Ahad, 29 Mac 2009

Pembaharuan bermula!

KEHADIRAN Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO semalam memeranjatkan para perwakilan. Beliau yang mulanya duduk di kerusi pemerhati di tingkat atas Dewan Merdeka PWTC kemudiannya naik ke pentas utama sejurus selepas Najib Tun Razak selesai berucap. Di atas pentas, beliau, Najib dan Abdullah Ahmad Badawi saling berpegangan dan menjulang tangan yang secara spontan menerima tepukan gemuruh para perwakilan.

PERALIHAN KUASA

Berlaku mengikut tradisi UMNO dengan tenang dan tertib daripada Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-59.

NEGARAWAN BERSATU

Dr. Mahathir Mohamad kembali
bersama UMNO dalam suasana menyentuh perasaan dan penuh penghormatan. Dr. Mahathir naik ke pentas perhimpunan agung dan bersalaman dengan kepimpinan tertinggi parti termasuk Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak.

Pembaharuan UMNO

Perhimpunan Agung Khas sebelum akhir tahun ini membincangkan pembaharuan termasuk memerangi politik wang:

- Perlembagaan dipinda bagi memberi mandat lebih ramai ahli (anggaran 60,000 ahli) memilih kepimpinan tertinggi yang akan dibuat serentak di 191 bahagian.
- Sistem kuota dirombak semula.

Rakyat-Parti-Kerajaan

Konsep parti menguasai kerajaan ditambah dengan komponen rakyat.
Parti memahami denyut hati rakyat. Diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan oleh kerajaan. Apabila kerajaan dikuasai oleh parti melaksanakan kehendak rakyat, UMNO jadi gagah perkasa.

UM - Torashah

1 ulasan:

oyabun berkata...

Najib, dua negarawan dan keyakinan baru

Ada yang sebak dan menitis air mata melihat dua negarawan iaitu Dr. Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi berada di pentas pada akhir Perhimpunan Agung UMNO, semalam.

Tiada siapa menduga babak ini akan muncul ketika banyak pihak meramalkan sukar untuk kedua-dua tokoh itu disatukan kembali sebagaimana ketika mereka saling bekerja rapat suatu masa dahulu.

Tetapi bibit-bibit itu sudah jelas semalam. Ia disaksikan bukan sahaja oleh para perwakilan dan pemerhati di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra malah oleh rakyat Malaysia menerusi siaran langsung di televisyen.

Ia seumpama aksi dalam filem. Ada kejutan dan drama yang menyentuh perasaan. Ternyata para perwakilan begitu teruja dengan memberikan sorakan gemuruh apabila Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali muncul semasa sesi penggulungan dan kemuncaknya selepas perhimpunan tamat apabila mantan Perdana Menteri itu yang penuh aura naik ke pentas berjabat tangan dengan para pemimpin termasuk Abdullah.

Sudah lama Awang mengimpikan Abdullah dan Dr. Mahathir akan berbaik semula jika pun tidak akan seakrab dulu. Majlis penggulungan perhimpunan tersebut merupakan penyudah yang cukup bersejarah, manis dan penuh pengharapan.

Sudah tentu ia menjadi permulaan yang baik untuk UMNO menjadi sebuah pergerakan politik yang padu, bersatu dan kembali kuat. Ia bukan sekadar menyaksikan peralihan kepimpinan parti daripada Abdullah kepada presiden yang baru, Mohd. Najib Tun Razak. Ia lebih daripada itu, menjadikan perhimpunan tersebut sebagai pemangkin kepada pembaharuan dalam parti dan kerajaan.

Najib telah menyulam dengan baik dan bijak ucapan pertamanya sebagai presiden. Segala-gala berbaur - hala tuju, keyakinan, harapan dan penyatuan. Awang mengucapkan tahniah kepada Najib kerana tampil menyuntik keyakinan, yang sangat diperlukan bagi UMNO untuk bangkit bagi terus menakhoda zaman.

Paling menggembirakan Awang ialah apabila Najib tanpa menunggu lama mengumumkan bahawa pemilihan parti itu akan datang bakal diadakan serentak di semua 191 bahagian bagi menjamin sistem pemilihan lebih telus dan terbuka.

