengannya secara berdepan pada sidang akhbar bersejarah itu 20 tahun lalu.

Atas alasan itu jugalah mengapa Chin Peng dan anggota PKM yang lain tidak dapat memenuhi salah satu daripada empat kerangka Perjanjian Damai tersebut kerana keengganan mereka untuk kembali dan melalui proses 'pemutihan' di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terlebih dahulu.

Sebabnya ialah seperti yang dilafazkan oleh Chin Peng, dia masih seorang berfahaman Marxist-Leninist. Chin Peng sanggup melepaskan perjuangan bersenjata ke atas Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak bersedia untuk menggugurkan fahaman yang dianutinya sejak sekian lama itu.
Marxism-Leninism secara 'basahannya' membawa maksud Bolshevism atau ringkasnya komunisme.

Hakikatnya ialah sehingga Chin Peng membuat pengakuan terbuka bahawa dia tidak lagi mendokong fahaman tersebut, maka Kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebab untuk menerima semula kepulangan Setiausaha Agung PKM itu ke tanah air. Malah jika sekalipun Chin Peng membuat pengisytiharan bahawa dia bukan lagi seorang komunis, Chin Peng tidak boleh terlepas daripada melalui proses ditahan di bawah ISA.

Chin Peng tidak boleh dibenarkan menjalani kehidupan bebas keluar masuk ke kedai kopi dan menghadiri forum itu dan ini serta menganjurkan majlis itu dan ini atas nama apa sekalipun.
Ini kerana kesan tindakan seperti itu akan hanya menimbulkan keresahan di kalangan rakyat terbanyak, apatah lagi kepada keluarga mangsa keganasan komunis yang bukan sahaja terdiri daripada kalangan perajurit dan masyarakat awam tetapi juga masyarakat Melayu, Cina dan India serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Kehadirannya semula di kalangan kita hanya akan membuka luka yang berdarah. Chin Peng sendiri harus menerima takdir yang tertulis ke atasnya kerana itulah jalan yang dia pilih. Dan betapa keengganannya menerima Perjanjian Damai di Baling pada tahun 1955 telah menjurus ke arah pertumpahan darah yang bukannya sedikit di kalangan perajurit kita dan juga masyarakat awam yang lain.

Generasi baru yang tidak melalui kesengsaraan kehilangan ahli keluarga kerana terkorban ditembak atau diserang hendap komunis, cuba menulis semula sejarah tanah air dengan mengagungkan anggota PKM dan Chin Peng sebagai pejuang kemerdekaan negara melalui blog, laman web dan juga penerbitan buku. Mereka perlu berasa malu dan menghentikan tindak-tanduk mereka itu.

Sebaliknya, seluruh rakyat Malaysia yang menolak komunisme dan ahli keluarga para perajurit kita yang terkorban mempertahankan negara ini daripada ancaman subversif wajib bangun menyuarakan penolakan mereka terhadap gagasan membenarkan kepulangan Chin Peng.
Dalam konteks ini, saya memuji kenyataan berterus terang Naib Presiden Gerakan Malaysia, Mejar (K) Huan Cheng Guan bahawa saranan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan, supaya Kerajaan Malaysia membenarkan kepulangan Chin Peng mestilah ditentang atas nama para perajurit tanah air yang terkorban kerana mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman PKM.

Saya mengenali Mejar (K) Huan secara peribadi. Hakikat bahawa bekas Ahli Parlimen Batu Kawan itu juga adalah bekas seorang anggota TUDM memperlihatkan betapa semangat patriotismenya yang menebal dan sensitivitinya sebagai seorang perajurit tulen. Rakyat dan seluruh negara patut mendengar suara bekas perajurit negara seperti Mejar Huan, Kanang anak Langkau, Onjinin Christopher Jopinol, Amid Abdul Rahman dan ramai lagi yang mengorbankan diri mereka untuk mempertahankan negara dan juga untuk kesejahteraan kita semua daripada mendengar suara minoriti yang mendesak sebaliknya.

Putra Heights USJ

Warna-warni politik
Torashah

Jumaat, 4 Disember 2009

Jangan jadi politik 'ala Labu Labi' !

Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu, Zulkifli Noordin meminta kepimpinan DAP supaya tidak mengamalkan politik kebudak-budakan ala filem Labu dan Labi yang memilih cara 'memijak' untuk memuaskan hati masing-masing.

Beliau menegaskan, pimpinan DAP sepatutnya menunjukkan sikap yang waras, matang dan lebih profesional walaupun tidak bersetuju dengan tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut melompat parti.

Beliau mencadangkan kepada pimpinan DAP supaya menonton filem Labu Labi bagi melihat gelagat dua watak utama dalam filem itu.

Katanya, dua watak utama itu yang menjadikan gumpalan kertas sebagai simbolik kepala bapa masing-masing untuk dipijak lawan gara-gara berebut wanita yang sebenarnya tidak berminat pun kepada mereka.
''Saya berharap kepimpinan DAP dapat menunjukkan sikap yang lebih profesional, matang, waras dan tidak mengamalkan politik Labu-Labi,'' katanya dalam laman blog beliau http:///zul4kulim.blogspot kelmarin.

Semalam, di Parlimen, sekumpulan ahli Parlimen PKR turut mengadakan sidang akhbar membantah tindak tanduk pemimpin DAP memijak gambar tiga wakil rakyat Bebas di DUN Perak Ahad yang lalu.

Mereka yang diketuai Datuk Zahrain Mohd. Hashim (PKR-Bayan Baru) menegaskan tindakan pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang itu bertentangan dengan budaya tempatan dan Asia.
Sementara itu, Zulkifli turut menggesa semua pihak supaya cermin diri terlebih dahulu sama ada tindakan tiga wakil rakyat itu mungkin disebabkan sikap parti dalam pakatan pembangkang sendiri.

''Sepatutnya, kita mencerminkan diri kita. Adakah mungkin mereka bertindak demikian kerana sikap kita sendiri. Setakat yang saya tahu, Hee Yit Foong berasakan bahawa beliau telah dianaktirikan. ''Begitu juga dengan Mohd. Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd. Radzi yang menyalahkan kongkongan DAP negeri Perak ke atas kerajaan sebelum ini sebagai sebab mereka memilih keluar daripada pakatan pembangkang. Alasan mereka mungkin benar mungkin tidak,'' katanya.

Bagaimanapun, pada pandangan beliau, perbuatan itu tidak menghalalkan mereka bertindak seperti samseng jalanan dan secara kebudak-budakan dengan memijak gambar ADUN terbabit.
Zulkifli menambah, keputusan ketiga-tiga ADUN itu bukan sahaja perlu dihormati, walaupun beliau sendiri juga tidak bersetuju dengan tindakan mereka itu.

''Namun, kita memperjuangkan hak bersuara dan hak individu untuk menyertai mana-mana pertubuhan pilihan mereka. ''Oleh itu, kita sepatutnya menjadi golongan pertama yang menghormati hak mereka, walaupun kita tidak bersetuju,'' ujarnya. Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya bertindak secara waras dan profesional dengan berpolitik secara matang serta berhemah.

''Jangan kerana politik semuanya menjadi halal. Yang paling malang, apa saja kita buat semuanya okey dan halal, yang orang lain buat semuanya haram belaka. ''Janganlah kita jadi kuali memanggil teko hitam! Janganlah kita amalkan politik Labu-Labi!'' katanya. - UM

Warna-warni Politik
Torashah

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor