Selasa, 10 Februari 2009

Kewibawaan Sultan Perak.

SULTAN Azlan Shah mencemar duli memanggil salah seorang Ahli Dewan Undangan Perak, Hee Yit Foong, Khamis lalu bagi memastikan kesahihan wakil rakyat itu keluar daripada DAP dan memberi sokongan kepada BN. Langkah yang diambil itu mencerminkan kewibawaan baginda yang menitikberatkan soal keadilan dan keluhuran Perlembagaan.

SEJAUH MANA Pengerusi DAP, Karpal Singh dan pakatan pembangkang mampu mencabar Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di mahkamah dalam konteks kemelut politik di Perak?
Ada mengatakan cubaan peguam itu mengheret pihak istana ke mahkamah sebahagian daripada usaha mengalih tumpuan kepada kekecewaan mereka mengekalkan kuasa di negeri utara itu. Kuasa yang hakikatnya hilang dalam sekelip mata.

Karpal sebelum ini mempertikaikan pengisytiharan Sultan Perak bahawa kerajaan negeri pakatan pembangkang kini tidak lagi sah. Pengisytiharan itu kata Karpal, bertentangan dengan peruntukan Perkara 16(6) Perlembagaan Perak.

Justeru, satu kes akan difailkan di Mahkamah Tinggi Ipoh esok (Selasa) dengan menamakan Sultan Perak sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri yang baru, kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir, defendan kedua.

Namun, yang sukar diterima akal ialah terdapat segelintir orang Melayu yang terperangkap dalam permainan politik ini sanggup bersikap kurang ajar demi mempertahankan kuasa yang hilang itu tanpa mengetahui mereka telah melampaui batas.

Kejadian menghalang dan mengadakan rusuhan termasuk sanggup 'bergadai nyawa' berbaring di depan kenderaan yang membawa Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah yang dalam perjalanan menghadiri majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar baru, bukanlah tindakan biasa dalam adab susila dan budaya Melayu.

Apakah dengan melakukan perkara seumpama itu akan dikenang sebagai satu bentuk perjuangan bangsa yang mampu mengangkat martabat Melayu ke tahap lebih dibanggakan?
Budaya Melayu penuh adab kesopanan. Melayu tidak akan layu jika bersopan. Kesopanan itu akan lebih indah jika dilengkapi dengan kewarasan fikiran.

"Jika Sultan sendiri sanggup disanggah demi menjayakan perjuangan 'pihak lain' adakah mereka ini layak dipanggil Melayu?" soal Presiden Gagasan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Malah, tuduhan-tuduhan liar terhadap Sultan Perak yang berperanan sebagai tonggak penyatuan orang Melayu merupakan perbuatan yang sukar dimaafkan. Hakikatnya dalam hal perundangan, baginda bukanlah calang-calang orang. Sebagai bekas Ketua Hakim Negara, tentunya setiap kesan daripada keputusan itu telah diambil kira. Mencabar keputusan baginda bukanlah suatu tindakan yang bijak.

Sultan Azlan Shah dilantik ke jawatan Hakim Mahkamah Tinggi ketika berusia 37 tahun. Baginda adalah hakim termuda di antara hakim Mahkamah Tinggi di negara-negara Komanwel.
"Sebelum membuat keputusan membenarkan BN menubuhkan kerajaan baru, semestinya baginda mendapat pandangan pakar-pakar perundangan selain baginda sendiri memang arif.
"Apa yang dilakukan oleh pihak itu juga seolah-olah mempertikaikan kuasa institusi diraja seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak," tegas Mohd. Hilmi lagi.

Kredibiliti Sultan Perak berkaitan perundangan turut diakui oleh Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. "Baginda pasti faham apa yang dimaksudkannya di samping sudah ada asas perundangan. Apa pun keputusan raja, itu hak mutlak baginda yang termaktub dalam undang-undang dan sepatutnya dihormati," katanya.

Menurut Muhyiddin lagi, tindakan pembangkang mahu menyaman Sultan Perak itu merupakan tindakan yang jelas tidak menghormati keputusan baginda. "Terserah kepada rakyat untuk menilai," ujar beliau merujuk kepada sikap tidak menghormati kuasa raja oleh pemimpin pembangkang itu.

Dalam sejarah Perak, kisah pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak sering dijadikan ukuran kepada semaraknya semangat nasionalisme Melayu terhadap penjajah. Tarikh 2 November 1875 diingati sebagai tarikh kematian seorang residen British yang angkuh dan biadab. Hasrat Birch untuk memperhambakan orang Melayu tidak kesampaian apabila dia mati dibunuh.

Maka tercatatlah dalam sejarah bangsa Melayu dan negeri Perak nama-nama seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor selain Sultan Abdullah sebagai penebus maruah bangsa dalam mempertahankan kedaulatan tanah air serta hak mutlak Kesultanan Melayu.

"Sebagai Melayu, saya juga terguris, tidak gembira dengan perkembangan terbaru ini terutama tindakan Karpal mahu menyaman Sultan Azlan Shah," kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengimbau susur-galur institusi diraja Perak, selain Sultan Abdullah, Kesultanan Perak tidak sepi daripada waris yang membawa perubahan kepada nasib dan masa depan negeri.
Tidak kurang hebatnya ialah Sultan Idris. Malah baginda terbukti seorang sultan yang bijaksana apabila mampu membina Perak menjadi sebuah negeri yang makmur dan maju.

Peranan baginda mempertikaikan kuasa Residen Jeneral menerusi penubuhan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) juga menggambarkan keprihatinan baginda. Ini kerana menerusi NNMB, Residen Jeneral akan muncul sebagai orang yang paling berkuasa dalam Persekutuan.
Akibatnya, sultan, residen dan majlis mesyuarat negeri kehilangan kuasa kerana tertakluk di bawah arahan Residen Jeneral dalam menjalankan pentadbiran negeri.

Kuasa sultan hanya dalam hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah NNMB ditadbir secara langsung oleh British. Pemusatan kuasa yang keterlaluan telah menimbulkan bantahan Sultan Idris Shah pada Majlis Mesyuarat Raja-Raja Kedua di Kuala Lumpur pada tahun 1903.

Sultan Idris Shah telah mendesak diambil langkah melaksanakan pengagihan kuasa. Tujuannya bagi mengembalikan semula kuasa sultan, residen dan majlis mesyuarat negeri. Walaupun baginda mangkat pada 1916, keturunan diraja Perak terus mewarisi kebijaksanaan baginda terutama dari sudut pandangan. Semangat yang ada pada sultan-sultan terdahulu inilah yang kini jelas terpancar pada Sultan Azlan Shah.

Hakikatnya sejak zaman persekolahan lagi, baginda telah mempamerkan sifat kepimpinan dan kebijaksanaannya. Baginda dilantik sebagai Ketua Hakim Negara kelima selepas Tun Mohamad Suffian Hashim yang bersara pada November 1982. Bukanlah merupakan sesuatu yang menghairankan apabila baginda dikenali sebagai seorang yang sangat teliti dan cermat dalam mendalami dan mengamalkan undang-undang.

Anakanda baginda, Raja Dr. Nazrin Shah pernah berkata, beliau masih mengingati bekas Ketua Hakim Negara itu 'mentelaah buku undang-undang dan laporan undang-undang sehingga larut malam bagi membuat persediaan kes yang akan dikendalikan pada keesokannya.' "Ada ketikanya, kita melihat baginda menulis nota dalam buku. Ketika itu beliau sedang menulis keputusan penghakiman atau membuat nota untuk kes akan datang," katanya.

Sikap baginda yang cermat memenuhi minatnya untuk turut mengetahui perkembangan semasa termasuk politik tanah air. Walaupun telah meninggalkan badan kehakiman, baginda terus mengamalkan sikap ini berlandaskan kecenderungan memastikan negeri aman sentosa.
Episod mempertikaikan keputusan baginda dan usaha mengheret institusi diraja ke mahkamah menggambarkan betapa baginda tidak lagi dihormati sebagaimana sewajarnya.

Seperti sultan-sultan terdahulu, Sultan Azlan Shah hari ini juga sedang diuji. Kemelut politik yang melanda Perak menuntut kebijaksanaan Kesultanan Perak yang berterusan. Dan buat ke sekian kalinya, Perak bertuah kerana mempunyai legasi kepimpinan dan tonggak kuasa yang mampu menyediakan ruang penyelesaian berdasarkan tindakan yang bijaksana. Cuma malangnya, ada orang Melayu sendiri yang kian lupa tentang adab susila mereka.

Sumber - UM

3 ulasan:

torashah berkata...

DAP mengakui masalah dalaman parti itu menjadi titik tolak kepada tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Hee Yit Fong meninggalkan mereka dan menjadi wakil rakyat Bebas. Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng, berkata perselisihan faham antara ahli DAP di Perak yang mendorong Hee bertindak keluar parti.

Beliau yang sedih dengan perkembangan itu, menegaskan Hee tidak sepatutnya mengabaikan kepercayaan diberikan pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum lalu.

"Kami berharap beliau mempertimbangkan kembali keputusannya. Kalau tidak mahu menyertai semula DAP, jangan menyokong BN untuk memerintah pun cukuplah.

"Fikirkan mengenai pengundi di Perak yang mahukan Pakatan Rakyat di bawah pentadbiran Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan bukannya BN," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Kelmarin, selain Hee, dua lagi wakil rakyat Pakatan Rakyat Perak iaitu Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Kapt (B) Mohd Osman Jailu bertindak meninggalkan pakatan itu untuk menjadi wakil rakyat Bebas serta menyatakan sokongan kepada BN.

Selain mereka, Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, kembali ke pangkuan Umno, mulai kelmarin.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, walaupun DAP masih berharap supaya Hee mempertimbangkan keputusannya, pihaknya tidak akan berjumpa dengan wakil rakyat itu untuk memujuknya.

"Kami hanya akan membuat pengumuman seperti ini (melalui media)," katanya.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata pihaknya menganggap situasi di Perak ketika ini sebagai tidak menghormati hasrat rakyat negeri itu yang mahu Pakatan Rakyat memerintah.

"Pada pilihan raya lalu, undi popular diterima oleh kami (Pakatan Rakyat) sebanyak 54 peratus dan ini adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kami memerintah, bukannya BN," katanya.

Sementara itu, Guan Eng menyelar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat kerana mengeluarkan fakta berbeza berhubung cadangan pembinaan terminal tambang murah di Labu, Negeri Sembilan.

"Kenyataan Ong sehingga kini bahawa pembinaannya diluluskan Kabinet jelas berbeza dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berkata sebaliknya.

"Ini perkara serius (buat pengumuman palsu) kerana ia membabitkan kepentingan orang ramai dan dasar kerajaan," katanya.

oyabun berkata...

Gelombang kemarahan orang ramai semakin memuncak mendesak Karpal Singh segera dikenakan tindakan menghina Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Untuk rekod, selain isu terkini, Karpal juga pernah memberi peringatan kepada Sultan Azlah Shah supaya tidak campur tangan dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Jamry Sury.

Namun, Pejabat Peguam Negara belum mengambil sebarang tindakan. Berikut ialah perkembangan semalam:

Polis telah membuka kertas siasatan terhadap Karpal mengikut Akta Hasutan berhubung lebih 30 laporan ke atas Pengerusi DAP itu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pihak berkuasa bertindak segera terhadap Karpal terutama selepas kenyataan beliau mahu mengheret Sultan Azlan Shah ke mahkamah.

Tan Sri Muhammad Muhd. Taib percaya Karpal semakin angkuh berikutan tiada tindakan dikenakan ke atasnya.

Dr. Puad Zarkashi berkata, kerajaan tidak boleh berdiam diri kerana tindakan Karpal itu dikhuatiri akan menyebabkan kesan buruk kepada rakyat.

Taminsari berkata...

Pengerusi DAP Karpal Singh kini akur dengan pendirian partinya dan pendirian Pakatan Rakyat untuk tidak meneruskan niatnya mendakwa Sultan Perak berikutan keputusan baginda yang menggugurkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada jawatan sebagai menteri besar Perak.

Ketika ditanya oleh wartawan-wartawan di luar mahkamah rayuan hari ini sama ada beliau akan menyaman baginda Sultan di mahkamah, jawabnya: "Soal itu tidak timbul."

Walaubagaimanapun, beliau tetap mempertahankan kewajaran tindakannya sebelum ini untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas sultan Perak biarpun menerima bantahan dan kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Umno.

"Pemimpin-pemimpin Pakatan yang lain berpendapat bahawa Sultan tidak seharusnya disaman, walaupun saya tidak bersetuju dengannya," katanya.

Timbalan ketua DAP Lim Kit Siang, ketika itu turut bersama Karpal berkata setelah meneliti perkara tersebut dengan panjang lebar akhirnya bersetuju bahawa sekarang mereka perlu memberikan perhatian kepada dua pilihan raya kecil untuk kerusi negeri Bukit Selambau dan kerusi parlimen bagi Bukit Gantang, tidak lama lagi. Apa yang pasti, mereka akan sedaya upaya mengekalkan kedua-dua kerusi parlimen tersebut.

Karpal juga bersetuju, mengatakan "terdapat satu tugas lebih besar dahulu" (merujuk kepada dua pilihan raya kecil).


Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor

Bertempat di Bandar Saujana Utama, Kuala Selangor