Ini bermakna penentuan bagi pemilihan kepimpinan UMNO bukan lagi terhad kepada 2,600 perwakilan, yang diketahui lebih terdedah kepada banyak salah guna kuasa terutama politik wang.

Dalam ruangan ini 8 Mac lalu, Awang menulis tentang perlunya sistem pemilihan UMNO dirombak semula dengan membolehkan ahli-ahli di cawangan mengundi agar ia lebih reflektif kepada kehendak akar umbi bagi mengukuhkan lagi UMNO sebagai parti massa selain dapat menangani gejala politik wang.

Di samping itu, langkah beliau untuk mengkaji semula sistem kouta atau kelayakan bertanding, adalah amat tepat. Yang menariknya dalam keadaan beliau baru sahaja mengambilalih tampuk kepimpinan, Najib sudah sedia untuk melaksanakan pembaharuan itu meskipun ia mungkin mengurangkan cengkaman politik beliau selaku presiden. Penekanan beliau mahu mempelopori gagasan rakyat - parti menguasai kerajaan, dijangka memberi impak baru sekiranya ia diterjemahkan dengan berkesan.

Pada penghujung ucapannya, beliau merintis lonjakan perpaduan dalam parti dengan mengajak secara terbuka Dr. Mahathir dan Abdullah serta semua termasuk calon yang tewas untuk bersatu mengharungi cabaran UMNO masa depan demi agama, bangsa dan negara.

Awang percaya Abdullah yang menitipkan Rukun Perjuangan sebagai pesanannya kepada ahli UMNO akan menyahut seruan itu. Begitu juga Dr. Mahathir yang sudah pun menyatakan kesediaan untuk menyertai semula UMNO setelah mengumumkan keluar parti pada Mei tahun lalu.

Semoga kedua-dua negarawan itu akan memainkan peranan untuk membantu Najib dan saf baru UMNO yang pastinya menjadi isyarat terpenting kepada semua pihak di luar parti.

Sebagai orang Melayu, Awang juga ingin melahirkan penghargaan kepada Abdullah atas jasa dan sumbangannya sebagai Presiden UMNO selama ini. Ucapan beliau semalam disampaikan dengan tenang tetapi penuh makna. Tiada sebak dan air mata, menampakkan kekuatan dalaman beliau. Awang turut terharu apabila beliau memohon maaf kepada semua dan kesediaannya memaafkan sesiapa sahaja termasuk timbalan presiden, Muhyiddin Yassin yang pernah beberapa kali mengkritik kepimpinannya.

Terdahulu Muhyiddin ketika berucap menarik perhatian apabila memohon maaf kepada Abdullah dalam ucapannya yang antara lain berikrar untuk setia pada waktu senang dan susah bersama Najib selaku presiden parti. Kemenangan Muhyiddin memang sudah dijangka kerana beliau merupakan calon pilihan ramai. Najib dalam ucapannya turut melahirkan keyakinan terhadap kebolehan Muhyiddin selain tiga naib presiden baru iaitu Ahmad Zahid, Hishammuddin Tun Hussein dan Mohd. Shafie Apdal serta pemimpin sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Apapun, banyak petunjuk positif daripada perhimpunan ini. Sementara kita menanti lagi banyak ledakan pembaharuan, setidak-tidaknya perhimpunan semalam membawa getarannya sendiri termasuk tradisi kuat menghargai tokoh yang berjasa seperti Dr. Mahathir dan Abdullah. Dewan Merdeka menjadi saksi kepada tradisi itu. Itulah antara kematangan UMNO. Menurut Abdullah, beliau mahu bersara dengan perasaan yang tenang. Insya-Allah, beliau akan mendapat ketenangan itu kerana UMNO di bawah era Najib pasti menghargai jasa beliau. Serangkap pantun daripada Awang: Bagaimana tidak ditebang, pucuknya pauh selasih jambi, bagaimana tidak dikenang, budimu Pak Lah tersemat di hati.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor