Selasa, 5 Mei 2009

Sikap pemimpin Pas dikesali!

Sikap pemimpin Pas yang cuba mengelirukan konsep 'kepimpinan ulama' yang menggabungkan ulama dan profesional amat dikesali kerana ia menimbulkan keresahan kalangan ahli parti itu di seluruh negara.

Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang terlibat secara langsung dengan pindaan konsep itu pada akhir 80-an hingga membawa kepada pembentukan Majlis Syura Ulama berkata, konsep dan cogan kata yang dilaungkan semasa itu ialah gabungan antara ulama dan profesional.

Menurut beliau, kebimbangan Pas akan tersasar daripada dasar perjuangan sekiranya memilih golongan profesional tidak sepatutnya timbul kerana kepimpinan ulama telah pun diinstitusikan melalui penubuhan Majlis Syura Ulama.

"Sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Pusat yang memperjuangkan konsep 'Qiadatul Ulama' (kepimpinan ulama) pada masa itu dan meluluskan pindaan perlembagaan berhubung penubuhan Majlis Syura Ulama, saya kecewa dengan kurangnya pemahaman ahli dan juga pimpinan berhubung persoalan ini.

"Dengan terbentuknya Majlis Syura Ulama, maka kedua-dua jawatan tersebut (Presiden dan Timbalan Presiden) terbuka kepada mana-mana pimpinan Pas, sama ada ulama atau profesional, untuk menyandang tanpa kekhuatiran tersebut (tersasar daripada perjuangan)," katanya yang dipetik daripada laman blognya, www.khalidsamad. com.

Semalam, golongan pro-Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas dibidas kerana menyalahkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, cadangan pembentukan kerajaan perpaduan itu telah diputuskan secara bersama oleh pimpinan parti-parti dalam pakatan pembangkang dan bukannya datang dari Pas sahaja.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan turut menyelar golongan tersebut kerana hanya berani mengeluarkan kenyataan di luar dan tidak bersuara ketika mesyuarat rasmi diadakan.

Pas Shah Alam antara kawasan Pas yang mencalonkan Naib Presidennya, Datuk Husam Musa bagi bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan Jun ini.
Selain Shah Alam, Rantau Panjang, Tumpat dan Kuala Krai turut mencalonkan Husam yang dikatakan sebagai kumpulan pro-Anwar.

Sementara itu, Khalid berkata, berdasarkan kepada senario semasa, konsep kepimpinan ulama hasil gabungan antara ulama dan profesional seperti tidak dihayati sepenuhnya.
"Sekiranya konsep ini bererti hanya ulama sahaja yang perlu diberikan jawatan dan tugas kepimpinan, maka apa maknanya cogan kata ini?

"Begitu juga, mengapa syarat bahawa kedua-dua jawatan ini mesti diisi oleh ulama tidak turut dimasukkan semasa perlembagaan dipinda pada masa tersebut? Ini merupakan bukti nyata bahawa konsep kepimpinan ulama tidak dimaksudkan begitu," jelasnya dalam blog itu lagi.
Malah, katanya lagi, seingat beliau istilah ulama juga turut dibincangkan pada masa itu dengan beberapa pandangan supaya golongan profesional yang memahami dan menghayati Islam diiktiraf sebagai ilmuwan Islam atau ulama. - UM

Warna-warni politik
Torashah

Tiada ulasan:


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor